Arkib Tag: Asia Cross Country Rally 2026

AXCR 2026: Team Mitsubishi Ralliart raih kemenangan kedua berturut-turut

Mitsubishi Motors Corporation mengumumkan Team Mitsubishi Ralliart muncul juara keseluruhan dalam Asia Cross Country Rally (AXCR) 2026 pada 9 hingga 15 Ogos lepas.

Pencapaian ini turut menandakan kemenangan kali kedua berturut-turut buat Team Mitsubishi Ralliart.

Ia juga menjadi kemenangan pertama pasukan tersebut dalam sejarah AXCR yang menampilkan gandingan pemandu dan juruarah dari Jepun.

Sorotan prestasi Team Mitsubishi Ralliart

Team Mitsubishi Ralliart mempertaruhkan tiga unit trak pikap Triton spesifikasi T1 di dalam AXCR 2026.

Pemandu Katsuhiko Taguchi meraih kemenangan keseluruhan dengan catatan masa 12 jam 58 minit 20 saat.

Kazuto Koide menamatkan perlumbaan di tempat ke 27 (20 jam 58 minit 30 saat), manakala Chayapon Yotha di tempat ke-36 (34 jam 48 minit 43 saat).

Taguchi memulakan Leg 1 dengan momentum yang positif di mana beliau berjaya meminimumkan kehilangan masa yang dialami oleh ramai pelumba awal.

Biarpun keadaan jalan yang berlopak akibat hujan lebat, beliau berjaya mengakhiri acara pembukaan di tempat ketiga keseluruhan.

Imej: Mitsubishi Motors Thailand

Momentum tersebut diteruskan apabila Taguchi mencatatkan masa terpantas SS dalam Leg 3 dengan kelebihan masa lapan saat.

Pada akhir Leg 5 yang merupakan peringkat terpanjang rali, pasangan Taguchi dan Yasui berjaya membina jurang lebih lima minit.

Dengan pendekatan yang berhemah, pasangan tersebut meraih kemenangan keseluruhan AXCR yang pertama mereka dengan kelebihan masa 2 minit 25 saat.

Ia sekali gus menghadiahkan kejuaraan kedua berturut-turut AXCR buat Team Mitsubishi Ralliart.

Menyertai AXCR buat kali ketiga, Kazuto Koide berdepan kesukaran di peringkat awal apabila tersangkut di tebing jalan dan menerima penalti timeout.

Namun begitu, beliau turut mencatatkan masa kelapan terpantas dalam SS5 dan menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-27 secara keseluruhan.

Imej: Mitsubishi Motors Thailand

Juara bertahan, Chayapon Yotha pula berdepan dengan insiden tayar pancit di kawasan berbatu Leg 2, dan mengalami kehilangan masa ketika menukar tayar.

Ketika Leg 3, beliau bangkit dan naik ke tempat keenam, namun separuh kedua Leg 4 menyaksikan beliau terpaksa menukar tayar buat kali kedua, diikuti masalah enjin pada awal Leg 5.

Biarpun berdepan dengan pelbagai isu dan penalti, Yotha tetap berjaya menamatkan rali di tempat ke-36.

Laluan mencabar sepanjang lebih 2,000 km

Imej: Mitsubishi Motors Thailand

AXCR edisi yang ke-31 tahun ini menampilkan laluan sepanjang 2,145.19 km, termasuk 921.80 km dalam Special Stages (SS).

Mengambil tempat sepenuhnya di Thailand, AXCR menyediakan laluan yang cukup mencabar seperti hutan tebal, seksyen berbatu besar, lintasan sungai, kawasan berlumpur yang licin dan dalam, digandingkan dengan keadaan cuaca yang panas dan lembap.

Semua ini memberikan cabaran yang hebat kepada pemandu, kru dan juga jentera.

Berikut merupakan ringkasan laluan AXCR 2026:

  • Permulaan – Walking Street, Pattaya
  • Leg 1 – Pattaya ke Prachin Buri
  • Leg 2 – Prachin Buri ke Nakhon Sawan
  • Leg 3 – Loop Nakhon Sawan
  • Leg 4 – Nakhon Sawan ke Kamphaeng Phet
  • Leg 5 – Kamphaeng Phet ke Phitsanulok
  • Leg 6 – Phitsanulok