Isuzu D-Max 2.2L tempuh 1,756 km keliling Semenanjung – tiba dengan diesel berbaki 4%

Isuzu D-Max sememangnya terkenal dengan penjimatan bahan api. Baru-baru ini, D-Max 2.2L baharu melakar pencapaian apabila menamatkan perjalanan satu pusingan mengelilingi Semenanjung Malaysia dengan hanya menggunakan hanya satu tangki diesel.

Satu tangki untuk keliling Semenanjung

Cabaran ‘D-Max One Tank. One Nation Challenge’ itu bermula pada 17 Ogos lalu di Balakong, Selangor, melibatkan dua unit D-Max iaitu varian 4×4 Auto Premium dan 4×2 Auto Plus.

Dalam tempoh enam hari, kedua-dua trak pikap berkenaan merekodkan perjalanan sejauh 1,756 km melalui jalur lebuh raya, jalan utama dan juga merentasi kawasan pergunungan melalui East-West Link dari Jeli ke Gerik.

Perjalanan tersebut juga merentasi Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Perak sebelum kembali semula ke Selangor. Ia juga melibatkan 10 hentian di lokasi pengedar Isuzu.

Tiba di garisan penamat dengan minyak berbaki 4%

Apa yang menarik, apabila tiba akhir di Pusat 3S Isuzu Jinjang, Kuala Lumpur pada Sabtu 22 Ogos, kedua-dua trak pikap berkenaan mempunyai bahan api yang masih berbaki lebih 4% di dalam tangki.

Cabaran ini adalah bagi menunjukkan keupayaan enjin turbodiesel RZ4F-TC 2.2-liter baharu dari pelbagai aspek termasuk prestasi, kehalusan buatan, ketahanan, kebolehpercayaan dan juga kecekapan.

Gabungan enjin dan transmisi yang menjadi

D-Max 2.2L 4×2 Auto Plus dipandu oleh Sing Yuin Christy, pemegang rekod Malaysian Book of Records sebagai individu yang berjaya mencapai jarak pemanduan trak pikap paling jauh dengan hanya menggunakan satu tangki bahan api.

“Tindak balas pendikit untuk enjin baharu serta cara penyampaian kuasanya telah dipadankan secara sangat baik, dengan nisbah kotak gear automatik lapan-kelajuan baharunya juga akan menjamin pacuan sentiasa akan berada dalam gear yang betul dalam apa saja keadaan jalan yang dilalui.

“Mampu meluncur di jalan utama dan lebuh raya dalam gear ketujuh dan kelapan juga membolehkan trak pikap ini memecut dengan agak cekap tanpa memerlukan terlalu banyak input pendikit, sekali gus menjimatkan banyak bahan api,” kata Christy.

Isuzu D-Max 2.2L mulakan perjalanan keliling Semenanjung dengan satu tangki penuh

Isuzu Malaysia akan memulakan cabaran “One-Tank, One Nation Challenge”, iaitu melengkapkan perjalanan mengelilingi seluruh Semenanjung dengan satu tangki diesel.

Cabaran tersebut akan menggunakan sebuah trak pikap Isuzu D-Max 2.2 liter terbaharu.

Perjalanan akan bermula dari Pusat 3S Isuzu di Balakong, Selangor mengelilingi Semenanjung dan kembali semula ke Kuala Lumpur enam hari kemudian.

Perjalanan ini akan turut melibatkan kunjungan ke lokasi pengedar Isuzu di Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan, Kedah dan Perak.

Kenichi Kudo, Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia berkata, “Kami percaya bahawa Isuzu D-MAX baharu dengan enjin 2.2 liter ini mempunyai kualiti dan kemampuan untuk mengharungi cabaran yang mencabar begini.

Duta jenama Isuzu, Baki Zainal akan mengemas kini perjalanan D-Max 2.2L di lokasi pengedar utama yang bakal disinggahi.

Peminat juga boleh berinteraksi dengan Baki dan kru yang terlibat, menikmati hadiah istimewa dan jamuan ringan di setiap lokasi yang dikunjungi.

Selain itu, rakyat Malaysia boleh meneka jarak perjalanan yang mampu dicapai oleh D-Max apabila ia kembali semula ke Kuala Lumpur pada Sabtu.

Hadiah utama berupa baucar beli-belah bernilai RM5,000 menanti mereka yang berjaya meneka jarak tempuh paling hampir dengan bacaan akhir.

