Arkib Tag: 1000 cc

Jenama X-Wedge mendarat di Malaysia, Dato’ Awie jadi pemilik pertama!

Mforce Bike Holdings secara rasmi memperkenalkan jenama gaya hidup baharu X-Wedge untuk pasaran Malaysia.

Untuk permulaan, terdapat lima model bersesaran besar (1,000 – 2,000 cc) ditawarkan untuk rakyat Malaysia dengan harga jualan seperti berikut:

  • Ranger RX2000 – RM68,888
  • Walker WR1000 – RM78,888
  • Rover RL2000S – RM96,888
  • Rover RL2000 – RM98,888
  • Vanguard VT2000 – RM148,888

Dato’ Awie jadi pemilik pertama RL2000S

Serentak dengan itu, Mforce turut mengumumkan selebriti terkenal Dato’ Awie sebagai pemilik pertama jentera Rover RL2000S.

Majoriti model X-Wedge berkongsi enjin V-Twin yang sama bersesaran 1,976 cc yang mampu menghasilkan 102 hp @ 5,000 rpm dan daya kilas 158 Nm @ 3,000 rpm.

Sementara model tiga roda Walker WR1000 pula menggunakan enjin V-Twin 975 cc sejukan cecair dengan kuasa 80 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 80 Nm @ 5,500 rpm.

 

Galeri Gambar X-Wedge di Chongching, China

Walker WR1000

Ranger RX2000

 

Rover RL2000 

Vanguard VT2000

QJMotor SRK921 sah masuk Malaysia – harga akan diumumkan Mei 2026

Selain skuter dan sportsbike, QJMotor Malaysia turut memperlihatkan sebuah jentera naked segmen 1,000 cc yang bakal masuk Malaysia tahun hadapan, iaitu QJMotor SRK921 2026.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 921 cc sejukan udara/minyak dengan kuasa 129 PS dan daya kilas 80 Nm.

Terdapat tiga mod tunggangan iaitu Beginner, Standard dan Sport.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, penyerap hentak gas tunggal di belakang, peredam stereng Marzocchi, angkup brek empat omboh Brembo di depan serta angkup dua omboh di belakang.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan unit pengukuran inersia (IMU) enam paksi, kawalan pendikit ride-by-wire, cornering ABS, kawalan cengkaman (TCS), kawalan jelajah, penukaran gear pantas (quickshifter) dua-arah, serta kamera perakam tunggangan secara standard.

Mforce Bike Holdings akan mengumumkan harga jualan rasmi SRK921 ini semasa Mforce Bike Show 2026 yang akan berlangsung pada Mei tahun hadapan, dijangka 30 peratus lebih murah berbanding model pesaing dalam pasaran.

BMW M 1000 R Competition rasmi di Malaysia – harga dari RM219,500

BMW Motorrad Malaysia mengumumkan ketibaan model baharu berprestasi tinggi BMW M 1000 R Competition sebagai pelengkap kepada penawaran model M 1000 RR Competition yang telah dilancarkan sebelum ini.

Jentera Hyper Naked ini dikuasakan oleh empat silinder sebaris 999 cc menghasilkan 210 hp @ 13,750 rpm dan daya kilas 113 Nm @ 11,000 rpm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.2 saat dengan kelajuan maksimum melebihi 250 km/j, dalam masa yang sama masih mematuhi piawaian emisi Euro 5+.

Aspek kawalan tunggangan dibantu dengan sistem pendikit jenis short-stroke, Dynamic Traction Control (DTC), pilihan mod tunggangan Riding Modes Pro (Rain, Road, Dynamic, Race, dan 3 mod Race Pro), kawalan jelajah, serta Gear Shift Assistant Pro.

Antara ciri standard yang dibekalkan termasuklah kit casis M, bateri ringan M, brek M, ekzos titanium M, pelana, serta skrin paparan lengkap dengan animasi permulaan M.

