SEMBANG ENGEAR #3 – Cermin Tinted

“Encik, tinting cermin ni terlalu gelap. Sila berhentikan kenderaan ke bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut”

Pernah berdepan situasi ditahan JPJ kerana tinting cermin kenderaan tidak mengikuti piawaian? Sembang Engear kali ini mengupas isu berkaitan penggunaan tinting cermin kenderaan, tujuan dan persepsi positif/negatif orang awam mengenainya.

Tinting kenderaan kini boleh didapati merata kedai aksesori kereta, namun kerap kali pemasangan tinting ini menjadi punca penahanan atau saman dari pihak berkuasa contohnya JPJ. Isu ini sedikit sebanyak menimbulkan rasa kurang senang kepada pengguna kenderaan. Ada yang sudah cuba sehabis baik untuk mengikuti spesifikasi yang ditetapkan, namun seringkali rasa ditipu oleh penjual tinting cermin setelah diyakinkan yang barang jualan mereka mengikut spesifikasi.

Mengapakah perkara ini boleh terjadi? Apakah syarat atau spesifikasi penggunaan tinting cermin kenderaan ini? Dan apa pula kebaikan atau tujuan menggunakannya?

Terlebih dahulu, kami ingin menekankan bahawa penggunaan tinting cermin kenderaan ini dibenarkan atas syarat tertentu. Syaratnya ialah tinting cermin mestilah mematuhi ‘Visible Light Transmission’ level (VLT) atau kadar penembusan cahaya. Pemasangan tinting cermin kenderaan haruslah menepati syarat VLT

  • Cermin hadapan – 70%
  • Cermin sisi pemandu/hadapan – 50%
  • Cermin sisi belakang – 30%
  • Cermin belakang – 30%

Jika syarat ini ditepati, pemasangan tinting cermin kenderaan tiada masalah di sisi undang-undang.

Seterusnya kita lihat pula tujuan utama rakyat Malaysia memilih untuk memasang tinting pada kenderaan masing-masing. Rata-rata memilihnya bagi mengelakkan cuaca panas yang biasa dihadapi di Malaysia dan silau sinaran matahari. Tidak kurang juga yang memilih untuk memasang tinting atas faktor keselamatan. Contohnya penggunaan tinting kalis kecurian yang menyukarkan cermin dipecahkan sekaligus mengelakkan jenayah kecurian/pecah kenderaan.

Namun disebalik setiap tujuan dan alasan yang ada, pemasangan tinting yang tidak mengikut spesifikasi tetap mengundang persepsi negatif daripada pihak berkuasa. Contohnya pemasangan tinting yang terlalu gelap menimbulkan kecurigaan pada pihak berkuasa terutamanya isu yang melibatkan jenayah penyeludupan. Selain itu, pemasangan tinting yang menyukarkan cermin dipecahkan juga agak bahaya untuk keselamatan pengguna kenderaan. Kita ambil contoh jika kemalangan berlaku dan pintu kenderaan tidak dapat dibuka. Memecahkan cermin kenderaan menjadi salah satu pilihan yang ada untuk menyelamatkan/mengeluarkan mangsa kemalangan. Jika kesukaran memecahkan cermin kenderaan berlaku hanya disebabkan tinting yang dipasang, ianya tentu membawa kesan buruk dalam usaha pihak penyelamat menjalankan proses menyelamat.

Walaubagaimanapun isu pemasangan tinting ini masih mengundang percanggahan pendapat dan beberapa aspek perlu difikirkan secara logic akal, namun ada baiknya kita memikirkan aspek keselamatan sebagai yang paling utama dalam hal ini. Gunalah tinting yang menepati spesifikasi dan selamat pada waktu kecemasan.