Pasukan Mitsubishi Ralliart yang menerima sokongan teknikal daripada Mitsubishi Motors Corporation bakal menyertai saingan Asia Cross Country Rally (AXCR 2026) dengan tiga buah Triton.
Pasukan ini mensasarkan untuk meraih kemenangan berturut-turut buat kali kedua selepas kejayaan cemerlang pada edisi lalu menggunakan jentera trak pikap Triton yang telah ditambah baik.
Cabaran 2,000 km Di Thailand
Kejohanan AXCR ke 31 merupakan rali rentas negara terbesar di rantau ASEAN yang akan bermula pada 9 Ogos 2026 di Pattaya.
Perlumbaan ini dijadualkan tamat di Phitsanulok pada 15 Ogos 2026 dengan melibatkan jarak keseluruhan kira-kira 2,000 km.
Para peserta perlu menempuh rupa bumi yang sangat mencabar termasuk hutan hujan, jalan berlumpur, laluan sungai dan kawasan pergunungan yang menguji ketahanan jentera.
Mitsubishi Motors sentiasa menganggap penyertaan rali sebagai makmal ujian bergerak yang menjadi medan pembangunan penting bagi mengasah kecekapan pemandu dan jentera.
Melalui demonstrasi dalam persekitaran yang ekstrem, syarikat ini berupaya memperkukuh keupayaan pembangunan produk mereka untuk kegunaan model produksi pada masa hadapan.
Triton Spesifikasi T1 dan Grafik Baharu
Bagi saingan tahun 2026, Pasukan Mitsubishi Ralliart membariskan tiga buah jentera Triton yang telah diubah suai mengikut spesifikasi T1.
Jentera ini telah diperkenalkan secara rasmi di Pertunjukan Motosikal Antarabangsa Bangkok ke 47 dengan penampilan hiasan luaran baharu yang lebih garang.
Reka bentuk ini menonjolkan warna merah bertenaga yang diinspirasikan daripada jentera rali ikonik Lancer Evolution dan Pajero.
Corak digital sandstorm serta logo RALLIART yang melambangkan debu rali dikekalkan daripada model terdahulu.
Susunan grafik yang mendongak dari bahagian depan ke belakang mengekspresikan semangat jitu Mitsubishi Motors dalam sukan permotoran.
Penyediaan Triton Untuk AXCR 2026
Ketika pasukan lawan giat mempertingkatkan prestasi jentera masing-masing, Mitsubishi turut memperkemaskan enjin, ampaian serta komponen lain bagi melonjakkan potensi.
Kesemua ini untuk membolehkan Triton bersaing dalam keadaan yang paling optimum.
Barisan Pemandu Triton dan Pengurusan Pasukan
Pasukan ini dikendalikan oleh Tanto Sports dari Thailand dengan Hiroshi Masuoka daripada Mitsubishi Motors bertindak sebagai pengurus besar.
Jurutera daripada jabatan pembangunan akan terlibat secara langsung dalam membina jentera pertandingan serta menyediakan sokongan teknikal sepanjang enam hari perlumbaan berlangsung.
Barisan pemandu utama terdiri daripada Chayapong Yota dan juruarah Peerapong Sombatwong yang merupakan juara keseluruhan tahun 2022 dan 2025.
Chayapong dikenali dengan gaya pemanduan yang sangat tepat dan pantas.
Selain itu, Katsuhiko Taguchi dan Takahiro Yasui turut kembali selepas meraih kedudukan ke 5 keseluruhan pada tahun lalu, manakala Kazuto Koide dan Eiji Chiba akan bertindak sebagai jentera sokongan.
Ringkasan Maklumat Pasukan Mitsubishi Ralliart:
- Nama Pasukan: Team Mitsubishi Ralliart
- Pengurus Besar: Hiroshi Masuoka
- Wakil Pasukan: Shayut Yangpisit (Tanto Sports)
- Pengarah Teknikal: Kohpon Amatayakun
- Model Kenderaan: Mitsubishi Triton (Spesifikasi T1)
- Jarak Keseluruhan: Kira-kira 2,000 km
- Lokasi Perlumbaan: Thailand (Pattaya ke Phitsanulok)
- Tarikh: 9 hingga 15 Ogos 2026
- Pemandu 1: Chayapong Yota (38 tahun, Juara AXCR 2022 dan 2025)
- Pemandu 2: Katsuhiko Taguchi (54 tahun, Juara APRC dua kali)
- Pemandu 3: Kazuto Koide (46 tahun, Pemandu Uji Mitsubishi Motors di antaranya Pajero dan Lancer Evolution)
