Jetour T1 2026 rasmi di Malaysia – 2 varian, harga dari RM129,800

Jetour Malaysia secara rasmi melancarkan SUV baharu Jetour T1 2026 untuk pasaran tempatan.

Terdapat dua varian ditawarkan, dengan harga jualan seperti berikut:

  • T1 1.5L TGDi 2WD – RM129,800
  • T1 2.0L TGDi XWD – RM146,800

Sempena pelancaran, 2,000 orang pelanggan pertama akan menerima rebat tunai RM2,000 serta kadar faedah serendah 1.68%.

Pilihan enjin

Varian asas dibekalkan dengan 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 184 PS dan 290 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar 7-kelajuan.

Varian paling premium pula hadir dengan nadi 2.0 liter turbo menghasilkan 254 PS dan 390 Nm.

Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi klac berkembar DCT 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda XWD.

Varian 2.0L XWD turut menawarkan sehingga 7 + X mod pemanduan.

Dimensi

Jetour T1 merupakan sebuah SUV kompak menampilkan casis unibodi yang dibina berdasarkan senibina Kunlun.

Lebih kecil berbanding T2, Jetour T1 membawakan ukuran sepanjang 4,706 mm, lebar 1,967 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak antara roda 2,800 mm.

Varian 1.5L mendapat rim 18 inci manakala varian 2.0L pula hadir dengan rim 19 inci.

Kelengkapan

Ciri standard yang didatangkan pada Jetour T1 termasuklah:

  • lampu LED depan dan belakang
  • pintu tailgate berkuasa
  • tempat duduk balutan leatherette
  • tempat duduk pemandu larasan kuasa
  • skrin infohibur 12.8 inci
  • sistem audio 8-pembesar suara
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • 7 port pengecasan USB
  • slot pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W

Varian 2.0L pula mendapat ciri yang lebih premium seperti:

  • skrin infohibur sebesar 15.6 inci
  • sistem audio Sony Premium dengan 9-pembesar suara
  • tempat duduk pemandu depan larasan kuasa dan fungsi memori
  • tempat duduk penumpang depan larasan kuasa lengkap dengan perehat kaki
  • bumbung kaca panorama
  • lampu selamat datang

Keselamatan

Kedua-dua varian dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), serta sistem pemantauan keliling panorama.

Sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 secara standard, merangkumi 14 fungsi termasuklah:

  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Bantuan Jelajah Bersepadu (ICA)
  • Intervensi Bantuan Laluan (LAI)
  • Sistem Pengesanan Titik Buta (BSD)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IHB)

Warna

Jetour T1 boleh didapati dalam pilihan warna Khaki White, Aviation Silver, Sand Gold dan Carbon Black.

Jetour T1 1.5L TGDi 2WD

Jetour T1 2.0L TGDi XWD

Jetour T1 @ KLIMS 2026

NIZRA Auto rasmi buka bilik pameran Jetour Damansara

NIZRA Auto baru-baru ini meraikan pembukaan rasmi bilik pameran Jetour Damansara yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail.

Terletak di kawasan strategik, bilik pameran baharu ini mengukuhkan lagi kehadiran Jetour di salah satu koridor automotif paling matang di Lembah Klang.

Majlis perasmian turut dihadiri Nicholas Ng, Naib Presiden Jetour Malaysia serta Nik Iruwan Dato’ Nik Izani, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan NIZRA Group Berhad.

Detik bermakna

Berucap pada majlis tersebut, Nik Iruwan menyifatkan pembukaan ini satu detik bermakna buat NIZRA Auto dan Jetour Malaysia.

“Bilik pameran ini melambangkan keyakinan. Keyakinan terhadap pasaran Malaysia, jenama Jetour dan kerjasama antara Jetour Malaysia dan NIZRA Auto.

“Secara peribadi, ia lebih istimewa kerana saya membesar di kawasan TTDI dan Damansara, dan ia merupakan satu kebanggaan kerana membuka bilik pameran di tempat yang saya anggap sebagai rumah.

Keyakinan terhadap jenama Jetour

Nik Iruwan turut berkongsi keyakinannya terhadap jenama Jetour selepas melawat fasiliti Jetour di Fuzhou dua tahun lepas.

“Yang mengkagumkan bukan sekadar produk, tapi pemikiran dan kejuruteraan di sebaliknya.

“Rekaan teknologi, ciri keselamatan dan pengalaman pemanduan menunjukkan Jetour mampu bersaing di pentas global.

“Saya juga kagum dengan skala dan kecanggihan fasiliti pengeluarannya. Tahap automasi, kapasiti produksi dan komitmen terhadap kualiti benar‑benar meyakinkan kami bahawa Jetour mempunyai masa depan kukuh, dan NIZRA mahu menjadi sebahagian daripada perjalanan itu,” jelasnya lagi.

Jetour kini merupakan antara jenama SUV paling pesat berkembang di Malaysia yang dipacu oleh model seperti Jetour T2 dan T1 serba baharu.

NIZRA Auto turut menegaskan komitmen mereka untuk menyokong pertumbuhan Jetour melalui peluasan rangkaian, peningkatan pengalaman pelanggan dan pelaburan dalam keupayaan selepas jualan.

Jetour Damansara disokong oleh pusat servis khusus berdekatan bagi memastikan pemilik menerima sokongan menyeluruh sepanjang tempoh pemilikan.

Lancar kempen keselamatan jalan raya

Dalam masa yang sama, NIZRA Auto turut melancarkan Kempen Tindakan Keselamatan Jalan Raya NIZRA.

