Arkib Tag: Bajet 2022

Insentif pengecualian cukai jualan kereta tinggal empat bulan sebelum tamat

TINGGAL kurang empat bulan untuk rakyat negara ini menikmati insentif pengecualian cukai jualan kereta bagi pembelian keluaran tempatan atau import sedan.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, hari ini.

Jelasnya, Kementerian Kewangan, menerusi Bajet 2022 telah melanjutkan tempoh insentif pengecualian cukai jualan kereta sehingga 30 Jun, 2022.

Ia bagi menggalakkan pemilikan kereta, merangsangkan pertumbuhan ekonomi tempatan dan memacu momentum perkembangan sektor automotif.

“Pengecualian cukai jualan kereta kekal seperti mana sebelum ini iaitu pengecualian cukai jualan 100 peratus ke atas kereta penumpang pemasangan tempatan (CKD).

“Manakala, pengecualian cukai jualan sebanyak 50 peratus diberikan ke atas kenderaan penumpang pemasangan luar negara (CBU).

“(Ia) termasuk MPV (kenderaan pelbagai guna) dan SUV (kenderaan utiliti sukan) merangkumi CBU import baharu dan CBU import terpakai,” katanya.

Tengku Zafrul berkata berkata demikian dalam laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) ke-86.

Permohonan subsidi kerusi kanak-kanak dibuka bermula 1 Mac

BERITA penting untuk golongan ibu bapa yang sedang merancang mendapatkan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Seperti diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2022 tahun lalu, ibu bapa berminat mendapatkan subsidi bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak boleh berbuat demikian bermula 1 Mac ini.

Memetik laporan The Rakyat Post, ibu bapa boleh membuat permohonan menerusi laman web www.mycrs.gov.my.

Bagaimanapun, tidak semua layak menerima subsidi 50 peratus atau sehingga RM150 itu.

Berdasarkan syarat ditetapkan, pemohon mesti berada dalam kategori isi rumah B40 dan berusia 21 tahun ke atas.

Pemohon juga perlu menetap di Malaysia dan mempunyai anak atau anak angkat berusia 12 ke bawah.

Sebagai makluman tambahan, sebuah keluarga hanya layak memohon satu permohonan subsidi sahaja.

Setiap pemohon boleh menyemak keputusan permohonan bermula 1 April 2022.

Pembelian kerusi keselamatan hanya terhad kepada kedai diluluskan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS).

Setakat ini, masih ramai rakyat Malaysia yang memerlukan penerangan mengenai kepentingan kerusi keselamatan kanak-kanak.

Ramai kalangan ibu bapa kurang memberi perhatian mengenai keperluan kerusi keselamatan kanak-kanak dan salah satu alasan diberikan adalah kerana harganya agak mahal.

Bagi mengetahui lanjut mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak, saksikan video yang pernah kami sediakan sebelum ini.

Lam Thye kecewa, dakwa tiada peruntukan keselamatan jalan raya

PASCA pembentangan Belanjawan 2022, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat meluahkan rasa kecewa dengan pengurangan peruntukan dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya.

Tan Sri Lee Lam Thye mendakwa, tiada peruntukan khas bagi melaksanakan projek keselamatan jalan raya walau angka kematian akibat nahas amat membimbangkan.

Katanya, Ikatan Komuniti Selamat telah menghantar cadangan kepada kerajaan agar memberi peruntukan terutama membabitkan pembinaan serta penyelenggaraan lorong khas motosikal.

“Nampaknya tiada langsung kemahuan politikal untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi menyiapkan lorong motosikal.

“Kalau dilaksana boleh menyelamatkan ribuan nyawa, terutamanya warga muda.

“Ini dapat dibuktikan bukan sahaja berdasarkan kajian berterusan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), tetapi juga pemikiran waras,” katanya.

Lorong khas motosikal penting sebagai usaha mengurangkan kemalangan kalan raya.

Ini memandangkan kenderaan motosikal akan diasingkan dengan kenderaan lain di jalan raya yang saiznya jauh lebih besar.

Terdahulu, Lam Thye berharap kerajaan serta ahli politik memainkan peranan lebih besar agar kemalangan motosikal dapat dibanteras.

“Tujuh daripada 10 kematian atas jalan raya adalah daripada pengguna motosikal, sekaligus menjadikan Malaysia semakin hampir kepada Thailand.

“Populariti servis penghantaran semakin meningkat sekarang, jumlah kematian juga akan naik.

“Sehinggalah kerajaan dan pemimpin politik sedar realiti sebenar kematian yang boleh dibendung ini banyak memberikan impak sosial dan ekonomi kepada negara,” katanya lagi.

Rangkuman Belanjawan 2022: Apa industri automotif dapat?

KERAJAAN akan melanjutkan pengecualian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi pembelian kenderaan penumpang pemasangan tempatan (CKD) sehingga 30 Jun 2022.

Perkara itu diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut memberikan diskaun 50 peratus bagi SST kenderaan import baharu dan recond.

Jelasnya, langkah ini diambil kerajaan bagi meningkatkan ekonomi industri automotif tempatan.

Sebelum ini, tarikh asal pengecualian SST adalah pada 31 Disember 2021.

Sementara itu, kerajaan turut memberikan subsidi 50 peratus atau RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak.

Diskaun ini diberikan kepada keluarga tergolong dalam kategori B40.

Secara keseluruhan, kerajaan memperuntukkan RM30 juta dan memberi manfaat kepada lebih 188 ribu keluarga B40.

Belanjawan 2022 turut menyaksikan pengecualian penuh terhadap duti import, eksais dan cukai jualan bagi kenderaan elektrik (EV).

Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 turut diberikan ke atas kos pembelian dan pemasangan, sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran kemudahan pengecasan EV.

Langkah ini sebagai sokongan dan dorongan terhadap penggunaan kenderaan EV bagi mengurangkan pencemaran udara akibat daripada asap kenderaan.