Arkib Tag: Ayob Khan Mydin Pitchay

iCOPS kamera pintar kesan pesalah trafik belum lunas bayaran saman

USAHA mendisiplinkan pengguna jalan raya terus dipergiat oleh pasukan Polis Diraja Malaysia.

Terbaharu, polis Johor dilaporkan menggunakan kamera pintar bagi mengesan pesalah trafik yang mempunyai tunggakan kompaun serta waran tangkap.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menerima empat kamera pintar iCOPS sejak awal tahun ini bagi mengesan pesalah trafik.

“Polis Johor dibekalkan empat kamera pintar iCOPS yang kini digunakan di tiga daerah iaitu Kota Tinggi, Johor Bahru Selatan (JBS) dan Iskandar Puteri.

“Alat ini dapat mengesan kenderaan yang mempunyai saman tertunggak, waran tangkap, nombor pendaftaran palsu dan rekod jenayah curi.

“Data kenderaan akan diperoleh melalui saringan nombor pendaftaran menerusi iCOPS yang kemudian dihubungkan dengan pangkalan data iCOPS JSPT,” katanya.

Untuk rekod, Johor mencatatkan jumlah saman tertunggak yang agak tinggi termasuk melibatkan kenderaan asing.

Setakat tahun 2020, sebanyak 193,713 saman masih lagi belum dijelaskan dan kesemuanya adalah merupakan pesalah trafik bukan warganegara.

Justeru, PDRM memandang serius akan perkara ini dan terus memantau pintu masuk sempadan Malaysia – Singapura bagi membuat pemeriksaan saman tertunggak.

Mereka yang dikesan akan ditahan dan diarah membayar saman tertunggak serta merta sebelum memasuki Malaysia.