Arkib Tag: Bentong

Kesesakan di Plaza Tol Bentong – kita perlu buat sesuatu

BARU-baru ini seorang pembaca di Utusan Malaysia menyuarakan kegusarannya mengenai kesesakan di kawasan Plaza Tol Bentong arah barat semasa musim perayaan.

Menurutnya, kesesakan bermula dari susur keluar Plaza Tol Karak LPT1 arah barat sehingga simpang Bukit Tinggi Resort atau Hentian Sebelah Lentang.

Beliau mencadangkan agar pihak berwajib menambah dari dua ke empat atau enam lorong dari susur keluar CSR Mempaga ke Plaza Tol Bentong.

Untuk penyelesaian jangka masa panjang pula, beliau mencadangkan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempercepatkan pembinaan sambungan CSR dari Mempaga ke Pelangai menghala arah selatan berhampiran sempadan Negeri Sembilan.

Imej oleh: Sinar Harian

Berikut adalah penulisan penuh olehnya:

Saudara pengarang,

Setelah sebahagian jalan Central Spine Road (CSR) dibuka kepada lalu lintas pada November 2021, pengguna boleh menggunakan jalan ini untuk ke Kampung Lebu di Bentong, Pahang tanpa melalui bandar Bentong dan terus ke Raub, Lipis yang menghubungkan Gua Musang di Kelantan.

Tiada lagi kesesakan di bandar Bentong kerana laluan CSR ini adalah jalan pintas. Kenderaan dari Pahang Barat dan Kelantan boleh ke Lebuh Raya Karak (KLK) tanpa melalui bandar Bentong. Pakej yang disiapkan ini bermula dari Kampung Lebu terus keluar ke KLK berhampiran Plaza Tol Bentong arah barat.

Semasa cuti perayaan, kesesakan bermula dari susur keluar Plaza Tol Karak LPT1 arah barat sehingga simpang Bukit Tinggi Resort atau Hentian Sebelah Lentang.

Imej oleh: Bernama

Kenderaan semakin perlahan dan adakala tidak bergerak apabila menghampiri susur keluar CSR dari Felda Mempaga ke Plaza Tol Bentong yang jarak antara kedua-duanya tidak begitu jauh.

Ia lebih sesak jika dibandingkan ketika susur keluar CSR ini belum dibina dan belum dibuka. Kesesakan ini berlaku disebabkan jumlah kenderaan dari Pahang Timur dan Terengganu bertemu kenderaan dari susur CSR dari arah Mempaga.

Ia mewujudkan kesesakan kerana hanya terdapat dua lorong sepanjang 1.5 kilometer di KLK sebelum menghampiri Plaza Tol Bentong.

Justeru, dicadangkan agar pihak berwajib menambah dari dua ke empat atau enam lorong dari susur keluar CSR Mempaga ke Plaza Tol Bentong.

Sementara untuk langkah jangka panjang ialah pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mempercepatkan pembinaan sambungan CSR dari Mempaga ke Pelangai menghala arah selatan berhampiran sempadan Negeri Sembilan.

Selain itu, dicadangkan juga LLM dan kerajaan merancang membina lebuh raya baharu dari CSR di Pelangai ke Kajang, Selangor merentasi bahagian selatan Banjaran Titiwangsa sebagai pilihan laluan ke Pantai Barat atau Pantai Timur.

TEROPONG DO RE MI, Setapak, Kuala Lumpur

Lebuh raya CSR Bentong-Lebu dibuka hari ini

CENTRAL Spine Road (CSR) dari Bentong ke Lebu dibuka hari ini untuk pengguna jalan raya.

Laluan empat-lorong sepanjang 28.5km itu ialah bahagian Seksyen 5 (Kampung Asap – Kampung Sertik yang dikenali sebagai 5C dan Bentong yang dikenali sebagai 5D).

Sumber: Media sosial

Apabila dibuka, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur atau Kuantan yang mahu ke Raub, Lipis dan Kelantan tidak perlu lagi melalui bandar Bentong.

Mereka yang melalui lebuh raya Karak boleh memasuki CSR berdekatan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bentong sebelum keluar di Lebu untuk menyambung perjalanan ke jalan lama sedia ada.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dijangka hadir untuk membuka laluan itu hari ini.

Wan Rosdy – yang memeriksa laluan itu di Mempaga minggu lepas – berkata sub-pakej 5C dan 5D itu adalah sebahagian dari laluan penuh sepanjang 350km yang merentasi dari Kuala Krai, Kelantan dan Bentong.

“Seperti disebut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membentangkan RMK-12, projek RM8.7 bilion itu dijadualkan siap sepenuhnya pada 2025.

“Apabila siap, CSR akan mengurangkan masa perjalanan dan memberikan lebih keselesaan kepada pengguna jalan raya. Ia juga akan membantu meningkatkan status sosio-ekonomi rakyat dengan menyediakan infrastruktur berkualiti pada kawasan-kawasan terlibat,” tulisnya di laman Facebook.

CSR dibina menggunakan teknik Continuously Reinforced Concrete Pavement (CRCPP). Ia mempunyai enam fasa: dari Kuala Krai ke Jambatan Sungai Lakit, Kelantan (47km), Jambatan Sungai Lakit ke Gua Musang, Kelantan (60km), Gua Musang ke Kampung Relong, Pahang (94km), Kampung Relong ke Raub, Pahang (45km), Raub ke Bentong (54km); dan Bentong ke Simpang Pelangai (47km).

Tujuh ditahan cuba rentas negeri, polis perketat SJR menjelang lockdown

TINDAKAN dua lelaki cuba merentas negeri membawa padah apabila ditahan dalam satu sekatan jalan raya (SJR) dekat Plaza Tol Bentong, kelmarin.

Tidak cukup dengan kesalahan itu, kedua mereka juga didakwa memalsukan borang rentas negeri untuk ke Kelantan.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar memaklumkan, lelaki berumur 25 dan 34 tahun ditahan pada 6.30 petang.

Penahanan mereka dibuat selepas anggota polis bertugas meragui nombor siri terdapat pada borang dikemukakan.

“Anggota bertugas juga meragui kesahihan cap dan tandatangan ketua balai yang didakwa meluluskan borang itu menyebabkan pegawai polis di lokasi menghubungi balai polis terlibat.

“Semakan mengesahkan nombor siri itu tidak wujud selain polis di balai berkenaan tidak pernah menerima permohonan daripada kedua-dua lelaki tersebut,” katanya seperti dilaporkan, Bernama.

Kedua-dua lelaki tersebut disiasat mengikut Seksyen 22(D) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Setakat kelmarin, tujuh individu ditahan di SJR Bentong bagi membantu siasatan memalsukan borang rentas negeri.

Sebelum ini, kerajaan mengeluarkan arahan larangan rentas negeri susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara.

Ia dibuat selepas berlaku peningkatan penularan kes Covid-19 yang setakat ini mencecah lebih 565,533 secara keseluruhan.

Perintah ‘lockdown’ seluruh negara

Sementara itu, negara bakal menjalani ‘total lockdown’ selama dua minggu bermula esok.

Berdasarkan pengumuman dibuat Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri, semua pergerakan rentas negeri tidak dibenarkan dalam tempoh lockdown.

Secara tidak langsung, arahan itu turut terpakai kepada pasangan jarak jauh (PJJ) yang mana sebelum ini dibenarkan merentas negeri.

Bagaimanapun, kenderaan melibatkan sektor ekonomi tertentu dibenarkan beroperasi.

Mereka yang didapati bersalah akan dikenakan tindakan tegas pihak berkuasa termasuk kompaun.