Stellantis daftar paten sistem gegaran untuk EV, mimik gegaran enjin ICE

Kereta elektrik masa kini rata-rata mempunyai prestasi yang cukup memberangsangkan, lebih pantas dan dalam masa yang sama, lebih senyap.

Apa yang perlu ditambah adalah karakter rangkaian kuasa elektrik yang perlu dipelbagaikan, dan salah satu daripadanya ialah alunan runut bunyi dan gegaran macam apa yang dihasilkan pada kereta berenjin pembakaran dalaman (ICE).

Stellantis pada tahun lepas telah memfailkan paten yang terdiri daripada sistem bunyi aktif Active Sound Enhancement (ASE) dan sistem gegaran Active Vibration System Enhancement (AVE) yang bakal diguna pakai oleh kereta elektrik Dodge Charger Daytona.

Biarpun kereta muscle elektrik itu sudah pun mempunyai sistem ‘ekzos’ Fratzonic Chambered Exhaust yang mampu menyalurkan not ekzos artifisial, sistem ASE/AVE ini mampu meningkatkan pengalaman pemanduan EV ke satu tahap yang lebih tinggi.

 

 

Dengan adanya AVE, ia mampu mencipta gegaran yang biasa dialami pada kereta berenjin pembakaran dalaman, terutama nadi V8 yang selalu dikaitkan dengan kereta muscle.

Menurut laporan Mopar Insiders, gegaran tersebut boleh dihasilkan dengan pelbagai cara.

Satu daripadanya ialah dengan menggunakan unit force generator di mana daya gegaran yang terhasil akan disalurkan kepada sistem casis, roda stereng dan juga tempat duduk pemandu.

Sementara sistem ASE pula akan menghasilkan bunyi sebagai satu reaksi kepada parameter seperti kelajuan motor, pecutan, kelajuan roda dan daya kilas yang terhasil.

Adakah dengan wujudnya sistem yang disebutkan itu tadi mampu menjadikan pemanduan EV yang lebih mengujakan daripada kereta ICE?

Stellantis, Ample lancar perkhidmatan kongsi EV, bateri mudah tukar dalam lima minit

Stellantis telah bekerjasama dengan sebuah syarikat pemula dari California, Ample untuk melancarkan armada perkongsian kereta yang dilengkapi dengan teknologi penukaran bateri.

Untuk permulaan, sebanyak 100 buah unit kereta elektrik (EV) Fiat 500e akan diletakkan di bawah perkhidmatan perkongsian kenderaan Stellantis Free2move, di mana setiap satu akan dilengkapi dengan teknologi penukaran bateri modular yang boleh ditukar dalam masa lima minit.

Ia bakal dilancarkan buat pertama kali di Madrid, Sepanyol pada tahun 2024 di mana Ample sudah pun bertapak di situ.

Apa yang menarik berkenaan program ini ialah keupayaan untuk disesuaikan mengikut keperluan pemandu, sama ada untuk pemanduan jarak dekat atau jarak jauh.

Ini bermakna, jika pemandu mahu bergerak di dalam bandar sahaja, modul bateri berkapasiti kecil akan dipasang pada kereta tersebut, dan sebaliknya untuk pemanduan jarak jauh pada hujung minggu.

Teknologi penukaran bateri Ample ini membuat kemunculan pada tahun 2021 di California, di mana tempoh penukaran bateri yang telah siap dicas sepenuhnya memakan masa kira-kira 10 minit.

Namun begitu, Ample telah menambahbaik teknologi sedia ada pada tahun ini, di mana tempoh menunggu berjaya disingkatkan kepada lima minit.