Kempen ini mencerminkan komitmen syarikat dalam mempromosikan penggunaan jalan raya yang lebih selamat dan bertanggungjawab.

“Sebagai syarikat yang terlibat dalam mobiliti, tanggungjawab kami lebih daripada sekadar menjual kenderaan.

“Kami mahu memainkan peranan dalam memupuk kesedaran, pendidikan dan tabiat pemanduan yang menyumbang kepada jalan raya lebih selamat untuk semua,” kata Nik Iruwan.

KLIMS2026: Jetour G700 buat kemunculan kali pertama di Malaysia

Satu lagi model SUV yang dipamerkan oleh Jetour Malaysia ialah SUV off-road premium Jetour G700.

Model ini pertama kali muncul di peringkat global semasa acara pameran Auto Shanghai tahun lalu.

Spesifikasi

G700 sememangnya sebuah SUV yang besar, dengan dimensi panjang mencapai 5.1 meter, dan jarak kelegaan tanah boleh dilaras serendah 150 mm hingga setinggi 350 mm.

SUV premium ini dikuasakan oleh sistem iDM-O Super Hybrid yang terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi hibrid (DHT) dua kelajuan.

Kuasa keseluruhan mencecah 760 hp dan 795 Nm.

Dalam mod sifar emisi, SUV ini boleh bergerak sejauh 150 km dan mencapai jarak pandu kombinasi sejauh 1,400 km (data CLTC).

Kelengkapan

 

Pada bahagian luar, G700 dilengkapi dengan lampu LED depan belakang, rim 18 inci yang dibaluti tayar all-terrain, rak bumbung, serta perumah tayar simpanan pada pintu tailgate.

Ia juga turut hadir dengan tetapan suspensi yang boleh direndahkan atau ditinggikan sehingga 350 mm.

Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti:

  • skrin melintang 35.4 inci
  • skrin tengah sebesar 15.6 inci
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • sistem audio Lexicon dengan 18 pembesar suara

Difahamkan, SUV Jetour G700 ini bakal dibawa masuk oleh pihak Jetour Malaysia berkemungkinan besar pada tahun depan.

KLIMS2026: Jetour T1 2026 dipamerkan, tempahan sudah dibuka, harga RM143,800

Bertempat di KLIMS 2026, Jetour Malaysia turut mempamerkan sebuah lagi SUV yang bakal dilancarkan, iaitu Jetour T1 2026.

Model ini pertama kali dipertontonkan kepada umum di acara Penang Autoshow 2026.

Tempahan untuk Jetour T1 sudah pun dibuka, dengan harga jualan anggaran dari RM143,800 untuk varian 1.5T 2WD hingga RM153,800 untuk versi 2.0T XWD.

Spesifikasi

Terdapat pilihan enjin 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 184 PS dan 290 Nm yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar 7-kelajuan.

Varian paling premium hadir dengan nadi 2.0 liter turbo menghasilkan 254 PS dan 390 Nm, digandingkan dengan transmisi klac berkembar DCT 7-kelajuan dan sistem pacuan semua roda XWD.

Varian 2.0L XWD turut menawarkan sehingga 7 + X mod pemanduan.

Dimensi

Lebih kecil berbanding T2, Jetour T1 membawakan ukuran sepanjang 4,706 mm, lebar 1,967 mm, tinggi 1,845 mm dan jarak antara roda 2,800 mm.

Varian 1.5L mendapat rim 18 inci manakala varian 2.0L pula hadir dengan rim 19 inci.

Kelengkapan

Antara ciri yang boleh didapati pada Jetour T1 termasuklah:

  • lampu LED depan dan belakang
  • pintu tailgate berkuasa
  • tempat duduk balutan leatherette
  • tempat duduk pemandu larasan kuasa
  • skrin infohibur 12.8 inci
  • sistem audio 8-pembesar suara
  • sistem pemantauan keliling panorama

Varian 2.0L pula mendapat ciri yang lebih premium seperti:

  • skrin infohibur sebesar 15.6 inci
  • sistem audio Sony Premium dengan 9-pembesar suara
  • tempat duduk pemandu depan larasan kuasa
  • bumbung kaca panorama

Keselamatan

Kedua-dua varian dilengkapi dengan enam beg udara serta sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) Tahap 2 secara standard.

Warna

Jetour T1 boleh didapati dalam pilihan warna Khaki White, Aviation Silver, Sand Gold dan Carbon Black.

KLIMS2026: Tempahan untuk Jetour T2 i-DM 2026 kini dibuka, harga anggaran RM168,888

Jetour Malaysia secara rasmi membuka tempahan bagi model SUV baharu Jetour T2 i-DM yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Harga jualan anggaran bermula dari RM168,888.

Spesifikasi

Jetour T2 i-DM dilengkapi dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) yang terdiri daripada:

  • enjin 1.5 liter TGDI
  • dua motor elektrik
  • transmisi hibrid DHT tiga-kelajuan

Secara keseluruhan, SUV ini berupaya menjana kuasa 355 hp dan daya kilas 610 Nm.

Dalam mod sifar emisi, Jetour T2 i-DM boleh bergerak melebihi 100 km, dengan jarak perjalanan keseluruhan sehingga 1,200 km.

Kelengkapan

Jetour T2 i-DM dijangka membawakan kelengkapan yang hampir sama ditawarkan pada model Jetour T2 versi petrol.

