NIO mahu tawan pasaran massa menerusi jenama mesra famili Onvo

Pengeluar kereta elektrik mewah dari China, NIO adalah satu jenama yang menampilkan barisan sedan dan crossover denga rekaan yang sangat menarik, ditambah pula dengan teknologi penukaran bateri yang sukar ditandingi oleh mana-mana pengeluar.

Jenama itu dilapor bakal hadir dengan sub-jenama baharu yang disasarkan untuk golongan pembeli berkeluarga, dan dengan penawaran harga yang lebih mampu milik.

CEO NIO, William Li mengesahkan nama sub-jenama itu akan dikenali sebagai Onvo (atau Ledao di pasaran China), di mana tanda dagang sub-jenama itu telah pun didaftarkan pada lewat tahun lepas.

 

 

Lebih mencuri tumpuan ialah kelibat unit ujian model pertama Onvo, iaitu Onvo L60 dikesan atas jalan raya China seperti yang tersebar dalam media sosial baru-baru ini.

Onvo L60 membawakan bentuk crossover fastback yang mampu memberikan saingan terus kepada Tesla Model Y.

Li juga turut mengesahkan teknologi penukaran bateri NIO akan dimuatkan pada Onvo L60, menjadikannya sebuah model EV ampuh yang lebih murah berbanding Tesla Model Y, dan dalam masa yang sama mampu mengurangkan perasaan kebimbangan jarak dan keperluan untuk berebut di stesen pengecasan.

 

Selain daripada Onvo, NIO juga bakal melancarkan sebuah lagi sub-jenama yang lebih mampu milik, dinamakan sebagai Firefly.

Jenama Firefly ini akan dipasarkan pada tahun 2025 sebagai sebuah jenama kereta kecil elektrik yang premium, sama seperti apa yang ditawarkan oleh jenama MINI (BMW).

 

Sistem suspensi aktif Nio ET9 boleh bantu buang salji atas bumbung kereta

Pada saat dan ketika ini, kenderaan elektrik (EV) sudah mula menunjukkan kelebihan yang tersendiri, apatah lagi jika EV tersebut datangnya dari pengeluar China yang kini berlumba-lumba menghasilkan teknologi canggih.

Dalam satu video yang diterbitkan di laman media sosial Weibo, Nio menunjukkan kebolehan sistem gantungan aktif pintar sedan elektrik ET9 dalam pendekatan yang lebih praktikal.

Dengan menggunakan penyerap hentak kawalan bebas, prototaip ET9 itu mampu menggoncangkan dirinya bagi membuang timbunan salji di atas bumbung, persis kelakuan haiwan berkaki empat seperti anjing dan kucing.

Nio ET9 dilengkapi dengan sistem casis pintar yang dinamakan sebagai Sky Ride yang turut merangkumi empat pam hidraulik yang mengawal setiap satu roda.

 

 

Ciri ini amat berguna dalam memastikan kereta kekal stabil sewaktu menempuh laluan yang kasar dan tidak rata, seperti yang ditunjukkan dalam sebuah lagi video berasingan yang mengingatkan kita pada video Lexus LS.

Nio ET9 diperlihatkan secara rasmi pada Disember lalu sebagai sebuah sedan mewah bertaraf mercu yang mampu memberikan saingan kepada Mercedes-Benz EQS, BMW i7, Porsche Panamera, Tesla Model S dan Lucid Air.

 

 

Sedan fastback itu dikuasakan oleh dua motor elektrik dengan kuasa keseluruhan 697 hp, serta mempunyai pek bateri 120 kWh yang menyokong keupayaan pengecasan ultra-pantas 600 kW.

Selain daripada sistem casis pintar Sky Ride yang disebutkan tadi, Nio ET9 turut mempunyai sistem stereng gandar belakang, tiga penderia LIDAR, serta rekaan roda stereng yang boleh ‘disembunyikan’ sekiranya fungsi smart pilot diaktifkan.

 

 

Ruang kabin Nio ET9 pula menampilkan skrin infohibur sebesar 15.6 inci, dua skrin AMOLED 14.5 inci yang dipasang pada belakang tempat duduk hadapan, serta sebuah skrin ala tablet bersaiz 8 inci pada konsol tengah belakang.

Penumpang di belakang boleh menikmati ruang rehat yang lebih selesa, terima kasih kepada tempat duduk yang boleh dibaringkan sehingga 45 darjah, mempunyai 11 tahap larasan, dan sehingga tujuh tirai penghadang cahaya yang boleh diaktifkan dengan hanya menekan satu butang.

Nio ET9 akan mula diedarkan di pasaran China pada suku pertama 2025, dengan harga jualan bermula dari 800,000 yuan (RM532,785).

Nio bakal lancar jenama baharu Alps, Firefly yang lebih mampu milik

Selain daripada menawarkan harga jualan yang lebih rendah berbanding pesaing, salah satu strategi yang turut digunakan oleh kebanyakan pengeluar automotif China ialah dengan memperkenalkan jenama baharu untuk menarik perhatian pembeli baharu.

Nio seperti contoh dilapor akan melancarkan sub-jenama Firefly (bukan syarikat penerbangan) di Eropah pada tahun 2025.

 

Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, syarikat baharu Firefly ini akan melancarkan kenderaan dengan julat harga antara 100,000 yuan hingga 200,000 yuan (RM65k-RM131k).

Tidak terhenti setakat Firefly, Nio juga mahu memperkenalkan sebuah lagi sub-jenama Alps dengan model kenderaan berharga antara 200,000 yuan hingga 300,000 yuan (RM131k-RM197k).

 

Laporan Reuters menyebut, presiden Nio Lihong Qin mengesahkan jenama Firefly itu akan mendarat di Eropah pada tahun 2025.

Jenama Nio telah pun bertapak di beberapa buah negara di Eropah, dengan julat harga jualan bermula antara €50,000 hingga €91,000 (RM256k-RM465k).

Harga jualan yang agak mahal menjadikan Nio sukar untuk menjual model kenderaan mereka dalam unit yang besar.

Namun, dengan pelancaran jenama baharu Alps dan Firefly dijangka mampu mengubah keadaan tersebut pada masa akan datang.