Maklumat lanjut boleh didapati menerusi laman web ini:

https://pickuptruck.isuzu.net.my/d-max-onetank-onenation-2026/

Isuzu D-Max 2.2 liter terus dapat sambutan, varian Standard 4×4 Auto paling laris

Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lalu, trak pikap Isuzu D-Max dengan enjin baharu 2.2 liter terus mendapat sambutan di kalangan rakyat Malaysia.

Model baharu ini menyumbang kepada pegangan pasaran 17.3 peratus bagi segmen trak pikap dalam tempoh suku kedua 2026, atau peningkatan 3 peratus berbanding suku pertama.

Varian paling laris – Standard 4×4 Auto!

Varian Standard 4×4 Auto 2.2 liter menjadi varian paling laris, menyumbang kepada 36 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan D-Max.

Selain itu, varian Single Cab 4×4 turut menerima sambutan hangat di mana 60 peratus terdiri daripada trak transmisi automatik.

Menurut Isuzu, enjin baharu 2.2 liter telah menjadi pilihan pembeli kerana ia menawarkan manfaat seperti pemanduan dinamik, penjimatan bahan api, serta transmisi automatik lapan-kelajuan yang sangat responsif.

Dengan pengenalan barisan model D-Max baharu, Isuzu kini menawarkan pilihan varian paling menyeluruh dalam pasaran tempatan (10 varian).

Enjin terbaik Isuzu

Kenichi Kudo, Ketua Pegawai Operasi bahagian kenderaan komersial ringan Isuzu Malaysia berkata, enjin tersebut menambah dimensi baharu kepada keseronokan pemanduan serta keupayaan Isuzu D-Max yang ada ketika ini.

“Barisan Isuzu D-Max dengan enjin 2.2 liter baharu dan transmisi automatik lapan-kelajuan telah menunjukkan prestasi jualan yang sangat baik sejak dilancarkan.

“Enjin baharu ini memberikan tahap yang lebih baik dalam setiap aspek penawarannya — kecekapan bahan api, janaan kuasa, kesenyapan serta emisi.

“Itulah sebabnya kami tidak teragak-agak untuk menggelarnya sebagai enjin terbaik yang pernah kami hasilkan setakat ini,” jelasnya.

Pusat 3S Isuzu Autoexec Corporation Kuala Lumpur mula beroperasi

Isuzu Malaysia mengumumkan pembukaan rasmi Pusat 3S Autoexec Corporation, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Terletak berhampiran dengan Pusat Dagangan Dunia KL, lokasinya mudah diakses untuk pelanggan mencari kenderaan Isuzu yang ideal.

Pembukaan Pusat 3S Isuzu Autoexec Corporation Jalan Tun Razak yang baharu ini juga menandakan perpindahan serta pengembangan operasi dari cawangan 1S sebelum ini yang terletak di Jalan Semarak.

Ini merupakan cawangan ketiga Isuzu yang dikendalikan oleh Autoexec Corporation di Kuala Lumpur.

Sempena majlis perasmian, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, “Pembukaan Pusat 3S Isuzu ini dijangka akan meningkatkan lagi minat terhadap barisan produk kami yang mempunyai tarikan khusus bagi pengguna di kawasan bandar.

“Saya percaya bahawa kenderaan Isuzu turut mampu memenuhi keperluan pengguna urban,” kata Yamaguchi.

Pembukaan Pusat 3S baharu ini juga sangat bertepatan dengan pengenalan model Isuzu D-Max 2.2 liter turbodiesel baharu yang turut ditawarkan dalam varian Single Cab Automatic pertama di Malaysia.

Fasiliti ini menawarkan kemudahan seperti ruang pameran utama dengan teknologi digital, ruang serahan kenderaan pelanggan, ruang menunggu serta sudut cenderahati.

Ia turut menawarkan sokongan selepas jualan termasuklah servis untuk trak pikap dan trak komersial.

Pusat 3S ini beroperasi setiap Isnin hingga Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang.

Isuzu D-Max 2026 facelift rasmi dilancarkan – enjin 2.2L baharu, harga dari RM103 ribu

Isuzu Malaysia hari ini melancarkan trak pikap Isuzu D-Max 2026 yang kini dipadankan dengan enjin 2.2 liter turbo serba baharu.

