Arkib Tag: adventure tourer

Morbidelli T250 & T250X 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM7,988

Mforce Bike Holdings secara rasmi mengumumkan ketibaan dua model dwi-kegunaan baharu untuk pasaran Malaysia, iaitu Morbidelli T250 2026 dan T250X 2026.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • Morbidelli T250 2026 – RM7,988
  • Morbidelli T250X 2026 – RM9,888

Morbidelli T250

Jentera ini membawakan penggayaan motard yang lasak dan sesuai untuk tunggangan di jalan raya atau laluan mencabar.

Ia dipacu oleh enjin silinder tunggal 249.4 cc sejukan minyak menghasilkan kuasa 22.4 hp @ 8,000 rpm dan 23.0 Nm @ 6,000 rpm.

Tetapan suspensi terdiri daripada fork teleskopik terbalik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban di belakang.

Sistem brek pula menggunakan cakera tunggal pada kedua-dua roda, dibantu dengan sistem ABS dua-saluran.

Antara kelengkapan lain termasuklah:

  • tangki bahan api 12 liter
  • rim 19 inci depan/17 inci belakang
  • tinggi pelana 830 mm
  • paparan meter digital
  • port pengecasan USB Type-A
  • sistem lampu LED depan & belakang
  • pelindung tangan

Terdapat tiga warna disediakan iaitu Bulk Black, Anarchy Grey dan Carnage Red.

Morbidelli T250X

Morbidelli T250X ini berkongsi enjin, transmisi 6-kelajuan serta tetapan suspensi yang sama seperti T250.

Namun berbeza dengan T250, T250X lebih bersifat sebagai sebuah jentera adventure tourer yang nampak lebih tinggi.

Ia juga menggunakan tetapan brek yang berbeza, di mana kedua-dua roda menggunakan angkup 2-omboh yang dibantu dengan ABS dua-saluran.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • tangki bahan api 12 liter
  • rim 19 inci depan/17 inci belakang
  • tinggi pelana 830 mm
  • paparan meter digital
  • port pengecasan USB Type-A
  • suis keselamatan tongkat sisi
  • sistem lampu LED
  • skrin penghadang angin
  • pelindung tangan

Tiga warna ditawarkan iaitu Bulk Black, Anarchy Grey dan Raptor Yellow.

Morbidelli T250X 

Zontes 703F diperlihatkan di Malaysia Autoshow 2025, harga bawah RM40,000

Di Malaysia Autoshow 2025, Zontes Malaysia hari ini memperlihatkan model adventure tourer Zontes 703F yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

ZT 703 F Adventure ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 699 cc yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 97 hp @ 10,000 rpm dan daya kilas 76 Nm @ 7,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam-kelajuan dan bantuan quickshifter.

Jentera ini menggunakan bahan aluminium untuk binaan casis termasuklah lengan ayun belakang, dibantu dengan sistem suspensi yang terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) dan penyerap hentak tunggal belakang, kedua-duanya daripada Marzocchi.

Pembeli boleh mendapatkan tetapan rim 19 inci dengan tinggi pelana 830 mm, atau tetapan rim 21 inci dengan tinggi pelana 845 mm.

Aspek pemberhentian menggunakan sistem brek J.Juan yang terdiri daripada rotor brek berkembar di hadapan, rotor brek tunggal di belakang serta bantuan sistem ABS dua saluran.

Ciri lain termasuklah tangki sebesar 22 liter, penghadang angin boleh laras elektronik, tinggi pelana sekitar 845 mm, pemanas grip bar hendal, skrin TFT sebesar 6.75 inci, slot pengecas USB dan sistem tanpa kunci.

Harga jualan anggaran bermula dari bawah RM40,000.

Suzuki V-Strom 250 SX 2024 rasmi, 26.1 hp, 22.2 Nm, harga RM17,800

Suzuki Malaysia baharu sahaja melancarkan jentera adventure 250 cc, iaitu Suzuki V-Strom 250 SX 2024 untuk pasaran tempatan setelah diperlihatkan buat kali pertama di KL Bike Show tahun lepas.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc SOHC yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 26.1 hp @ 9,300 rpm dan daya kilas 22.2 Nm @ 7,300 rpm, dibantu dengan sistem sejukan minyak SOCS (Suzuki Oil Cooling System) dan Suzuki Easy Start System.

Ciri yang dimuatkan pada jentera ini termasuklah fork hadapan teleskopik, penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-bebanan tujuh tahap, dan rim bersaiz 19 dan 17 inci berserta balutan tayar MRF jenis semi-block.

Sistem ABS dua saluran dibekalkan sebagai ciri standard sebagai pelengkap kepada sistem brek cakera yang terdiri daripada rotor 310 mm depan dan 240 mm belakang.

Selain daripada itu, Suzuki V-Strom 250 SX turut menampilkan unit pencahayaan LED depan dan belakang, grafik sporti, peredam ekzos muncung berkembar, penghadang angin, pelindung bar hendal, dan rak belakang aluminium.

Segala info penting boleh dibaca menerusi skrin paparan LCD negatif, lengkap dengan lampu indikasi rpm yang boleh ditetapkan oleh penunggang, serta slot USB untuk pengecasan peranti pintar.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 12 liter, diikuti dengan jarak kelegaan tanah setinggi 205 mm sementara tinggi pelana pula sekitar 835 mm.

Terdapat juga pelbagai aksesori yang tersedia termasuklah bar pelindung, kotak simpanan 27 liter, pemanas bar hendal, pelapik tangki bahan api, decal roda serta pilihan tempat duduk 25 mm lebih rendah.

Suzuki V-Strom 250 SX 2024 boleh didapati dalam tiga warna, iaitu Champion Yellow No. 2, Pearl Blaze Orange, dan Glass Sparkle Black.

Harga jualan untuk pasaran Malaysia bermula dari RM17,800.