Bertempat di Art of Speed 2026, Vespa Malaysia melancarkan tiga model skuter yang dilengkapi dengan enjin 180 cc serba baharu.
Tiga model yang dimaksudkan adalah seperti berikut:
Vespa Primavera S 180 – RM21,500
Vespa Sprint S 180 – RM21,900
Vespa Sprint Tech 180 – RM23,500
Enjin baharu lebih bertenaga
Enjin silinder tunggal i-get 173 cc serba baharu itu mampu menjana kuasa setinggi 14.8 hp @ 8,250 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 6,250 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik CVT.
Enjin baharu tersebut menawarkan manfaat seperti pecutan lebih lancar, tunggangan lebih meyakinkan dan tahap kecekapan yang lebih baik.
Ciri premium
Barisan model baharu 2026 ini turut menawarkan pelbagai ciri dan teknologi premium seperti:
skrin paparan LCD berwarna
sistem operasi tanpa kunci
Vespa Primavera S membawakan kemasan seperti aksen gangsa, rim potongan berlian, balutan tempat duduk yang dinaik taraf serta pilihan warna White Innocente dan Blue Capri.
Vespa Sprint S pula menampilkan kemasan aksen merah yang lebih menonjol, pelana yang direka baharu, serta pilihan warna White Innocente, Matt Black Convinto, Grey Intrepido, Green Tenace dan Grey Essenziale.
Vespa Sprint Tech pula merupakan varian Sprint yang lebih maju, dilengkapi dengan teknologi premium seperti skrin paparan TFT 5-inci dan sistem brek ABS dua-saluran. Ia tersedia dalam warna White Innocente, Matt Black Convinto dan Matt Grey Travolgente.
Acara tahunan Art of Speed bakal memeriahkan Malaysia Agro Exposition Park, Serdang (MAEPS) pada 1-2 Ogos 2026.
Mempertaruhkan tema musim panas, AOS 2026 menawarkan pelbagai aktiviti interaktif, pameran kenderaan kustom serta pentas SoundCircus yang merangkumi ruang dalaman seluas 452,084 kaki persegi dan kawasan luar 320 ekar.
Pameran unik
Antara tetamu jemputan antarabangsa yang bakal memeriahkan AOS 2026 termasuklah Emi Suganuma, Michihisa “NATQQ” Shinotsuka & Shohei Murakami dari MOONEYES, Wataru Kato dari Liberty Walk, serta Ronald Wong selaku Ketua Pereka Produk Hot Wheels Premium.
Turut dipamerkan barisan motosikal dan kereta kustom seperti Harley-Davidson KnuckleHead 1945 (Hawgholic), Harley-Davidson Shovelhead 1966 (Vise Clothing), serta pameran kenderaan kustom dari Bangkok dan Taiwan.
Tidak ketinggalan, pameran jenama terkenal seperti Liberty Walk, Hot Wheels, DICE Magazine, DRUM, Touch ‘n Go, Zippo, Cricket, Skillo dan Easthood.
Segmen AOS Invitational Build-Off membariskan lapan pembina motosikal kustom seperti Chaos Custom, Valley Machines, Rocketeer Custom Art, Bad Soul Cycle Custom, Mujo Joros, AR Choppers, Fazben Custom dan Sedarah MC.
Pemenang berpeluang untuk membawa hasil kerja ke acara Yokohama Hod Rod Custom Show 2026 yang ke-34 di Jepun.
Penawaran diecast eksklusif
Seperti biasa, konvensyen rasmi Hot Wheels Collectors Convention Malaysia (HWCCM) kembali memeriahkan Dewan C yang membawakan pelbagai aktiviti interaktif.
Antaranya ialah Activation Zone, pameran serta pertandingan Hot Wheels Diorama, zon jual beli, serta sesi perkongsian bersama pengumpul.
Untuk konvensyen tahun ini, HWCCM mempertaruhkan model kustom Nissan Skyline GT-R V-Spec II (BNR34) yang dihasilkan dalam unit terhad.
Setiap unit hadir dengan nombor siri unik, lesen rasmi daripada Nissan, serta pelekat tulen Motul dan Yokohama.
Dewan C juga akan mempamerkan barisan kereta Nissan Skyline GT-R sebenar dengan kerjasama Malaysia Skyline Owners Group (MSOG).
Sebagai pembuka tirai, acara majilis makan malam rasmi akan diadakan di BoraOmbak Marina, Putrajaya pada malam sebelum acara utama berlangsung.
Selain Hot Wheels, AOS 2026 akan menampilkan pelancaran model diecast eksklusif Kyosho x MOONEYES, Tarmac Works x RWB, dan Mini GT x Liberty Walk.
Aktiviti tambahan
Sepanjang AOS 2026, pengunjung boleh menikmati aktiviti tambahan yang disediakan termasuklah:
pameran Santai Scooterist
himpunan kelab kereta
pameran gaya hidup di Dewan D
Automotive Flea Market
zon jualan barangan memorabilia
pengalaman Flying Fox
sesi tunggang uji motosikal daripada jenama terkemuka
Kehadiran artis popular
Festival SoundCircus (SCF) menampilkan enam pentas membariskan artis tempatan dan antarabangsa termasuklah Ella x Cokelat, Sheila Majid, Disagree dan Hujan.
SCF akan berlangsung sepanjang hujung minggu 1-2 Ogos bermula jam 3 petang hingga 12 tengah malam.
Aktiviti Kembara Passport tawar hadiah lumayan
Aktiviti ikonik Kembara Passport kini dibuka kepada semua pemegang tiket tanpa mengira kategori.
Pengunjung hanya perlu mengumpulkan 24 cap untuk berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik bernilai RM80,000, serta pakej pelancongan eksklusif bersama Art of Speed.
Pemenang bertuah bakal membawa pulang hadiah berupa:
motosikal kustom daripada Thunder Motorcycles
skuter Vespa S 125
Honda HR-V yang telah diubah suai oleh Qartel TV
Tiket kemasukan
Untuk tempoh masa terhad, AOS 2026 menawarkan pas hujung minggu berharga RM35 yang boleh dibeli secara dalam talian.
Tiket kemasukan di kaunter pula ditetapkan pada harga RM40. Kanak-kanak bawah 12 tahun dan pemegang kad OKU akan menikmati kemasukan percuma.