BMW memperkenalkan BMW X5 Long Wheelbase baharu bersama model elektrik pertama BMW iX5 Long Wheelbase, yang dibangunkan secara eksklusif untuk pasaran China.
Kedua-dua model menggabungkan evolusi reka bentuk BMW X5 dengan teknologi terkini daripada platform Neue Klasse, selain disesuaikan mengikut kehendak pelanggan di sana.
Perbezaan utama model ini ialah jarak roda lebih panjang 130mm berbanding BMW X5 global, menjadikan ukuran keseluruhan mencecah 3,165mm.
Jarak roda yang dipanjangkan itu bukan sahaja meningkatkan kestabilan serta keselesaan pemanduan.
Pada masa sama, ia menyediakan ruang kaki lebih luas terutama untuk penumpang barisan belakang, selain menyerlahkan lagi imej SUV mewah dengan penampilan yang lebih anggun.
Reka Bentuk Eksklusif untuk Pasaran China
BMW X5 dan BMW iX5 Long Wheelbase menerima beberapa elemen reka bentuk yang tidak ditawarkan pada model global.
Antaranya ialah grafik lampu hadapan baharu dengan ikon cahaya berbentuk diagonal.
Pemilik juga boleh memilih grafik alternatif berbentuk Double X mengikut cita rasa masing-masing.
Turut melengkapkan bahagian hadapan ialah jalur pencahayaan tambahan yang menghubungkan ikon lampu dengan BMW Kidney Iconic Glow.
Ciri itu menghasilkan kesan visual yang lebih mendalam, selain menyokong animasi sambutan (Welcome) dan perpisahan (Goodbye).
Bagi BMW X5, bampar hadapan turut direka semula khas untuk memenuhi cita rasa pelanggan China.
Kabin Lebih Mewah dengan Teknologi Neue Klasse
Bahagian dalaman menampilkan konsep reka bentuk serba baharu yang lebih kemas dengan permukaan minimalis, kemasan premium serta susun atur yang lebih moden.
BMW turut memperkenalkan tema warna monokrom baharu yang memberikan suasana kabin lebih tenang dan eksklusif.
Kerusi hadapan dan belakang juga direka khas untuk meningkatkan keselesaan perjalanan, manakala penggunaan bahan premium seperti batu slate dan kaca menyerlahkan lagi imej mewah.
Salah satu tarikan utama ialah jalur hiasan tiga dimensi bercahaya dengan lampu ambien terbina dalam yang diinspirasikan daripada teknologi Neue Klasse.
BMW Panoramic iDrive Generasi Baharu
BMW X5 dan BMW iX5 turut menjadi antara model terawal yang menerima sistem BMW Panoramic iDrive baharu berasaskan BMW Operating System X.
Sistem tersebut merangkumi:
- BMW Panoramic Vision
- Paparan tengah terapung (Free Cut Central Display)
- BMW Passenger Screen yang ditawarkan buat kali pertama pada BMW X5
BMW turut menyesuaikan fungsi digital khas mengikut keperluan pengguna di China bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih intuitif.
Untuk penumpang belakang, generasi baharu BMW Theatre Screen menawarkan hiburan penstriman 8K, permainan serta fungsi panggilan video.
Suspensi Udara Standard dan Sistem Bantuan Pemandu Berasaskan AI
Semua varian BMW X5 dan BMW iX5 Long Wheelbase dilengkapi Suspensi Udara Adaptif Dua Gandar (Adaptive Two Axle Air Suspension) sebagai ciri standard.
Sistem itu membantu menyerap ketidaksempurnaan permukaan jalan bagi menghasilkan pemanduan lebih selesa tanpa mengira jenis trenkuasa.
BMW turut memperkenalkan sistem bantuan pemandu pintar generasi baharu yang dibangunkan khusus untuk China menerusi kerjasama dengan syarikat teknologi tempatan, Momenta.
Gabungan kepakaran BMW dalam aspek keselamatan dengan kecerdasan buatan (AI) tempatan menghasilkan sistem bantuan pemanduan Address to Address.
Sistem itu mampu membantu pemanduan berpandukan navigasi dari destinasi permulaan hingga ke lokasi akhir.
Sistem tersebut dikendalikan oleh komputer pusat pemanduan automatik yang beroperasi bersama sistem kawalan dinamik Heart of Joy.
BMW iX5 Long Wheelbase Mampu Mencecah Lebih 1,000km
Buat pertama kali di China, BMW akan menawarkan BMW X5 enjin pembakaran dalaman bersama BMW iX5 Long Wheelbase elektrik.
BMW iX5 menggunakan teknologi BMW eDrive Generasi Keenam, dipadankan dengan seni bina bateri voltan tinggi baharu bagi memberikan jarak gerak melebihi 1,000km (kitaran CLTC).
Pelancaran rasmi kedua-dua model ini ke pasaran China dijadualkan pada tahun 2027.