Antaranya ialah:

  • skrin kluster 10.25 inci
  • skrin infohibur 15.6 inci
  • sistem audio Sony Premium
  • tombol gear kristal bercahaya

SUV ini turut hadir dengan ciri keselamatan seperti enam beg udara, sistem pemantauan keliling panorama, serta bantuan ADAS Tahap 2.

Jetour T2 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga RM156,800

Jetour Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV terbaharu Jetour T2 2026.

Ia merupakan SUV saiz pertengahan yang dibina berdasarkan senibina unibodi Kunlun, dan direka untuk aktiviti off-road yang ringan.

Jetour T2 2026 dijual pada harga bermula dari RM156,800.

Bersempena dengan pelancaran, Jetour Malaysia turut menawarkan pakej berikut:

  • Jaminan 7-tahun atau had perbatuan 150,000 km
  • Jaminan enjin 10-tahun atau had perbatuan 1 juta km
  • Pakej servis percuma (5 kali)
  • Pakej early bird berupa rebat tunari RM2,000 (untuk 3,000 pelanggan pertama)

Spesifikasi Jetour T2 2026

SUV ini dikuasakan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan.

Kuasa sekitar 241 hp @ 5,500 rpm serta daya kilas 375 Nm @ 1,750-4,500 rpm itu kemudian disalur kepada sistem pacuan semua roda Intelligent XWD.

Jetour T2 menyediakan 7 mod pemanduan serta mod adaptif X.

Luaran

SUV ini membawakan ukuran sepanjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi 1,870 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,800 mm.

Ia menggunakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang.

Jetour T2 menawarkan sudut pendekatan 28 darjah, sudut pelepasan 30 darjah, jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm dan mampu meredah air sedalam 700 mm.

Ciri lain termasuklah:

  • jeriji hadapan dengan perkataan JETOUR bercahaya
  • rim aloi 19 inci
  • sistem lampu LED
  • pintu tailgate dengan fungsi sedutan elektrik
  • ruang simpanan tayar pada pintu tailgate

Kelengkapan kabin dan keselamatan

Ruang kabin Jetour T2 menampilkan ciri berikut:

  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 15.6 inci
  • tempat duduk baris depan balutan leatherette dengan larasan kuasa, pengudaraan dan fungsi memori
  • bumbung kaca panorama
  • sistem pencahayaan ambien
  • sistem audio Sony Premium dengan 12 pembesar suara
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W

SUV ini menawarkan ruang kargo sebesar 580 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,494 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Secara standard, Jetour T2 dilengkapi dengan enam beg udara serta 14 ciri ADAS Tahap 2 termasuklah:

  • brek kecemasan autonomi (AEB)
  • bantuan jelajah bersepadu (ICA)
  • sistem pengesanan titik buta (BSD)
  • amaran lintasan trafik belakang (RCTA)
  • bantuan suluhan tinggi pintar (IHBC)
  • amaran pelanggaran hadapan (FCW)
  • amaran pelanggaran belakang (RCW)
  • sistem pengelakan pintar (IAS)
  • kawalan  jelajah adaptif (ACC)
  • amaran bukaan pintu (DOW)
  • bantuan kesesakan trafik (TJA)

Tidak ketinggalan, ciri yang memudahkan pemandu seperti sistem pemantauan keliling (PVM) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Warna

Terdapat tiga warna yang ditawarkan untuk Jetour T2 2026:

  • Khaki White
  • Aviation Silver
  • Carbon Black

Tempahan Jetour T2 2026 dibuka, pelancaran Q1 2026, harga anggaran RM178,888

Pihak Jetour Malaysia telah mengumumkan pembukaan tempahan bagi model SUV premium lasak Jetour T2, dengan harga anggaran dari RM178,888.

Dengan kemunculan versi pemanduan sebelah kanan (RHD) baru-baru ini, ia sekaligus menjadikan Malaysia sebagai antara pasaran terawal di dunia yang menyambut kemunculan model ini.

Untuk info, Jetour T2 versi RHD ini telah pun dipamerkan semasa acara pameran Shanghai Auto Show pada bulan April yang lepas.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang Jetour T2 yang bakal dilancarkan pada suku pertama 2026 (Q1 2026):

 

1. Enjin

Jetour T2 dikuasakan oleh enjin petrol 2.0L TGDi dengan hamburan kuasa 245 PS dan daya kilas 375 Nm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan, sistem pacuan empat roda serta mod pemanduan pintar X-Intelligent yang boleh disesuaikan mengikut permukaan dan keadaan jalan.

 

2. Dimensi

Jetour T2 merupakan SUV saiz pertengahan dengan ukuran dimensi sepanjang 4,785 mm, lebar 2,006 mm, tinggi, 1880 mm dengan jarak antara roda 2,800 mm.

 

3. Kelengkapan

Jetour T2 mendapat kelengkapan seperti unit pencahayaan LED berserta logo Jetour bercahaya, rel bumbung serta kotak storan luaran pada pintu kargo belakang.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta tidak ketinggalan sistem audio Sony dengan 12 pembesar suara.

 

4. Keselamatan

Jetour Malaysia mengesahkan SUV T2 ini akan dilengkapi dengan enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), kamera keliling 360 darjah, serta sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2.

Rakyat Malaysia yang berminat boleh membuat tempahan di semua pengedar sah Jetour dengan yuran tempahan RM1,000.

