Honda NC750X 2027 diperkenalkan, 2 warna baharu untuk Eropah

Gambar depan Honda NC750X 2027 Eropah
27YM Honda NC750X

Honda memperkenalkan Honda NC750X 2027 untuk pasaran Eropah dengan kemas kini pilihan warna baharu.

Model adventure touring ini terus mengekalkan gabungan praktikaliti, kecekapan bahan api dan keselesaan tunggangan yang menjadi identiti sejak diperkenalkan lebih sedekad lalu.

Meskipun X-ADV 750 lebih popular, anda boleh mendapatkan motosikal ini di pasaran tempatan dan mempunyai peminat tersendiri.

Bagi model tahun 2027, perubahan utama NC750X tertumpu kepada pengenalan dua warna baharu.

Pakej mekanikal, teknologi dan kelengkapan yang diperkenalkan pada model 2025 pula dikekalkan.

Dua warna baharu untuk Honda NC750X 2027

27YM Honda NC750X

Honda menawarkan dua pilihan warna baharu bagi NC750X 2027, iaitu Glint Wave Blue Metallic dan Mat Deep Mud Gray.

Dua lagi pilihan warna sedia ada, Earth Black dan Earth Khaki, terus ditawarkan kepada pelanggan.

Rekaan praktikal dengan bahan lestari

NC750X masih mengekalkan rekaan lasak bercirikan kembara bersama lampu hadapan LED, skrin pelindung angin dan tunggangan tegak yang sesuai dalam bandar atau perjalanan jarak jauh.

Keunikan utama model ini ialah ruang simpanan berkapasiti 23 liter yang menggantikan kedudukan tangki minyak konvensional.

Ruang tersebut mampu memuatkan sebuah topi keledar jenis adventure atau full-face.

27YM Honda NC750X

Honda turut meneruskan penggunaan bahan berasaskan bio Durabio™ serta komponen kitar semula pada panel badan.

Bagi model 2026, penggunaan bahan lestari itu dipertingkatkan sehingga merangkumi 34 peratus daripada keseluruhan panel badan. Spesifikasi tersebut dikekalkan untuk model 2027.

Skrin TFT berwarna lima inci disediakan bersama sistem Honda RoadSync.

Melalui suis empat hala bercahaya pada bahagian kiri hendal, penunggang boleh mengakses fungsi navigasi, panggilan telefon, muzik dan pelbagai maklumat daripada telefon pintar.

Enjin 745 cc kekal tanpa perubahan

27YM Honda NC750X

Honda terus menggunakan enjin dua silinder selari SOHC lapan injap berkapasiti 745 cc.

Enjin tersebut menghasilkan 58.6 ps pada 6,750 rpm dan 69 Nm pada 4,750 rpm.

Sistem Throttle By Wire (TBW) menawarkan tiga mod tunggangan pratetap iaitu Sport, Standard dan Rain.

Turut disediakan ialah mod User yang boleh disesuaikan mengikut keutamaan penunggang.

Honda Selectable Torque Control (HSTC) pula menyediakan tiga tahap kawalan cengkaman bersama pilihan OFF.

Gambar depan Honda NC750X 2027 Eropah
27YM Honda NC750X

Mod Rain turut menerima talaan semula bagi menghasilkan campur tangan yang lebih lancar.

Bagi pasaran tertentu, Honda turut menawarkan pilihan transmisi Dual Clutch Transmission (DCT) enam kelajuan.

Sistem itu menerima talaan sebelum ini bagi meningkatkan kelancaran ketika bergerak pada kelajuan rendah.

Honda mendakwa penggunaan bahan api sekitar 28.3 km/l mengikut piawaian WMTC. Dengan tangki bahan api 14.1 liter, jarak perjalanan hampir 400 km mampu dicapai.

Casis, brek cakera berkembar

Gambar belakang Honda NC750X 2027 Eropah
27YM Honda NC750X

NC750X menggunakan kerangka keluli jenis diamond yang dipadankan dengan fork teleskopik Showa Dual Bending Valve (SDBV) bersaiz 41 mm di hadapan.

Di belakang pula ialah suspensi monoshock Pro-Link dengan pelarasan pra beban spring.

Sistem brek hadapan menggunakan cakera berkembar 296 mm bersama angkup dua omboh. Brek belakang menggunakan cakera 240 mm, manakala ABS dua saluran ditawarkan sebagai ciri standard.

Roda aloi ringan rekaan 3by3 bersaiz 17 inci di hadapan dan belakang dipadankan dengan tayar 120/70 ZR17 di hadapan serta 160/60 ZR17 di belakang.

Sebuah saluran digital automotif dari Malaysia. Engear menyajikan penggemar industri permotoran tempatan dengan rancangan video berkualiti tinggi, padat dengan infomasi terkini.

2026 © ENGEAR TV | All Rights Reserved