SEMBANG ENGEAR #4 – Lokasi Terbaik Kamera AES

Automated Enforcement System (AES) atau Sistem Penguatkuasaan Automatik yang berkuatkuasa pada tahun 2012 terus digunapakai sehingga ke hari ini sebagai salah satu langkah kerajaan mengurangkan risiko kemalangan disebabkan salah laku trafik, atau lebih tepat lagi kemalangan yang berpunca dari kenderaan yang dipandu laju.

Apa itu AES?

AES ialah satu sistem penguatkuasaan yang berjalan 24 jam untuk merekodkan kesalahan trafik (memandu melebihi had laju) dan setiap kesalahan ini akan dikeluarkan sebagai saman kepada pemilik kenderaan. Kamera AES ini diletakkan di beberapa lokasi ‘panas’ bukan bertujuan untuk mengumpul saman, tetapi sebaliknya untuk mengurangkan risiko kemalangan di kawasan yang dikenalpasti berbahaya dan mempunyai statistik kemalangan yang tinggi. Kebiasaannya kita lihat kamera AES ini dipasang di lebuhraya, tetapi adakah terdapat lokasi lain yang berpotensi untuk sistem ini dilaksanakan?

Sembang Engear minggu ini memberi pandangan mengenai lokasi sesuai pemasangn kamera AES ini. Kemampuan AES untuk beroperasi sepanjang masa dan impak  yang diberikan dalam usaha mengurangkan kemalangan boleh disambut baik untuk pelaksanaannya di tempat-tempat lain. Kami berpendapat terdapat dua lokasi utama yang boleh dipertimbangkan untuk pemasangan kamera AES ini.

Lokasi pertama ialah di depan kawasan sekolah. Lokasi di mana pemandu sepatutnya tidak memandu laju tetapi seringkali kesalahan ini berlaku. Ini sekaligus membahayakan pelajar sekolah terutamanya yang masih kecil.

Lokasi kedua ialah di sekitar kawasan perumahan. Kawasan perumahan sememangnya terdapat banyak aktiviti melibatkan kanak-kanak dan langkah keselamatan yang sering terdapat disekitar kawasan perumahan ialah pemasangan ‘speed bump’. Tetapi masih ada segelintir pemandu yang kurang peka terhadap had laju sewajarnya di sekitar kawasan ini.

Lokasi-lokasi ini hanyalah pendapat yang diberikan oleh kami, namun kami sedar pemasangan kamera AES akan menelan belanja yang besar untuk pelaksanaannya di kawasan yang disebutkan. Walaubagaimanapun kami di Engear tetap berharap satu langkah yang lebih effisyen untuk menangani masalah ini bakal wujud.