Arkib Tag: Azisman

Ambang merdeka: Polis beri amaran jangan sertai konvoi, kekal patuh SOP

AKTIVITI berkonvoi masih tidak dibenarkan ketika ini.

Demikian amaran polis yang meminta semua pihak mematuhi peraturan ditetapkan sebagai usaha membendung penularan Covid-19.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, larangan termasuk sesi perjumpaan di lokasi tumpuan ramai.

Jelas Azisman, pihaknya juga melakukan persiapan bagi memantau sebarang aktiviti konvoi menjelang sambutan hari kemerdekaan pada 31 Ogos nanti.

“Bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini, pihak JSPT sudah bersedia dengan perancangan mengatur penugasan Op Khas Ambang Merdeka 2021.

“Penguatkuasaan menyeluruh melibatkan kontinjen dan daerah serta Sektor Kenderaan Peronda Lebuhraya (EMPV) Bukit Aman bermula 28 Ogos hingga 1 September,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial sekumpulan lelaki disaman polis kerana melakukan aktiviti konvoi bermotosikal di Shah Alam, Selangor.

Salah seorang individu disaman memuatnaik status di media sosial berhubung perkara itu sambil mengaku tidak mengetahui bahawa aktiviti konvoi masih tidak dibenarkan.

Terdahulu, Azisman memaklumkan polis telah mengadakan operasi secara bersepadu bersama lain-lain agensi penguatkuasaan.

Katanya, operasi secara besar-besaran dibuat bagi memastikan semua pihak mematuhi peraturan jalan raya dan berharap peraturan dikuatkuasakan terus dihormati.

“Memandangkan pandemik Covid-19 masih belum reda…tiada sebarang sambutan atau perarakan secara besar-besaran akan diadakan di peringkat kebangsaan dan negeri.”

Kesalahan trafik: Polis boleh dakwa di mahkamah guna bukti video, foto

POLIS boleh menggunakan pendekatan mengumpul bukti melalui gambar dan video untuk tujuan pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan lalu lintas.

Perkara itu dimaklumkan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Azisman Alias.

Pada masa sama, Azisman menggesa anggota polis berhati-hati ketika menjalankan operasi banteras lumba haram.

Jelasnya, anggota polis turut dinasihatkan tidak berdepan dengan kumpulan lumba haram kerana ia boleh membahayakan keselamatan diri.

“Walaupun polis tidak dapat membuat penahanan pada hari yang sama tetapi bukti-bukti ini boleh digunakan untuk pihak polis melakukan tahanan,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Azisman berkata demikian bagi mengulas insiden dua anggota polis maut ketika menjalankan operasi cegah lumba haram di Kajang, Selangor.

Pada Ahad, dua anggota polis terkorban ketika mengejar pelumba haram di kilometer 24.4 Lebuhraya Lingkaran Kajang (SILK) dari arah Kajang ke Putrajaya.

Sarjan Mohd Arifah Md Yasin, 36, dan Konstable Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, meninggal dunia di tempat kejadian.

Terdahulu, Azisman berharap insiden sama tidak berulang kepada mana-mana anggota polis di masa depan.

Pada masa sama, Azisman mengucapkan takziah kepada keluarga anggota terlibat.

“Bagi kes yang berlaku di Kajang, ia adalah kemalangan yang tidak disengajakan dan kami amat terkilan dengan kejadian itu, ” katanya lagi.