Arkib Tag: asia tenggara

Carsome Certified Lab ‘tukar’ kereta lama jadi kenderaan baharu

CARSOME terus tekad memberi perkhidmatan terbaik buat para pelanggan dengan melancarkan Carsome Certified Lab.

Mempunyai keluasan lebih 185,000 kaki persegi, Carsome Certified Lab dijangka memberi transformasi baharu dalam industri kenderaan terpakai.

Persoalannya, apakah itu Carsome Certified Lab?

Carsome Certified Lab merupakan kemudahan baik pulih kereta terbesar di Asia Tenggara.

Ini bermakna ia bertindak untuk ‘menukar’ kereta terpakai menjadi seperti sebuah kenderaan baharu!

Pengurus Besar Carsome Certified Malaysia berkata, setiap kereta akan melalui pemeriksaan 175 titik secara terperinci untuk memastikan bebas daripada kerosakan kerangka, kebakaran, banjir dan kemalangan besar.

“Kami mempunyai garis panduan yang boleh diukur untuk semua kereta Carsome Certified yang melibatkan proses membaik pulih yang menyeluruh.

“Kami mempunyai keupayaan pengeluaran yang tinggi, teknologi dan pakar berpengalaman, serta mampu membaik pulih sehingga 30 jenama kereta.

“Ia turut disertakan dengan waranti selama setahun,” kata Alan Cheah.

Cheah berkata demikian pada taklimat media secara maya sempena pelancaran kemudahan itu, hari ini.

Sementara itu, Carsome Certified Lab dikatakan mampu membaik pulih sehingga 2,000 buah dalam tempoh sebulan.

Terdahulu, Cheah berkata tiada yuran tersembunyi akan dikenakan bagi membina kepercayaan dan ketelusan pelanggan.

Harga tersebut termasuk yuran cukai jalan, yuran pemeriksaan Puspakom, yuran pemindahan pemilikan dan yuran permohonan pinjaman.

“Bagaimanapun, jika pelanggan memutuskan untuk mengubah fikiran, kami mempunyai jaminan wang dikembalikan dalam tempoh lima hari.

“Tiada soalan ditanya, bermakna anda boleh memulangkan kereta itu dalam masa lima hari dan kami akan memprosesnya dengan sewajarnya,” katanya lagi.

Setakat ini, Carsome Certified Lab dijangka akan diperluas dalam tempoh 12 bulan akan datang merangkumi Thailand dan Indonesia.

Carsome Certified Lab galak beli kereta terpakai

Carsome Certified Lab menjangkakan permintaan kereta terpakai akan baik dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ia susulan pandemik Covid-19 sekaligus sebagai langkah penjimatan berganda buat para pengguna.

Pada masa sama, Carsome Certified Lab berpandangan membaik pulih kereta terpakai turut membantu memberi impak yang baik kepada alam sekitar.

Setakat ini, Carsome mempunyai lebih 1,000 kereta yang disenaraikan di laman webnya dan ia menawarkan pengalaman digital yang lancar.

Pengguna boleh menyemak dalam talian dengan gambaran 360 darjah, membeli satu dengan kertas kerja yang minimum dan kenderaan akan dihantar ke rumah.

Indonesia jadi negara ketiga buat kiraan cukai berdasarkan pelepasan karbon, bukan lagi ikut kapasiti enjin

INDONESIA akan mengubah struktur cukai kenderaan mereka yang berdasarkan kapasiti enjin kepada pengiraan berdasarkan pelepasan karbon CO2 yang lebih terkini.

Sistem ini akan bermula pada 16 Oktober 2021 dan ini menjadikan Indonesia negara yang ketiga di rantau Asia Tenggara yang melaksanakan sistem ini selepas Singapura dan Thailand.

Presiden Indonesia, Joko Widodo. Sumber: Facebook

Ia sebahagian langkah menyesuaikan Cukai Barangan Mewah (Luxury Goods Tax) untuk kenderaan akan menjadikan struktur cukai Indonesia setaraf dengan negara maju ASEAN yang lain yang mula diumumkan pada 2019.

Jadi, apa perubahan yang akan berlaku dalam industri automotif negara jiran ini? Pertamanya, sedan dan SUV tidak akan dikenakan cukai yang lebih tinggi kerana tiada lagi cukai berdasarkan jenis badan kenderaan dalam sistem baharu ini.

Kenderaan seperti MPV, SUV, dan hatchback sebelum ini dikenakan cukai antara 10 hingga 125 peratus bergantung kepada kapasiti enjin, manakala sedan dan kenderaan 4WD/AWD dikenakan cukai antara 30 hingga 125 peratus.

Sumber: bestsellingcarsblog.com

Ini menjelaskan kenapa Toyota Avanza dan Innova lebih banyak dijumpai di sana berbanding Honda Civic. Sistem baharu ini akan menjadikan model sedan seperti Civic dan Toyota Corolla lebih berdaya saing.

Sumber: Kompas Otomotif

Sementara itu, kenderaan Low Cost Green Cars (LCGC) seperti Daihatsu Ayla dan Toyota Agya (kembar Perodua Axia) akan melihat sedikit kenaikan harga kerana akan dikenakan cukai 3 peratus.

LCGC di sini dikategorikan sebagai kereta bandar dengan kapasiti enjin bawah 1.2-liter dan mempunyai kecekapan bahan api sekurang-sekurangnya 20km/liter.

Untuk segmen MPV dan SUV Rendah (seperti Toyota Avanza dan Rush) juga akan mengalami kenaikan harga.

Walaubagaimanapun, kebanyakan pengguna tidak akan merasai kenaikan harga tahun ini. Struktur cukai baharu akan melihatkan cukai antara 15 hingga 70 peratus untuk kenderaan penumpang dengan penekanan untuk kenderaan elektrik bateri (BEV).

Untuk menikmati cukai terendah (15 peratus), kenderaan petrol harus memperoleh kecekapan bahan api minimum 15.5km/liter dan pelepasan karbon tidak lebih 150g/km, manakala diesel pula 17.5km/liter dengan pelepasan CO2 sama.

Pengurangan cukai seterusnya akan meningkat 5 peratus untuk setiap kenaikan 50g/km dan sehingga 25 peratus untuk tahap 250g/km.

Had kecekapan bahan api petrol bermula pada minimum 11.6 hingga 15.5 km/liter untuk lingkungan cukai 15 peratus, meningkat kepada 9.3 hingga 11.5 km/liter dan kemudiannya 9.2km/liter kebawah.

Untuk diesel: 13.1 hingga 17.5 km/liter, 10.5 hingga 13 km/liter, dan 10.5 km/liter ke bawah untuk lingkungan cukai yang sama.

Kenderaan elektrik Fuel Cell Electric Vehicle (FCEV), BEV, dan Biofuel akan dikenakan cukai minimum 15 peratus sahaja.

Secara umumnya, harga kenderaan hibrid juga akan meningkat, tetapi kenaikan akan diketepikanbagi pengeluar kenderaan yang telah memberi komitmen pelaburan sekurang-kurangnya Rp5 trilion (sekitar RM1.47 bilion) dalam pengeluaran kenderaan elektrik tempatan.

Sumber: Malay Mail

Malaysia bila lagi? Ya, satu persoalan menarik. Malangnya tanah air kita masih mengenakan struktur cukai zaman dinosaur yang berdasarkan kapasiti enjin.

Jangankan bab cukai, kurikulum sekolah memandu kita pun masih lagi menyuruh penunggang motosikal mengangkat tangan jika berhenti. Siapa antara anda yang pernah praktikkan cara ini semasa menunggang di jalan raya sebenar?