Arkib Tag: besi buruk

5 besi buruk Conti bawah RM5,000, jangan ingat tak ada!

KITA kembali lagi dalam segmen ‘besi buruk’, rupanya ramai juga peminat ya. Anda semua cari untuk kereta kedua atau hobi?

Apa pun, untuk besi buruk kali ini, kita lihat kereta Continental pula. Amacam, ada berani? Kereta Continental ni semua pun tahu sedap dipandu dan kalau yang tahun 90-an dan sebelumnya, kebanyakannya memang direka untuk tahan lama.

Jom kita lihatkan lima jentera Continental bawah RM5,000. Ya, jangan ingat tak ada!

1. BMW E32 520i – RM4,500

Yang pertama dalam senarai kita ialah sebuah BMW 520i dari generasi E34. Ia merupakan model CKD (pemasangan tempatan) dengan enjin 2.0-liter dan dengan transmisi automatik.

BMW tahun 1995 ini dikatakan antara model popular di kalangan peminat di Malaysia kerana merupakan 5-Series moden yang pertama.

Model yang kami jumpa berharga RM4,500, berkeadaan baik dan di Ipoh, Perak. Kereta nampak agak lama ditinggalkan, tapi pasti boleh restore!

2. Mercedes W123 E-Class – RM3,000

Seterusnya sebuah Mercedes E-Class, generasi W123. Ini kalau geng besi buruk tengok, memang tak gentar. Ada potensi.

Generasi W123 ini yang menariknya kerana dikatakan antara yang terakhir dengan badan seperti kereta kebal; berat dan solid.

Ini bukan running condition, nak baiki boleh, tetapi jika nak guna untuk jadikan alat ganti pun boleh. Projek nampaknya seperti tidak siap.

Menurut pemiliknya, klac pada Mercedes ini sudah haus, sebab itu ia lama tidak digunakan. Tetapi kalau dilihat harga, memang ok.

Dapat rim 17-inci dan rim 14-inci original sekali. Kasi on?

3. Volvo 940 GL – RM4,900

Kita ke Sweden pula, dengan Volvo 940 GL. Model tahun 1994 ini sebuah kereta yang agak ‘sejuk’, tapi tetap sebuah pilihan yang solid.

Unit yang kami jumpa merupakan model automatik, dan harga memang ok. Nampak cantik dan terjaga, boleh pakai hari-hari.

4. Volvo 240 GLE – RM4,500

Satu lagi model Volvo, yang ini lebih berusia, tahun 1987 dan dengan kotak gear manual.

Kereta ini nampak terjaga, baik, dan yang penting, semua masih standard. Ruang dalaman pun cantik, dengan meter-meter kecil pada papan pemuka yang nampak masih berfungsi.

Volvo 240 ini dalam keadaan running condition, nak bikin lagi pun boleh. Tapi Syamsul kata tak perlu ‘tekan’ sangat, kasi can pada dia!

Oh ya, satu lagi yang menarik, pemilik kata tiada processing fee (yuran proses), mantap!

5. Peugeot 405 SRI 2.0 Auto – RM4,888

Akhir sekali, model yang menjadi pilihan penulis dalam senarai kali ini – Peugeot 405 SRI 2.0 Auto. Sungguh hensem.

Kereta yang kami jumpa ini luar dan dalam nampak sangat cantik, tempat duduk pun tidak lunyai sangat.

Papan pemuka elok, pendingin hawa pun dikatakan sejuk beku. Semua pada kereta adalah standard dan original, itu yang menarik.

Amacam senarai besi Continental ini? Ada rasa nak sambar satu?

Minat model ‘rare’ Toyota? Ketahui lima ‘besi buruk’ bawah RM5,000

ADA pelbagai sebab mengapa terdapat pengguna memilih untuk memiliki kenderaan terpakai.

Antara alasan utama diberikan sudah pasti melibatkan faktor kewangan memandangkan harga kenderaan terpakai tidak semahal model baharu di pasaran.

Namun, tidak dinafikan juga ada pengguna membeli kenderaan terpakai bagi memenuhi keperluan hobi.

Justeru, untuk artikel kali ini Engear ingin kongsikan lima kenderaan terpakai jenama Toyota yang boleh didapati dalam pasaran Malaysia.

Jom check it out!

Toyota Camry (1996)

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Toyota Camry generasi pertama ini merupakan varian GX menggunakan enjin 2.0 yang mana reka bentuk badan kelihatan sedikit besar berbanding model sebelumnya.

Menerusi pencarian di internet, model ini boleh didapati hanya serendah RM4,500 sahaja!

Namun, walaupun harganya tidak begitu mahal adalah dinasihatkan untuk anda memeriksa dengan teliti agar tiada sebarang kerosakan besar pada kenderaan ini.

Toyota Corona (1995)

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Nama Toyota Corona sering menjadi sebutan bagi kebanyakan ‘kaki’ kereta sekitar tahun 90-an.

Harga model Corona ini boleh dimiliki serendah RM4,900 sahaja.

Antara tips membeli kereta terpakai adalah pastikan komponen pada kenderaan tersebut masih original dan berada pada keadaan standard.

Bukan apa, cuma ingin pastikan kenderaan tersebut tidak pernah berdepan kemalangan atau mengalami kerosakan serius.

Toyota LiteAce

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Toyota LiteAce merupakan antara kenderaan jenis van yang popular suatu ketika dahulu.

Pencarian di internet mendapati LiteAce boleh dimiliki pada harga RM4,500 sahaja.

Kini, terdapat ramai individu yang gemar mengubah suai van menjadi sebuah kenderaan ‘camping’ bagi tujuan riadah.

Jadi, jika berminat mungkin boleh pertimbang untuk membeli sebuah LiteAce terpakai untuk merealisasikan hobi anda.

Toyota Corolla KE 70

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Model Corolla KE 70 mungkin boleh dianggap sebagai antara model terbaik pernah dihasilkan oleh syarikat Toyota.

Reka bentuk kelihatan klasik menjadikan model ini sangat ‘rare’ ketika ini.

Sebuah Toyota Corolla KE 70 boleh didapati serendah RM3,500. Amacam?

Toyota TE 71

Foto hiasan ihsan Wikipedia

Corolla TE7 Liftback penah sangat popular sekitar tahun 1970-an.

Model ini sangat sesuai untuk ‘kaki’ kereta melakukan projek ubah suai kerana ia bukan sahaja memiliki reka bentuk menarik tetapi alat gantinya yang masih mudah didapati.

Menerusi pencarian Engear di internet, sebuah Toyota TE 71 boleh dibeli pada harga RM5,000.

Itu antara lima kenderaan terpakai ‘besi buruk’ Toyota kurang daripada RM5,000 di pasaran Malaysia.

Jika anda tahu model Toyota lain yang dijual sekitar harga tersebut, sila kongsi dengan kami di platform disediakan.

Kita jumpa lagi di artikel seterusnya di lain waktu!