Jetour Malaysia catat lebih 2,000 tempahan, serah 1,000 unit kepada pelanggan

Jetour Malaysia mengumumkan pencapaian yang membanggakan sejak memulakan program pemasangan tempatan (CKD) pada Jun 2025.

Sehingga kini, sebanyak lebih 2,000 tempahan telah diterima manakala lebih 1,000 unit SUV Dashing dan VT9 telah pun diserahkan kepada pelanggan.

Kejayaan tersebut didorong oleh peluasan pesat rangkaian jualan dan servis Jetour di seluruh negara.

Menjelang Ogos 2025, sebanyak 20 pengedar sah telah beroperasi lengkap dengan perkhidmatan jualan, servis, alat ganti serta badan & cat.

Kesemua rangkaian pengedar ini menawarkan akses kepada model terbaharu Jetour, sesi perundingan peribadi, pandu uji, serta perkhidmatan penyelenggaraan oleh juruteknik yang diperakui oleh Jetour Global Academy.

Pelanggan di sekitar Lembah Klang boleh mendapatkan perkhidmatan tersebut di Bukit Jalil, Klang, Cheras, Sungai Long, Setia Alam, Kepong, Damansara, Puchong, Glenmarie, Jalan Kuching dan Ampang.

Bagi Wilayah Utara, rangkaian perkhidmatan Jetour tersedia di Ipoh, Pulau Pinang dan Alor Setar manakala Wilayah Selatan pula terdapat di Johor Bahru dan Melaka.

Menjelang akhir tahun, Jetour merancang untuk mengembangkan rangkaiannya kepada 30 pusat pengedar sah di seluruh negara.

Lokasi baharu rangkaian pengedar Jetour akan dibuka di kawasan berikut:

  • Lembah Klang – Petaling Jaya, Seri Kembangan, Putrajaya, Sunway, Kota Damansara, dan Kepong (cawangan kedua).
  • Wilayah Utara – Sungai Petani, Bayan Lepas dan Ipoh (cawangan kedua)
  • Wilayah Selatan – Seremban dan Melaka (cawangan kedua)
  • Pantai Timur – Kuantan, Temerloh, Bentong dan Kota Bharu
  • Malaysia Timur – Kuching, Sibu, Miri, Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau

Menurut Encik Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif JETOUR Malaysia, “Pertumbuhan rangkaian jualan dan servis kami di Malaysia membuktikan keyakinan serta sambutan menggalakkan daripada pelanggan tempatan terhadap JETOUR.

“Kami komited untuk menghasilkan kenderaan berkualiti tinggi serta menawarkan pengalaman pemilikan yang lancar supaya semangat pengembaraan JETOUR dapat dirasai oleh setiap pemandu di Malaysia.”

Jetour mulakan operasi CKD untuk kukuh kedudukan di ASEAN

Jetour Auto Malaysia secara rasmi memulakan operasi pemasangan tempatan (CKD) untuk model SUV Dashing dan VT9 di fasiliti Berjaya Assembly Sdn Bhd (B-Assembly) di Tampoi, Johor Bahru.

Fasiliti berkeluasan 640,000 kaki persegi itu menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab strategik untuk pembuatan dan pengedaran bagi rantau ASEAN.

B-Assembly, anak syarikat milik penuh Berjaya Assets Berhad berperanan sebagai rakan pemasangan tempatan Jetour.

Fasiliti sedia ada ini dilengkapi dengan sistem berkeupayaan Industri 4.0, mencerminkan komitmen bersama kedua-dua syarikat terhadap piawaian pembuatan bertaraf tinggi, kecekapan operasi serta penyelesaian mobiliti mampan.

Menurut Wen Qiangkang, Naib Presiden Jetour International berkata, “pencapaian penting ini mencerminkan keyakinan kukuh kami terhadap Malaysia sebagai pasaran strategik untuk Jetour.

Fu Yong, Ketua Pegawai Eksekutif Jetour Malaysia berkata, “dengan pelancaran operasi pembuatan tempatan, kami berbangga dapat menawarkan kenderaan berkualiti tinggi yang dipasang di Malaysia, sejajar dengan komitmen berterusan kami terhadap kualiti, inovasi dan kepuasan pelanggan.

Sejak pelancaran rasmi barisan produk pertama di Malaysia, Jetour telah berkembang pesat dengan lebih daripada 20 cawangan di seluruh negara.

Operasi CKD ini menandakan detik penting dalam usaha mempercepatkan pemerolehan tempatan untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat, mempercepat masa penghantaran dan meningkatkan kepuasan pelanggan menerusi penawaran tambah nilai kepada pengguna di Malaysia.

Buat masa ini, fasiliti tersebut memberikan tumpuan pada pemasangan model Dashing dan VT9 di mana lebih 1,000 unit kenderaan telah dihasilkan.

Penghantaran model Dashing pemasangan tempatan bermula pada Jun 2025, dan akan disusuli oleh model VT9 kelak.

Pada masa hadapan, Jetour merancang untuk melabur sekitar RM1.4 bilion di Malaysia bagi menyokong pelancaran lebih banyak model pemasangan tempatan dan eksport ke negara jiran di rantau ASEAN.

Jetour VT9 2025 rasmi dilancarkan di Malaysia Autoshow 2025, dari RM118,800

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Jetour Malaysia hari ini secara rasmi melancarkan model SUV keluarga tujuh tempat duduk VT9.

SUV segmen D ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo menghasilkan 156 PS dan daya kilas 230 Nm yang dipadankan dengan transmisi DCT enam-kelajuan.

