Rimac Nevera capai kelajuan 275.74 km/j… secara mengundur!

TAHUN 2023 menyaksikan Rimac mencatat 23 rekod dunia, termasuk pecutan 0-400-0 km/j terpantas pada Mei lalu. Bagaimanapun, rekod itu tidak bertahan lama apabila ia dirampas oleh Koenigsegg Regera sebulan selepas itu.

Kini, pengeluar kenderaan elektrik itu kembali dengan satu lagi rekod yang secara tidak langsung menempa nama mereka dalam Guinness World Record.

Rekod terbaru ini boleh dikatakan agak unik kerana secara asasnya ia masih melibatkan prestasi pecutan namun dalam keadaan mengundur.

Ya, percaya atau tidak, Rimac Nevera kini muncul sebagai pemegang rekod kelajuan mengundur tertinggi dunia dengan catatan 275.74 km/j! Pencapaian luar biasa ini dilakukan di litar ujian Automotive Testing Papenburg di Jerman.

Tidak seperti kereta biasa atau sesetengah kereta elektrik, trenkuasa Nevera tidak mempunyai sebarang gear. Jentera ini dilengkapi dengan empat motor individual yang akan memusingkan roda ke hadapan atau belakang.

Ini bermakna trenkuasa yang membolehkan Nevera memecut dari 0-100 bsj (160 km/j) dalam 3.21 saat atau 0-200 bsj (321 km/j) dalam kurang 11 saat ke hadapan, boleh melakukan perkara yang sama dalam keadaan mengundur.

Untuk makluman, Nevera mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 1,914 PS dan 2,360 Nm tork.

Matija Renic, ketua jurutera di Rimac Bugatti berkata semasa proses pembangunan Nevera, mereka menyedari bahawa kereta itu boleh menjadi kereta terpantas dalam keadaan mengundur, namun hanya mentertawakannya.

“Lagi pun, aerodinamik, penyejukan dan kestabilan Nevera tidak direka untuk bergerak secara mengundur pada kelajuan tinggi. Namun kemudian, kami berfikir bahawa ia seronok untuk dicuba.

“Simulasi menunjukkan bahawa kami boleh mencapai lebih daripada 150 bsj (241 km/j) tetapi kami tidak tahu betapa stabilnya ia – kami memasuki wilayah yang belum diterokai,” katanya.

Bugatti, Rimac bergabung tenaga! Focus hasilkan hypercar lebih mantap!

KOLABORASI sesama pengeluar kenderaan bukan suatu amalan baharu dalam industri automotif.

Ia dilakukan secara strategik bagi membolehkan syarikat bergabung kepakaran dan kelebihan untuk menghasilkan produk lebih bermutu tinggi.

Bugatti dan Rimac Automobili misalnya telah menjalankan kerjasama strategik baru-baru ini yang sekaligus membuka ‘mata’ pesaing mereka.

Persoalannya, mengapa kedua syarikat ini bergabung tenaga? Mengapa syarikat terkemuka Bugatti menjalankan kerjasama dengan Rimac pula?

Kolaborasi Bugatti dan Rimac. – Foto ihsan Rimac

Syarikat Baharu: Bugatti-Rimac

Kerjasama Bugatti-Rimac secara tidak langsung membentuk sebuah syarikat baharu dikenali sebagai Bugatti-Rimac.

Menerusi pembahagian pemilikan saham, 55 peratus daripadanya di miliki Rimac Group, manakala baki 45 peratus milik Porsche.

Mengapa Porsche?

Hal ini kerana Porsche merupakan salah satu anak syarikat Volkswagen Group sama seperti Bugatti.

Ia mempunyai pegangan saham sebanyak 24 peratus di dalam Rimac Group.

Walaupun dengan pembentukan syarikat baharu ini, Bugatti dan Rimac tetap beroperasi secara berasingan serta mengekalkan fasiliti pengeluaran serta rangkaian pengedar masing-masing.

Kedua-dua syarikat itu bagaimanapun akan bekerjasama untuk pembangunan dan produksi model akan datang.

Kenderaan supercar semakin mendapat permintaan tinggi pasaran global. – Foto ihsan Rimac

Bagaimanapun, bahagian pembangunan, produksi dan bekalan sistem bateri, trenkuasa serta lain-lain komponen kenderaan elektrik (EV) dipindahkan ke dalam satu divisyen baharu.

Dimiliki 100 peratus oleh Rimac Group, divisyen itu akan beroperasi sebagai syarikat bebas yang akan mengekalkan kerjasama antara Rimac dan pengeluar lain sebelum ini.

Bugatti-Rimac dan Rimac Technology akan diketuai oleh pengasas serta Ketua Pegawai Eksekuitf Rimac iaitu Mate Rimac.

Manakala Ketua Pegawai Eksekutif Porsche Oliver Blume dan naib pengerusi Lutz Meschke dilantik sebagai Ahli Lembaga Penyelia.