Harga jualan adalah seperti berikut:

  • D-Max 2.2L Single Cab MT 4×4 – RM103,121.20
  • D-Max 2.2L Single Cab AT 4×4 – RM109,121.20
  • D-Max 2.2L Auto Plus 4×2 – RM114,671.20
  • D-Max 2.2L MT Standard 4×4 – RM114,271.20
  • D-Max 2.2L AT Standard 4×4 – RM122,171.20
  • D-Max 2.2L AT Premium 4×4 – RM141,821.20
  • D-Max 3.0L Single Cab MT 4×4 – RM108,888.40
  • D-Max 3.0L AT Premium 4×4 – RM145,138.40
  • D-Max 3.0L AT X-Terrain 4×4 – RM162,938.40

Turut menyertai barisan penawaran ini ialah varian Single Cab dengan transmisi automatik yang pertama di Malaysia.

Ia masih menggunakan transmisi automatik 8-kelajuan yang sama, namun diberikan talaan khusus untuk memenuhi keperluan angkut bebanan yang lebih besar.

Spesifikasi D-Max 2026

Isuzu D-Max 2026 facelift kini dilengkapi dengan enjin diesel 2.2L turbo piawaian Euro 5 menggantikan nadi 1.9 liter sedia ada.

Ia berupaya menjana kuasa 163 PS @ 3,600 rpm dan daya kilas 400 Nm @ 1,600-2,400 rpm, atau peningkatan kuasa sebanyak 8.7 peratus.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik 8-kelajuan serba baharu dengan ciri sequential shift.

Sementara enjin 3.0L berkuasa 190 PS/450 Nm sedia ada kini ditawarkan untuk varian berikut:

  • Single Cab MT 4×4
  • AT Premium 4×4
  • X-Terrain 4×4

Bahagian luar D-Max 2026 mendapat perubahan pada bahagian lampu utama, jeriji hadapan, rim 18 inci rekaan baharu serta tempat pemijak sisi.

Antara peningkatan pada ruang kabin termasuklah padanan skrin infohibur 7-inci untuk varian Standard atau skrin infohibur 10-inci untuk varian 4×2 Plus, Premium dan X-Terrain.

Selain itu, D-Max turut dilengkapi dengan fungsi Rough Terrain Mode untuk semua varian 4×4 (termasuk Single Cab) serta ciri Tailgate Assist.

Terdapat pilihan warna baharu Inishmore Green Metallic dan Obsidian Gray Mica untuk varian terpilih, diikuti Mercury Silver Metallic dan Splash White.

Isuzu D-Max trak pikap nombor dua paling laris tahun 2025 di Malaysia

Isuzu Malaysia mengumumkan pencapaian jualan sepanjang tahun 2025 yang sihat biarpun sentimen industri terhadap kenderaan diesel menurun.

Sepanjang tempoh tersebut, sebanyak 6,880 unit kenderaan berjaya didaftarkan dengan perkongsian pasaran sebanyak 56.1 peratus.

Ini merupakan satu peningkatan ketara berbanding rekod tertinggi 47.1 peratus yang dicatatkan pada tahun 2023.

 

D-Max kekal kedudukan tangga kedua

Trak pikap Isuzu D-Max mengekalkan kedudukannya sebagai trak pikap nombor dua paling laris terjual, dengan penguasaan pasaran sebanyak 15 peratus.

Selain itu, trak tugas ringan Isuzu Elf kekal menjadi trak paling popular di Malaysia bagi tahun ke-16 berturut-turut.

Sepanjang tempoh tahun lalu, sejumlah 6,362 unit telah didaftarkan dan menyumbang kepada 92.5 peratus daripada jumlah trak yang dijual.

Isuzu Forward mengulangi kejayaan tahun 2023 dengan muncul sebagai trak tugas sederhana paling laris tahun lepas (494 unit).

 

Barisan produk Isuzu penuhi keperluan pelanggan

Tomoyuki Yamaguchi, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, berkata komitmen Isuzu dalam memahami dan memenuhi keperluan pelanggan menjadi asas kepada peningkatan populariti jenama itu.

Beliau menambah bahawa kecekapan rangkaian pengedar menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran serta sistem selepas jualan yang mantap turut menyumbang kepada penerimaan berterusan Isuzu di Malaysia.

 

Isuzu Be-cam Wide Cab Long 2026, dari lori kepada karavan, ruang dalaman lebih luas

Isuzu Motors Limited memperkenalkan varian terbaharu bagi barisan casis khusus karavan mereka iaitu Be-cam Cab Long. Iya, Isuzu bukan sahaja mempunyai kenderaan komersial tetapi juga karavan untuk pasaran Jepun.