Ia membawakan tetapan suspensi topang MacPherson di depan, diikuti dengan tetapan Multilink di belakang.

Dari segi dimensi, VT9 berukuran 4,274 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,720 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.

Secara standard, VT9 dibekalkan dengan rim 19 inci, lampu utama LED, jeriji hadapan dengan elemen 3D, serta kemasan tip ekzos palsu di belakang.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin berkembar 10.25 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas jenis USB, soket 12V, slot pengecas peranti pintar tanpa wayar, serta bumbung kaca panorama (varian Prime sahaja).

Ruang kargo pula berkapasiti 89 liter di belakang tempat duduk baris ketiga, namun boleh dibesarkan sehingga 1,680 liter untuk pelbagai keperluan.

Untuk pasaran Malaysia, Jetour VT9 boleh didapati dalam warna Tech Grey, Phantom Grey, Aurora Green, Star Black serta Khaki White.

Ciri keselamatan termasuklah enam beg udara, kawalan jelajah, kamera 360 darjah, bantuan mula mendaki dan menurun cerun, sistem pengesanan titik buta (BSW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran bukaan pintu (DOW) dan amaran penukaran lorong (LCW).

Harga jualan pula bermula dari RM118,800 untuk varian Comfort, dan sehingga RM123,800 untuk versi Prime.

 

Jetour T2 dengan tiga konsep kit badan dipamerkan di Auto Shanghai 2025

Jetour T2 merupakan SUV saiz pertengahan yang membawakan binaan badan unibodi dan menawarkan ciri-ciri yang sesuai sebagai sebuah kenderaan off-road.

Dalam versi standard, Jetour T2 membawakan penggayaan SUV badan kotak yang mengingatkan kami pada rekaan SUV popular Land Rover Defender.

Elemen tersebut lebih menonjol dengan kehadiran pelbagai jenis aksesori yang boleh dipadankan, berdasarkan kehadiran beberapa varian kit badan yang dipamerkan di Auto Shanghai 2025.

Berhampiran dengan hotel Hilton Shanghai Hongqiao tempat para media menginap, Jetour mempamerkan T2 versi Stargazer yang lengkap dengan aksesori seperti:
– bampar depan lengkap dengan bar pelindung
– jeriji yang lebih agresif
– rim rekaan berlainan
– tempat pemijak sisi
– hud enjin yang lebih tinggi
– rak bumbung
– fender depan belakang lebih lebar
– tangga boleh lipat pada bahagian kiri
– kotak storan luaran di bahagian kanan
– kotak storan luaran pada pintu tailgate
– besi pelindung perumah lampu belakang

Pada majlis makan malam Persidangan Tahunan Perniagaan Antarabangsa Jetour, mereka mempamerkan dua lagi konsep aksesori, iaitu Stargazer Air dan Nexus Sentinel.

Tidak seperti Stargazer, pakej Stargazer Air tampil lebih ringkas tanpa kehadiran rak bumbung, kotak storan sisi dan tangga boleh lipat.

Pakej aksesori Nexis Sentinel pula membawakan imej futuristik dan moden, dengan fender depan belakang yang lebih lebar, rak bumbung aerodinamik, serta penutup tangki bahan api gaya cyberpunk.

Untuk makluman, pihak Jetour sebelum ini sudah mengesahkan perancangan untuk melancarkan model SUV Jetour T2 untuk pasaran Malaysia tidak lama lagi.

 

Jetour T2 Stargazer

 

Jetour T2 Stargazer Air

Jetour T2 Nexus Sentinel

Jetour T2 bertemakan belang citah dipamerkan di Auto Shanghai 2025

Tahukah anda, selain daripada menghasilkan barisan SUV off-road yang menarik dan mencuri tumpuan, Jetour juga turut terlibat dalam inisiatif pemuliharaan citah.

Citah atau cheetah merupakan haiwan darat yang paling pantas di dunia, berupaya mencapai kelajuan pergerakan sehingga 120 km/j.

Namun haiwan tersebut kini diambang kepupusan, dianggarkan kurang daripada 7,500 ekor yang masih wujud di atas muka bumi ini disebabkan oleh kehilangan habitat, konflik hidupan liar-manusia serta perdagangan haiwan liar secara haram.

Awal tahun 2024, Jetour menjalin kerjasama dengan Saluran Discovery dan melawat Namibia – lokasi tertumpunya spesies citah – untuk mempelajari usaha pemuliharaan citah.

Kesinambungan daripada kerjasama itu, Jetour menjalin hubungan strategik dengan Dana Pemuliharaan Citah (CCF) pada September 2024.

Antara inisiatif yang dilakukan termasuklah mendanai penjagaan tahunan dua ekor anak citah, selain menyumbang kenderaan rasmi untuk menambah baik habitat citah.

Jetour juga bekerjasama dengan Saluran Discovery untuk menghasilkan dokumentari berkenaan pemulihan citah selain mempromosikan inisiatif “Lindungi Citah” di seluruh dunia.

Kerjasama tersebut diabadikan dalam bentuk liveri unik pada model SUV Jetour T2 i-DM seperti yang dipamerkan di Persidangan Tahunan Perniagaan Antarabangsa Jetour 2025 yang bertempat di Shanghai, baru-baru ini.

Jetour pamer model prototaip trak pikap F700 secara rahsia di Shanghai

Bertempat di Auto Shanghai 2025, Jetour ada mempamerkan sebuah model konsep trak pikap saiz penuh F700 yang nampak futuristik.

