Arkib Tag: Bangladesh

Proton X90 masuk pasaran Bangladesh

PROTON mengumumkan ia telah melancarkan X90 di Bangladesh pada 29 Februari lalu. Ia merupakan pasaran eksport keempat bagi model SUV itu selepas Mauritius, Afrika Selatan dan Brunei.

Acara yang diadakan di Dhaka, dirasmikan oleh Haznah Md. Hashim, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Rakyat Bangladesh, Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Romo Rouf Chowdhury, Pengarah Urusan Kumpulan, Rancon Holdings Berhad.

Dua varian X90 iaitu Flagship enam tempat duduk dan Premium tujuh tempat duduk ditawarkan kepada pembeli dan sehingga kini, 25 unit telah didaftarkan dalam tempoh kurang daripada dua minggu selepas pelancarannya.

Proton dalam satu kenyataan berkata mereka yakin bahawa Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) itu akan dapat mencipta niche pasaran sebelum operasi pemasangan tempatan (CKD) bermula akhir tahun ini.

“Proton yakin Rancon Holdings adalah rakan kongsi yang sempurna untuk Proton berjaya di Bangladesh. Mereka sudah pun menubuhkan rangkaian jualan dan selepas jualan dan akan melabur untuk membina barisan pembuatan untuk memasang kenderaan Proton secara tempatan pada masa hadapan,” kata Dr Li Chunrong.

“Dengan lebih banyak tawaran dalam perancangan, serta komitmen kami untuk menyokong semua aspek perkongsian, kami menyasarkan untuk menjadi jenama 3 teratas di Bangladesh dalam tempoh tiga tahun,” tambah beliau.

Menurut Proton, komponen penting untuk mencapai sasaran tingginya di Bangladesh ialah penubuhan barisan pemasangan.

Selain daripada membenarkan produknya layak untuk kadar cukai yang lebih rendah, kilang baharu juga menggalakkan pembangunan pekerja tempatan mahir sambil membangkitkan ekosistem vendor melalui pemindahan teknologi.

Operasi disasarkan bermula seawal 2024, dengan piawaian pengeluaran yang ketat dikuatkuasakan bagi memastikan output sepadan dengan kualiti kenderaan yang dibina di Tanjung Malim.

“Untuk memastikan kualiti produk di pasaran eksport yang dipasang secara tempatan adalah setara dengan kenderaan yang dibina di Malaysia, Proton bersandar pada pengalamannya manggunakan Volvo Global Quality Standard, yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti produk kami,” tambah Dr Li.

Proton X50 1.5L Flagship kini di pasaran Bangladesh

PROTON X50 berjaya ‘mendarat’ di bumi Bangladesh pada tanggal 12 Mac lalu.

Memetik Funtasticko.Net di laman Facebook, majlis pelancaran Proton X50 dilakukan secara besar-besaran oleh PHP Automobiles Limited.

Pelancaran telah berlangsung di kilang pengeluaran milik syarikat itu yang terletak di Chattogram.

Proton X50 1.5L Flagship yang dipasarkan di pasaran Bangladesh dikuasakan oleh enjin tiga silinder 1.5 liter turbo.

Ia mampu menghasilkan 174 kuasa kuda dan 226Nm daya kilas serta dipadankan dengan transmisi 7-kelajuan DwiCekam (DCT).

Proton X50 dijangka mampu member saingan sengit di pasaran Bangladesh. – Foto ihsan Proton X50 ketika dilancarkan dalam satu majlis oleh PHP Automobiles Limited di Bangladesh. – Foto ihsan PHP Automobiles Limited

Pada masa sama, Proton X50 ini turut dilengkapi brek parkir elektronik, rim aloi 17 inci dan unit infohibur bersama skrin paparan 8 inci.

Selain itu, pembeli juga menikmati jaminan selama lima tahun danlima kali servis secara percuma!

Apa pun, tahniah buat Proton kerana berjaya memasarkan lagi X50 di negara luar.

Syabas!