Model yang dibina berasaskan trak ringan Isuzu Elf kini hadir dengan pilihan Wide Cab Long yang menawarkan dimensi lebih besar berbanding model sebelumnya.

Pelancaran rasmi varian ini dilakukan melalui kerjasama dengan pembina karavan Nippon Tokushu Body Co. Ltd. dan kini sudah berada di pasaran.

Satu lagi yang menarik ialah Isuzu A&S Co. Ltd. turut memperkenalkan model konsep yang dinamakan GeoRoam.

Model ini menggunakan warna eksklusif Dark Khaki Metallic dan turut tersedia dengan pelbagai aksesori untuk rujukan peminat aktiviti luar.

Ruang Lebih Luas dan Kapasiti Beban Tinggi

Pembangunan varian Wide Cab Long didorong oleh peningkatan minat terhadap aktiviti rekreasi luar dan keperluan pasaran terhadap karavan yang mempunyai ruang dalaman lebih luas serta bermutu tinggi.

Gabungan kabin lebar dan jarak roda yang panjang pada Be-cam terbaharu ini membolehkan pembinaan ruang kediaman yang lebih terbuka.

Casis yang digunakan direka khusus untuk menampung struktur badan karavan yang besar dengan had berat dibenarkan mencecah 6.6 tan.

Isuzu menggunakan kepakaran mereka dalam pembuatan kenderaan komersial untuk memastikan Be-cam mampu memberikan keseimbangan antara kebebasan reka bentuk badan kenderaan dengan keselesaan pemanduan serta ketahanan jangka panjang.

Pembangunan varian Wide Cab Long didorong oleh peningkatan minat terhadap aktiviti rekreasi luar dan keperluan pasaran terhadap karavan yang mempunyai ruang dalaman lebih luas serta bermutu tinggi.

Rangkaian Kuasa dan Transmisi Moden

Varian terbaharu Be-cam dikuasakan enjin diesel 4JZ1 dengan sesaran enjin 2,999 cc yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 147 hp pada 2,450 rpm.

Enjin ini direka untuk memberikan tork yang tinggi bagi memudahkan pergerakan karavan yang berat, di samping mengekalkan tahap kecekapan bahan api yang tinggi.

Untuk menyokong keperluan elektrik di dalam ruang kediaman karavan, casis ini turut dilengkapi dengan penjana kuasa atau generator berkapasiti 24V 90A sebagai ciri standard.

Sistem penyampaian kuasa pula menggunakan transmisi ISIM yang merupakan kotak gear klac berkembar 9 kelajuan atau 9 speed DCT.

Sistem ini memastikan penghantaran kuasa yang lancar dan bertenaga walaupun membawa bebanan berat yang sinonim dengan sesebuah karavan.

Selain prestasi pemanduan, penggunaan transmisi ini turut menyumbang kepada tahap kecekapan bahan api yang lebih baik serta pemanduan yang lebih senyap.

Model ini juga didatangkan secara standard dengan sistem pacuan 4WD sepenuh masa jenis center differential yang dikhaskan untuk varian Wide Cab.

Sistem pacuan ini sangat membantu dari segi kestabilan dan keupayaan melepasi permukaan jalan yang mencabar seperti jalan tidak berturap atau kawasan bersalji dengan agihan kuasa yang lebih stabil ke semua roda.

Ini membezakannya dengan varian High Cab Short sedia ada yang lebih memfokuskan kepada aspek kelincahan pengendalian.

Teknologi Keselamatan Canggih

Sebagai model andalan, Isuzu melengkapkan varian Be-cam Wide Cab Long dengan rangkaian sistem keselamatan aktif yang komprehensif.

Pemandu dibantu dengan ciri Lane Keep Assist dan Full-speed Range Adaptive Cruise Control yang sangat berguna untuk perjalanan jarak jauh bagi mengurangkan keletihan.

Terdapat juga ciri keselamatan lain seperti Pre-collision Brake, pemantauan status pemandu dan sistem amaran titik buta.

Penggunaan lampu hadapan LED jenis Adaptive High Beam turut membantu penglihatan pada waktu malam tanpa menyilaukan pemandu lain.

Kehadiran ciri-ciri ini memberikan ketenangan minda kepada pengguna untuk mengendalikan sebuah kenderaan yang bersaiz besar dengan lebih selamat.