Kenapa kami katakan ia futuristik?

Sebab F700 Concept ini menampilkan bukaan pintu stail ‘coach’ seperti yang wujud pada model mewah Rolls-Royce atau pintu jenis suicide dengan ketiadaan tiang B di tengah.

Tidak ramai yang tahu, Jetour sebenarnya ada mempamerkan model prototaip F700 yang lebih mirip kepada versi produksi sebenar di hotel Hilton Shanghai Hongqiao yang menjadi tempat penginapan media global.

Sayang sekali, kami tidak dibenarkan untuk mengambil gambar model trak pikap yang gagah perkasa itu, memandangkan semua alat perakam dan telefon pintar perlu ditinggalkan di luar kotak gergasi tersebut.

Apa yang kami boleh simpulkan ialah F700 merupakan G700 versi trak pikap dengan reka bentuk badan yang berkotak dan struktur muka depan yang hampir sama.

F700 juga berkongsi platform yang sama dengan SUV ladder-frame G700.

Berdasarkan kertas spesifikasi yang diletakkan bersebelahan model tersebut, F700 dijana dengan nadi hibrid 2.0 liter TGDI yang dipadankan dengan transmisi hibrid (DHT) dan dua motor elektrik (satu untuk setiap gandar).

F700 ini turut dilengkapi dengan pek bateri berkapasiti 34.13 kWh.

Casis trak pikap ini disokong dengan suspensi jenis double-wishbone depan dan belakang serta sistem pacuan empat roda (4WD).

Dengan penambahan bed di bahagian belakang, F700 memiliki dimensi yang lebih panjang (5,495 mm) berbanding G700 (5.1 meter), dengan jarak antara roda 3,350 mm.

Setakat ini, model F700 masih lagi di dalam peringkat pembangunan, di mana versi produksi sebenar mungkin akan diperlihatkan kepada umum dalam masa terdekat.

Jetour G700

Jetour G900: Konsep SUV off-road bertaraf mercu dari pelantar GAIA

Reruai Jetour di Auto Shanghai 2025 dimeriahkan lagi dengan kemunculan sebuah model konsep SUV bertaraf mercu Jetour G900.

Sama seperti Jetour G700, Jetour G900 Concept ini dibina berdasarkan pelantar off-road premium GAIA.

Dengan sistem hibrid amfibia iDM-O dengan empat motor elektrik dan navigasi bertaraf marin, Jetour G900 ini boleh dipandu atas tanah dan juga air tanpa sebarang masalah dengan daya tujahan mencecah sehingga 2,500 Nm.

Selain itu, jarak kelegaan tanah G900 boleh dilaraskan pada ketinggian serendah 150 mm hingga maksimum 350 mm.

Tidak cukup dengan itu, G900 bakal menawarkan fungsi-fungsi menarik seperti membuat pusingan tank-turn, serta pergerakan ketam (crab mode).

Untuk ruang kabin, Jetour G900 bakal dilengkapi dengan fungsi kokpit pintar, sistem bekalan oksigen kabin, dan ketersambungan berterusan.

Buat masa ini, G900 masih lagi berstatus model konsep dan tiada sebarang perincian spesifikasi didedahkan kepada pihak media.

 

SUV off-road premium Jetour G700 muncul di Auto Shanghai 2025

Jetour era 3.0 bakal menyaksikan kemunculan beberapa buah SUV dengan dimensi yang lebih besar, dan sarat dengan bermacam jenis teknologi.

Salah satu daripadanya ialah SUV off-road premium Jetour G700, atau sebelum ini dikenali dengan nama Jetour T5 Concept.


G700 sememangnya sebuah SUV yang besar, dengan dimensi panjang mencapai 5.1 meter, dan jarak kelegaan tanah boleh dilaras serendah 150 mm hingga setinggi 350 mm.

SUV premium ini dikuasakan oleh sistem iDM-O Super Hybrid yang terdiri daripada enjin 2.0 liter turbo yang dipadankan dengan transmisi hibrid (DHT) dua kelajuan.

Kuasa keseluruhan mencecah 760 hp dan 795 Nm.

Menurut satu laporan dari laman CarNewsChina, Jetour G700 juga turut ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa penambah jarak (EREV) digelar dengan nama CEM-O.

Varian EREV ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter yang menjadi penjana kuasa kepada bateri dan motor elektrik.

Unit rangkaian kuasa ini juga memadankan empat motor elektrik, dengan kuasa mencecah 1,572 hp, jauh lebih bertenaga berbanding SUV BYD Yangwang U8 (1,180 hp).

Dengan platform ladder-frame, G700 mampu menunda beban seberat 3.5 tan, selain memiliki keupayaan untuk menyelam air sedalam 900 mm, sistem stereng gandar belakang dan mod berjalan senget.

Sayang sekali, kami tidak berpeluang untuk melihat ruang kabin G700 ini dengan lebih terperinci.

Namun berdasarkan laporan media antarabangsa, G700 merupakan sebuah SUV yang menawarkan enam tempat duduk menerusi konfigurasi 2+2+2, selain mempunyai skrin infohibur yang besar dan sudut tempat duduk baris ketiga yang boleh dilaraskan.

Buat masa ini, pihak Jetour Malaysia belum mendedahkan perancangan untuk membawa masuk SUV ini untuk pasaran tempatan.

