SEMBANG ENGEAR #7 – Grab Beli Uber, Monopoli ?

Kupasan Sembang Engear minggu ini berkaitan Monopoli. Apa itu Monopoli?

Bila disebut tentang monopoli, ada yang terbayangkan sejenis permainan ‘board game Monopoly’ yang sering dimainkan pada satu ketika dahulu, dan ada juga yang terus berfikir ke arah monopoli di dalam dunia perniagaan. Ya, tajuk hari ini lebih tepat lagi berkisar mengenai monopoli syarikat Grab di dalam industri ‘ride sharing’ di Asia Tenggara. Ini kerana kita sedia maklum bahawa Grab telah membeli saham Uber untuk memonopoli industri ini di Asia Tenggara termasuklah di Malaysia.

Sebelum pergi lebih lanjut, kami terangkan dulu apa maksud monopoli dalam konteks kupasan tajuk kami kali ini. Monopoli secara amnya bermaksud, sesuatu jenis perniagaan, barang jualan, servis dan lain-lain lagi yang diperlukan oleh orang ramai tetapi ianya diusahakan oleh satu entiti/syarikat tanpa ada pesaing. Antara ciri-ciri perniagaan yang dimonopoli pula ialah:

  • Hanya terdapat satu dalam pasaran
  • Tiada pengganti atau barang/servis yang seakan sama
  • Pesaing mengalami kesukaran untuk menembusi pasaran

Merujuk kembali tajuk kami kali ini, Grab telah memonopoli industri dan adakah ianya bagus atau tidak? Umumnya apabila monopoli berlaku, lebih banyak kesan buruk akan berlaku dari kesan yang positif. Di sini kami dapat bahagikan kesan buruk akan terbahagi kepada dua, ke atas pemandu  dan pengguna/pelanggan.

Kesan buruk kepada pemandu meliputi aspek yang lebih kritikal pada pendapat kami. Lazimnya mereka mula menjadi pemandu grab/uber mungkin kerana dibuang kerja atau mencari pendapatan lebih. Tidak kurang juga yang melabur untuk mendapatkan kereta baru bagi memulakan servis ini. Jadi monopoli ini dilihat akan menekan pemandu dari segi peraturan yang syarikat tentukan. Insentif tambahan juga mula ditarik dan pemandu tiada pilihan lain selain daripada menerima sahaja peraturan yang ditetapkan. Lama kelamaan ianya akan memberi impak kepada kualiti kerja pemandu dan motivasi mereka untuk meneruskan servis.

Bagi pelanggan pula, monopoli ini secara amnya akan memberi impak dari segi harga dan juga kualiti pemandu yang mereka dapat. Sebelum monopoli berlaku, persaingan sihat berlaku dari segi harga dan kualiti servis kepada pelanggan. Namun dengan berlakunya monopoli, pelanggan terasa ditindas dan tidak mempunyai alternatif. Hendak mengharapkan pengangkutan awam seperti teksi, masih banyak yang perlu dibaiki. Walau apa pun, diharap akan wujud lagi syarikat seperti grab dan uber bagi meningkatkan saingan sihat dikalangan mereka. Keuntungannya akan dirasai pelanggan dan juga pemandu.