Jentera ini ditawarkan dalam varian eksklusif M Competition dengan warna Blackstorm metallic M Motorsport yang turut mendapat pakej penuh M Competition merangkumi:

  • M Carbon Package
  • M Carbon Wheels
  • M Carbon Winglets
  • M Endurance Chain
  • M Passenger Kit
  • M GPS-Laptrigger

 

BMW M 1000 R Competition ini dijual pada harga bermula dari RM219,500 lengkap dengan pakej jaminan tiga-tahun dan bantuan tepi jalan 3-tahun, tanpa insurans.

Dengan pakej pembiayaan BMW Group Financial Services Malaysia, jentera ini boleh didapati pada harga ansuran bulanan RM3,068 berdasarkan pinjaman 90 peratus dan tempoh tujuh-tahun.

Honda CB1000F 2026 didedahkan secara rasmi di Eropah

Honda meneruskan kesinambungan keluarga ‘CB’ dengan melancarkan model baharu CB1000F untuk tahun 2026.

Menggunakan platform CB1000 Hornet sebagai asas, CB1000F turut dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 1,000 cc yang telah ditala semula untuk tunggangan yang lebih bertenaga pada julat rendah dan pertengahan.

Ia kini mampu menjana kuasa setinggi 122 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 103 Nm @ 8,000 rpm.

Nisbah kotak gear juga telah disemak semula, diikuti dengan penggunaan klac assist/slipper untuk tunggangan yang lebih santai.

Suspensi CB1000F terdiri daripada fork Showa SFF-BP jenis terbalik (USD) 41 mm di depan, dibantu dengan suspensi Pro-Link di bahagian belakang, masing-masing menawarkan jarak pergerakan roda 130 mm dan 140 mm.

Roadster retro ini juga turut dilengkapi sistem brek Nissin terdiri daripada angkup brek empat omboh berserta rotor berkembar 310 mm di depan, diikuti dengan angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Melengkapi gaya retro moden jentera ini ialah padanan tabung ekzos gaya klasik, rim aluminium bersaiz 17 inci, serta sistem lampu LED depan dan belakang.

Secara standard, CB1000F hadir dengan sistem ABS dua saluran, dibantu dengan unit pengukuran inersia (IMU) enam-paksi, sistem throttle-by-wire (TBW), mod tunggangan (Standard, Rain & Sport), kawalan Wheelie, serta HSTC.

Penunggang boleh membaca informasi penting menerusi skrin paparan TFT bersaiz lima inci yang boleh disambungkan kepada aplikasi RoadSync.

Kapasiti tangki bahan api sebesar 16 liter, sementara pelana pula adalah setinggi 795 mm.

Terdapat tiga warna ditawarkan untuk Honda CB1000F, iaitu Wolf Silver Metallic dengan jalur biru, Wolf Silver Metallic dengan jalur kelabu dan warna Graphite Black.

Pemilik juga boleh mendapatkan pelbagai jenis aksesori termasuklah tempat duduk yang lebih selesa, pelindung enjin, perumah lampu, sistem penukaran gear pantas, jeriji radiator, beg tangki 3 liter serta beg lembut kiri dan kanan masing-masing berkapasiti 10 liter.

 

Honda CB1000 SP 2025 kini di Malaysia – RM69,999

Boon Siew Honda melancarkan jentera berprestasi tinggi Honda CB1000 SP 2025 untuk pasaran Malaysia.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin CBR1000RR Fireblade 1,000 cc yang mampu menjana kuasa 155 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 107 Nm @ 9,000 rpm.

Honda CB1000 SP ini hadir dengan klac assist slipper untuk tunggangan yang lebih lancar, serta tidak ketinggalan fungsi penukaran gear pantas.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 17 liter, sementara tinggi pelana pula 809 mm.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork hadapan Showa SFF-BP jenis terbalik 41 mm dengan larasan pra-beban, diikuti penyerap hentak tunggal belakang Ohlins TTX36 juga hadir dengan larasan pra-beban.

Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar 310 mm dengan angkup empat omboh Brembo di depan, diikuti rotor tunggal 240 mm dengan angkup Nissin omboh tunggal di belakang.