Bakal muncul di Malaysia, ini info yang anda perlu tahu tentang SUV off-road Jetour T2

Semasa pelancaran Jetour Dashing awal April lepas, Jetour Malaysia turut mendedahkan perancangan untuk membawakan barisan model crossover dan SUV off-road untuk pasaran tempatan.

Salah satu SUV off-road yang disahkan masuk Malaysia ialah Jetour T2, atau lebih dikenal dengan nama Traveller di pasaran China.

Jetour T2 merupakan sebuah SUV segmen saiz pertengahan, dibina berdasarkan platform unibodi Kunlun dan mempunyai elemen rekaan yang diinspirasikan daripada SUV off-road popular Land Rover Defender.

Ia membawakan ukuran sepanjang 4,785 mm, lebar 2,036 mm, tinggi 1,960 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,800 mm.

Jetour T2 menawarkan sudut pendekatan 28 darjah, sudut pelepasan 30 darjah, jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm selain dibantu dengan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang.

Sama seperti Dashing, rekaan T2 dihasilkan oleh bekas pereka Porsche Hakan Saracoglu.

Dari segi kuasa, Jetour T2 ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter turbo (181 hp/290 Nm) dengan padanan transmisi DCT tujuh-kelajuan.

Terdapat juga pilihan enjin 2.0 liter turbo (251 hp/390 Nm) yang boleh dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan atau automatik 8-kelajuan.

T2 versi plug-in hybrid (PHEV) pula dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo dipadankan dengan dua motor elektrik dan transmisi DHT tiga kelajuan, menghasilkan kuasa keseluruhan 375 hp dan 610 Nm.

Dengan pek bateri 26.7 kWh, T2 PHEV (atau T2 i-DM) mampu bergerak sejauh 139 km untuk pemanduan sifar emisi, atau jarak keseluruhan mencecah 1,000 km.

Buat masa ini, pihak Jetour Malaysia belum mengumumkan spesifikasi T2 yang bakal dilancarkan kelak.

Bertempat di Hilton Shanghai Hongqiao, pihak Jetour ada mempamerkan T2 versi pemanduan sebelah kanan (RHD) – difahamkan ia masih lagi berstatus prototaip

Selain daripada posisi stereng di sebelah kanan, Jetour T2 RHD dilengkapi dengan skrin kluster digital 10.25 inci, skrin tengah 15.6 inci, bumbung kaca panorama, serta tempat duduk balutan kulit.

Di bahagian konsol tengah, terdapat butang rotari untuk pemilihan mod pemanduan (economy, standard, sports, snow, mud, sand, rock, dan mod adaptif X), serta tombol penukaran gear yang agak besar.

Selain ruang kargo sebesar 580 liter, Jetour T2 turut menyediakan kotak storan luaran yang dipasang pada pintu tailgate.

Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah SUV off-road, Jetour turut menyediakan pelbagai jenis aksesori yang boleh dipasang termasuklah rak bumbung, kotak storan pada tiang C/D, tangga boleh lipat, dan bermacam-macam lagi.

Ciri keselamatan canggih yang dimuatkan termasuklah amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran keluar lorong (LDW), sistem pemantauan titik buta (BSD), amaran bukaan pintu (DOW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), brek kecemasan autonomi (AEB), bantuan pengekalan lorong (LKA) dan kawalan jelajah adaptif (ACC).

Satu persoalan, berapakah harga jualan yang bakal diletakkan oleh Jetour Malaysia pada SUV T2 ini?

Jetour masuk era 3.0, perkenal platform off-road pintar GAIA di Auto Shanghai 2025

Tidak seperti jenama-jenama lain dibawah kumpulan besar Chery, Jetour lebih fokus kepada penghasilan kenderaan genre SUV dan crossover.

Pengeluar tersebut menggunakan pendekatan strategi Travel+ yang membahagikan kenderaannya kepada tiga kategori utama.

Era 1.0 lebih kepada model berorientasikan keluarga seperti siri Dashing dan juga VT9, diikuti era 2.0 yang terdiri daripada kenderaan off-road yang selesa seperti T1 dan juga T2.

Kini, Jetour memasuki era 3.0 yang membariskan beberapa buah model off-road bertaraf premium, sarat dengan pelbagai teknologi yang lebih canggih dan pintar, seperti SUV G700, model konsep G600 dan G900, serta konsep trak pikap F700.

Tunjang utama kepada barisan model off-road tersebut sudah pasti senibina GAIA (singkatan daripada Generational of All-Terrain Intelligent Architecture).

GAIA merupakan platform generasi baharu kenderaan off-road yang khusus menggunakan kerangka ladder-frame, menawarkan jarak pergerakan suspensi sehingga 150 mm dan jarak kelegaan tanah maksimum 350 mm.

Terdapat dua sistem hibrid yang ditawarkan oleh GAIA, satu daripadanya ialah iDM-O Super Hybrid yang menawarkan prestasi off-road yang lebih cekap dan jimat bahan api.

Satu lagi sistem dikenali sebagai iEM-O Amphibious Range Extender yang menawarkan daya kilas bertaraf kereta kebal sehingga 18,000 Nm, serta daya tujahan 2,500 Nm untuk pemanduan dua alam (darat dan air) yang lancar.

Ia juga turut menawarkan keupayaan seperti pusingan kereta kebal, serta mod jalan ala ketam.

