SEMBANG ENGEAR #5 – Share Gambar Kemalangan (OK ke Tidak)

Tahun 2018 rata-rata penduduk negara memiliki ‘smartphone’ dengan applikasi Facebook dan Instagram memonopoli dunia media sosial. Malahan kedua-dua applikasi ini dilihat menjadi peneraju utama di dalam dunia pemasaran dan juga dalam aspek penyebaran berita. Disebalik segala kebaikan dan impak positif yang didatangkan melalui applikasi media sosial ini, ianya juga tidak terlepas dari perkara-perkara yang negatif dan mendatangkan kemudaratan. Contohnya penyebaran berita palsu, pembulian laman siber dan sebagainya.

Sembang Engear kali ini menyampaikan khidmat pesanan masyarakat yang bertujuan memberi lebih kesedaran kepada pengguna laman sosial sedia ada berkenaan wajarkah mengambil gambar kemalangan dan menyebarkannya di laman sosial?

Kes kemalangan ini kerap terjadi hampir setiap hari dimerata tempat di seluruh negara. Kejadian sebegini adakalanya mengundang rasa cemas dan trauma kepada mereka yang terlibat. Perasaan ini akan menyebabkan mereka yang terlibat tidak mampu berfikir secara tenang dan rasional. Jadi andai kata kita selaku pemerhati di tempat kejadian, ada beberapa tips yang kami mampu kongsikan untuk panduan bersama:

  • Berhentikan kenderaan untuk membantu jika perlu. Pastikan kenderaan kita tidak menghalang lalu lintas
  • Pastikan mangsa berada dalam keadaan selamat dan tidak cemas. Cuba tenangkan mangsa dan bawa ke tempat selamat. Jika mangsa tidak boleh dialihkan, tidak perlu angkat mangsa sebaliknya tunggu petugas ambulans tiba
  • Hubungi 999
  • Beri kerjasama kepada pihak berkuasa dalam memastikan lalu lintas terkawal

4 tips ini kami kenalpasti sudah memadai untuk membantu mangsa kemalangan.

Perkara yang perlu dielakkan pula ialah:

  • Berlumba-lumba untuk menangkap gambar mangsa dan kemalangan
  • Berlumba-lumba memuatnaik gambar tersebut di media sosial
  • Duduk terlalu lama di tempat kejadian sehingga mengakibatkan kesesakan lalu lintas

Kebelakangan ini kesalahan point 1 dan 2 dilihat kerap terjadi. Perkara ini kami lihat kurang sesuai dilakukan demi menjaga aib mangsa, demi mengelakkan salah faham berkenaan situasi sebenar dan demi mengelakkan keadaan panik kepada ahli keluarga mangsa jika terlihat ‘posting’ tersebut.

Walaubagaimanapun, gambar-gambar di tempat kemalangan adakalanya perlu diambil sebagai bahan bukti dan rekod pihak berkuasa. Selebihnya bergantung kepada kita sama ada mahu menggunakan teknologi ke jalan yang lebih baik atau sebaliknya.