"Pendekar" dipertonton kepada orang awam ketika sambutan Hari Kebangsaan

“Pendekar” segagah namanya, teguh pertahan keamanan negara

KENDERAAN dan aset ketenteraan merupakan aspek penting bagi sesebuah negara.

Malaysia juga tidak terkecuali memiliki beberapa aset penting bagi memastikan keselamatan negara terus terjamin.

Antara kenderaan ketenteraan dimiliki negara termasuk kereta perisai, kapal perang, pesawat tempur dan banyak lagi.

Jadi, artikel kali ini kami ingin membawa anda mengenal serba ringkas mengenai aset ketenteraan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikenali sebagai “Pendekar”.

Jom kenal apa itu “Pendekar”

“Pendekar” merupakan kereta kebal atau kenderaan perisai utama bagi Malaysia.

Nama asal “Pendekar” adalah PT-91M yang mana ia dihasilkan oleh sebuah firma dikenali sebagai Bumar Labedy, berpangkalan di Poland.

PT-91M telah menjalani beberapa siri penambahbaikan agar sesuai dengan permukaan geografi dan cuaca negara ini.

Ia memiliki rekaan lebih rendah, kompak serta daya mobiliti lebih baik dengan berat sekitar 45 tan.

Pada tahun 2008 ketika sambutan Hari Tentera Darat, PT-91M diberi nama “Pendekar”.

Spesifikasi “Pendekar”

“Pendekar” boleh memuatkan lebih tiga anggota pengendali pada satu-satu masa dan mempunyai berat sekitar 45.3 tan serta memilki dimensi 10.03 x 3.7 x 2.19 meter.

Apa yang menarik, “Pendekar” mempunyai 1,000 kuasa kuda dengan menggunakan enjin PZL Wola S-1000R.

Berdasarkan maklumat semasa, “Pendekar” dikatakan mampu bergerak selaju 70 km/j di jalan raya dan 45 km/j di jalan desa.

Berikut antara ciri-ciri persenjataan terdapat pada “Pendekar”:

  • Meriam utama: 125mm Konstrukta / ZTS Special 2A46MS
  • Mesingan sepaksi: 1x 7.62 x 51mm FN MAG 57T
  • Mesingan anti udara: 1x 12.7 x 99mm FN Browning M2 HB di turet
  • Sistem pengurusan pertempuran: Sagem Epsilon
  • Sistem kawalan tembakan: Sagem SAVAN-15, giro cincin laser Sagem SIGMA 30
  • Pembidik panaromik: Sagem VIGY 15
  • Perlindungan: ERAWA-3 ERA, 4x sistem amaran laser Przemysłowe Centrum Optyki SSP-1 Obra-3, 24x (2×12) pelancar bom asap ZM Dezamet 902A81mm

Setakat ini, terdapat lebih 48 buah “Pendekar” dikendalikan oleh Rejimen 11 KAD, Kor Armor DiRaja berpangkalan di Kem Syed Sirajuddin, Gemas.

Terima kasih kepada seluruh anggota ATM yang sentiasa bersedia mempertahankan keamanan demi negara dan bangsa tercinta!

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *