Arkib Tag: bangunan runtuh

Sembilan maut, rakaman bangunan runtuh atas bas tular

SEKURANG-KURANGNYA sembilan maut apabila sebuah bangunan lima tingkat yang diruntuhkan mengenai bas sedang berhenti berhampiran lokasi kejadian.

Insiden berlaku di bandar Gwangju, Korea Selatan itu turut mencederakan beberapa individu lain.

Portal berita BBC melaporkan, bas tersebut membawa lebih 17 penumpang ketika kemalangan berlaku.

Jurucakap pasukan bomba berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti punca bangunan terbabit diruntuhkan.

Sementara itu, saksi kejadian berkata insiden berlaku sekelip mata apabila bangunan tersebut runtuh tepat mengenai bas malang berkenaan.

“Saya tidak dapat melihat dengan jelas keadaan jalan raya ketika bangunan tersebut runtuh kerana dilitupi debu tebal.

“Untuk mendapatkan kepastian, saya semak kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapati sebuah bangunan runtuh mengenai bas,” kata Yang Ik-je kepada media.

Terdahulu, para pekerja melakukan kerja pemusnahan bangunan mengakui telah menutup kawasan berkenaan sementara waktu bagi tujuan keselamatan.

Bagaimanapun, siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengesahkan dakwaan berkenaan.

Sebelum ini, rakaman insiden terbabit turut tular di media sosial.

Pada tahun 1995, Korea Selatan pernah berdepan kejadian sama apabila sebuah bangunan pasar raya runtuh dan mengorbankan 500 nyawa.