Segala info boleh dibaca menerusi skrin TFT berwarna penuh saiz 5-inci, serta tema paparan yang boleh disesuaikan mengikut kegemaran.

Selain daripada tiga mod tunggangan (Rain, Standard, Sport), terdapat dua mod USER yang boleh disesuaikan dengan mengubah tetapan kuasa (P), Engine Brake (EB) dan HSTC/Wheelice Control (T).

Akhir sekali, ciri keselamatan seperti ABS dua saluran serta lampu berhenti kecemasan (ESS).

Untuk pasaran Malaysia, Honda CB1000 SP dijual pada harga RM69,999 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Kawasaki H2 SX SE 2025 kini di Malaysia, dari RM129,400

MODENAS melancarkan jentera sport touring berkuasa tinggi Kawasaki Ninja H2 SX SE di Malaysia Autoshow 2025.

Dengan enjin empat silinder sebaris 998 cc, ia mampu menjana kuasa 210 PS @ 11,000 rpm (dengan RAM Air) dan daya kilas maksimum 137 Nm @ 8,500 rpm.

Bacaan penggunaan bahan api adalah sekitar 5.4 liter untuk setiap 100 km.

Ninja H2 SX SE menggunakan kerangka trellis yang disokong oleh sistem suspensi elektronik semi-aktif (KECS) yang terdiri daripada fork hadapan terbalik saiz 43 mm boleh laras, diikuti penyerap hentak tunggal BFRC di belakang.

Aspek tunggangan dibantu dengan pelbagai ciri elektronik seperti unit pengukuran inersia enam paksi (IMU), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS), Kawasaki Cornering Management Fuction (KCFM), serta Kawasaki Traction Control (KTRC).

Sistem brek terdiri daripada rotor hadapan berkembar 320 mm dengan angkup Brembo Stylema empat omboh, diikuti rotor tunggal 250 mm dengan angkup dua omboh di belakang.

Tangki bahan api boleh memuatkan sehingga 19 liter minyak, sementara tinggi pelana pula adalah sekitar 835 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Kawasaki H2 SX SE dijual pada harga RM129,400.

Honda CB1000F Concept muncul di Osaka Motorcycle Show 2025

Bertempat di acara pameran Osaka Motorcycle Show 2025 yang ke-41 di INTEX Osaka, Honda memperlihatkan model CB1000F Concept buat kali pertama.

Biarpun masih lagi menggunakan nama konsep, reka bentuk Honda CB1000F ini menampakkan ia sudah sedia untuk diproduksikan secara besar-besaran.

Malah, ia juga turut mengingatkan kita kepada rekaan model CB-F Concept yang diperlihatkan lima tahun lalu.

Namun tidak seperti CB-F yang dibina berdasarkan platform CB1000R, CB1000F ini berkongsi pelantar yang sama digunakan oleh CB1000 Hornet.

Bezanya? CB1000F menggunakan kerangka jenis keluli serta lengan ayun berkembar berbanding CB-F yang menggunakan kerangka aluminium dan lengan ayun tunggal.

Selain itu, CB1000F dibekalkan dengan enjin empat silinder sebaris berkuasa 150 hp berdasarkan jentera Fireblade, diikuti dengan fork hadapan Showa SFF-BP dan brek Nissin yang sama digunakan oleh model Hornet.

Honda CB1000F juga mendapat subrangka baharu untuk disesuaikan dengan perkadaran retro, diikuti dengan set peredam ekzos besar berwarna krom.

Biarpun berpegang dengan konsep retro, Honda CB1000F turut mendapat ciri moden seperti penyerap hentak tunggal di belakang, fork jenis terbalik, brek radial, lampu LED serta skrin paparan TFT.

Honda CB1000F apabila diproduksikan kelak mampu memberikan saingan hebat kepada barisan jentera neo-retro yang wujud di pasaran, seperti Kawasaki Z900RS dan Yamaha XSR900.