Arkib Tag: bekalan cip

Harga kereta berkemungkinan naik kerana Ringgit lemah

HARGA kenderaan di Malaysia dijangka meningkat berikutan kenaikan harga bahan mentah susulan kelemahan nilai ringgit dan isu kekurangan bekalan cip komputer yang berterusan.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Datuk Aishah Ahmad, berkata wujud kemungkinan besar akan berlaku kenaikan harga kereta di Malaysia berikutan peningkatan kos yang terpaksa ditanggung oleh pengeluar.

Katanya, bagaimanapun, pengeluar kenderaan di Malaysia belum lagi memutuskan kenaikan harga kenderaan atau terus menyerap semua kos yang perlu ditanggung.

“Kenaikan harga bahan mentah, kos logistik, kejatuhan ringgit antara lain akan menjadi penyebab pengeluar terpaksa menaikkan harga kenderaan. Namun, ia belum diputuskan lagi,” kata Aishah.

“Jika pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan tamat akhir Jun ini tidak disambung, ia akan memburukkan keadaan sekali gus meningkatkan lagi harga kenderaan jika pengeluar memutuskan menaikkan harga produk mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, pengeluar kereta nasional itu masih cuba untuk menyerap kenaikan kos bahan mentah supaya harga kenderaan keluaran Proton dapat dikekalkan.

Bagaimanapun, katanya, jika keadaan memaksa selain mengambil kira pembabitan vendor, Proton berkemungkinan terpaksa berkongsi kenaikan harga berkenaan dengan pelanggan.

Baru-baru ini, MAA mendedahkan jumlah keseluruhan industri (TIV) mencecah paras tertinggi dalam sejarah pada Mac kepada 73,222 unit, melonjak 63 peratus bulan ke bulan atau 13 peratus tahun ke tahun.

Lonjakan ketara itu didorong terutamanya oleh peningkatan pengeluaran oleh pengeluar disokong pesanan tertunggak yang kukuh.

Secara kumulatif, TIV tiga bulan pertama tahun ini melonjak 13 peratus kepada 159,752 unit.

Selesai isu bekalan cip, Toyota beroperasi seperti biasa bermula Disember

TOYOTA memaklumkan semua kilangnya di Jepun akan kembali beroperasi seperti biasa bermula Disember selepas berdepan masalah kekurang bekalan cip semikonduktor.

Memetik laporan media, langkah itu bakal menyaksikan penghasilan lebih 800,000 kenderaan baharu.

Sebelum ini, Toyota mengurangkan pengeluaran kenderaannya di seluruh dunia sehingga 15 peratus ekoran masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor.

Amerika Utara antara benua terjejas teruk akibat masalah kekurangan bekalan cip semikonduktor yang mana hanya 170,000 unit dihasilkan Toyota sepanjang September.

Sementara itu, Toyota juga menghentikan produksi di tiga kilang pengeluarannya di Thailand akibat kekurangan bekalan komponen.

Bagaimanapun, Toyota memberi jaminan akan terus mengukuhkan rantaian bekalan agar dapat memenuhi permintaan pelanggan.