Tidak cukup dengan itu, Jetour turut menawarkan enam ciri inovasi seperti:
• komunikasi satelit orbit rendah
• penghasilan oksiden kendiri
• kokpit berasaskan kepintaran buatan (AI)
• navigasi muka bumi termaju dan bantuan parkir
• integrasi kenderaan-awan
• naik taraf sistem kepintaran berterusan menerusi kemas kini OTA

Jetour X20e, calon EV mini sesuai untuk pasaran Malaysia?

Bertempat di Hotel Shanghai Hongqiao, muncul kelibat sebuah lagi SUV elektrik saiz kecil yang dikenali dengan nama X20e bersebelahan dengan SUV elektrik segmen B.

Rupa paras X20e sememangnya mengingatkan kami pada EV jenama smart, iaitu #1, terutama pada rekaan lampu depan dan belakang, dan yang paling ketara ialah kemasan pada kedua-dua tiang C.

Menariknya, X20e yang dipamerkan ini merupakan versi pemanduan sebelah kanan (RHD).

Adakah ini bermaksud Jetour sudah sedia untuk memasarkan model ini untuk negara-negara pemanduan sebelah kanan?

Disebabkan X20e merupakan model yang sangat baharu, tiada sebarang spesifikasi yang dapat kami tuliskan pada ketika ini, malah ia juga tidak wujud di mana-mana laman web rasmi Jetour.

Namun, berdasarkan model yang dipamerkan ini, X20e dilengkapi dengan rim kompang bersaiz 15 inci, warna hijau pastel, pemegang pintu tersorok serta rekaan bumbung terapung yang diinspirasikan daripada model smart #1.

Sementara ruang kabin pula diberikan dua skrin paparan berasingan untuk pemandu dan di bahagian tengah, butang kawalan fizikal untuk sistem pendingin hawa, kemasan papan pemuka warna tiga tona, serta tempat duduk balutan fabrik yang agak selesa.

Tidak banyak EV saiz kecil yang wujud di pasaran Malaysia pada ketika ini, adakah X20e ini mampu jadi calon yang sesuai untuk kegunaan pemanduan urban?

Jetour pamer SUV elektrik segmen B di Shanghai, bakal guna nama baharu

Selain SUV keluarga berenjin seperti Dashing dan VT9, Jetour turut mempamerkan sebuah SUV elektrik segmen B dengan nama yang agak sama dengan sebuah lagi SUV segmen B yang popular di Malaysia.

Namun menurut info daripada Jetour Malaysia, SUV ini bakal dikenali dengan nama baharu – pendekatan sama yang digunakan pada model VT9.

SUV elektrik ini telah pun muncul di pasaran Indonesia beberapa bulan lepas.

Berdasarkan spesifikasi, ia dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 164 hp/280 Nm, dipadankan dengan pek bateri 53.6 kWh untuk jarak pandu sejauh 401 km.

Dari segi dimensi, SUV ini berukuran 4,100 mm, lebar 1,831 mm, tinggi 1,653 mm dengan jarak antara roda 2,705 mm.

Antara kelengkapan luaran SUV elektrik ini termasuklah port pengecasan di bahagian hadapan, rim 18 inci, serta lampu LED depan dan belakang.

EV RHD ini turut mendapat kelangkapan dalaman seperti skrin kluster digital, skrin infohibur 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kulit, kamera 360 darjah, bumbung suria, dan ruang kargo sebesar 368 liter.

Seperti teaser yang dipertontonkan semasa pelancaran Dashing tempoh hari, SUV elektrik ini juga dijangka akan masuk Malaysia dalam jangka masa terdekat, berkemungkinan besar menggunakan nama baharu dan bukannya nama rasmi yang digunakan pada ketika ini.

Adakah SUV elektrik Jetour ini bakal menjadi alternatif terbaik kepada SUV lain seperti BYD Atto 3, Chery Omoda E5, Honda e:N1 dan smart #1?

SUV 7-tempat duduk Jetour kini dengan nama rasmi VT9

Selepas pelancaran model Dashing, Jetour Malaysia mengesahkan sebuah lagi SUV keluarga tujuh tempat duduk bakal mendarat di Malaysia dalam masa terdekat.

Tidak seperti nama yang digunakan di pasaran luar, SUV tiga baris ini akan dikenali dengan nama baharu Jetour VT9, berdasarkan hantaran di laman Instagram.

Jetour baru-baru ini ada mempamerkan VT9 versi pemanduan sebelah kanan (RHD) bersempena persidangan Jetour Together For Future dan Auto Shanghai 2025 di hotel Hilton Shanghai Hongqiao.

VT9 secara asasnya merupakan SUV segmen D dengan ukuran dimensi 4,724 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,720 mm dengan jarak antara roda 2,720 mm.

Di Malaysia, ia bakal bersaing dengan model seperti Chery Tiggo 8 Pro dan Proton X90.

Dari segi kuasa, VT9 mendapat enjin 1.5 liter turbo yang sama digunakan pada model Dashing, diikuti padanan transmisi klac berkembar (DCT) enam kelajuan.

Berdasarkan model RHD yang dipamerkan, susun atur ruang kabin VT9 adalah hampir sama dengan model Dashing, dengan ciri seperti skrin berkembar 10.25 inci, roda stereng dan butang pandu mula stail Mercedes, pengecas peranti tanpa wayar, serta tombol gear Jet Tour.

Cuma beza yang ketara antara kedua-dua model tersebut ialah rekaan panel pintu serta kemasan pada tempat duduk hadapan.

 

Spesifikasi lanjut berserta harga jualan hanya bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi yang akan berlangsung di Malaysia Autoshow 2025 pada bulan hadapan.