Spesifikasi Teknikal Isuzu Be-cam Wide Cab Long

  • Enjin: 4JZ 2,999 cc
  • Kuasa Maksimum: 147 hp@2,450 rpm
  • Transmisi: ISIM (9 speed DCT)
  • Sistem Pacuan: 4WD
  • Penjana Kuasa (Generator): 24V 90A
  • Had Berat Kenderaan Dibenarkan: 6.6 tan
  • Saiz Tayar: 225/70R16

Pusat Servis Isuzu Balakong terima status 4S

Isuzu Malaysia mengumumkan pusat servis yang dikendalikan oleh SV Prestige Auto di Balakong telah menerima status 4S.

Ini bermakna, Pusat 4S Isuzu Balakong kini menjadi pengedar ketiga di Lembah Klang yang menjalankan operasi bersepadu lengkap termasuk jualan kenderaan, layanan selepas jualan, kemudahan mengecat dan baik pulih badan bertauliah.

Menampilkan identiti korporat baharu Isuzu (CI), cawangan ini terletak di kawasan perindustrian ringan baharu dan menawarkan barisan lengkap Isuzu D-Max serta trak komersial lain untuk dijual.

Bilik pameran boleh menempatkan dua unit trak pikap yang lengkap dengan paparan bebas-kertas, di mana pelanggan boleh meninjau kemampuan off-road D-Max secara digital melalui simulator realiti maya.

Sementara pusat servis pula boleh mengendalikan enam kenderaan sekaligus yang bukan sahaja menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan biasa, tetapi boleh menawarkan khidmat penjajaran roda serta mempunyai kebuk mengecat saiz penuh.

Pusat cat & badan kenderaan itu kini diiktiraf oleh syarikat-syarikat insurans automotif yang besar serta menjadi panel kepada lima syarikat penanggung insurans utama.

Ia juga sedang menunggu kelulusan untuk menjalankan baik pulih kemalangan berat memandangkan semua kelengkapan dan latihan sudah pun dijalankan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, Pusat 4S yang terbaharu ini mencerminkan kesungguhan Isuzu dalam memberikan ketenangan fikiran kepada pelanggan.

“Pembukaan Pusat 4S Isuzu terbaharu ini menampilkan kemudahan moden dan bersepadu yang mencerminkan usaha berterusan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan Isuzu menjadi satu pengalaman yang menyenangkan.

“Dengan menawarkan layanan dan servis penjagaan kenderaan yang lengkap di bawah satu bumbung, pelanggan boleh berlapang dada kerana kenderaan Isuzu mereka menerima penjagaan yang menyeluruh dan terjamin,” ujar Yamaguchi.

Pusat 4S SV Prestige Auto Isuzu baharu ini terletak di Lot 1917-B, Jalan KPB 7, Kawasan Perindustrian Kampung Baru Balakong. Bersama dengan Pusat 3S Isuzunya di Puchong, bilik pameran SV Prestige Auto dibuka setiap hari, sementara pusat servisnya dibuka dari Isnin hingga Sabtu.

Isuzu Malaysia lancar pusat 3S baharu di Kuantan

Isuzu Malaysia baru-baru ini mengumumkan pembukaan rasmi pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) yang terletak di Kuantan, Pahang.

Dikendalikan oleh Dynamic Motors Sdn Bhd, pusat 3S serba baharu ini didirikan atas tanah berkeluasan 3,500 meter persegi di kawasan perindustrian Semambu dan menampilkan identiti korporat Isuzu terkini.

Antara kemudahan yang disediakan di pusat 3S Isuzu ini termasuklah ruang pameran, ruang menunggu seakan sebuah kafe yang lengkap dengan meja, peti sejuk dan mesin kopi, serta laluan berbumbung untuk pelanggan servis.

 

Selain model Isuzu D-Max dan Elf, pusat 3S ini juga turut menjual dan menyediakan servis untuk keseluruhan barisan kenderaan tugas sederhana dan berat seperti Forward dan Giga.

Tomoyuki Yamaguchi, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia berkata, rumah baharu Isuzu di Kuantan itu dibuka tepat pada masanya memandangkan penerimaan terhadap kenderaan Isuzu semakin berkembang di negara ini.

Sementara itu, Donald Chan selaku Pengerusi Dynamic Motors berkata, “Sepanjang 20 tahun kami menerima sokongan daripada ramai pelanggan setia yang kembali untuk membeli kenderaan baharu Isuzu.

“Bersama sokongan daripada Isuzu Malaysia, kami berharap akan dapat terus memberikan yang terbaik kepada pelanggan di Kuantan untuk tahun-tahun ke hadapan.

Untuk makluman, bilik pameran bagi pusat 3S ini dibuka setiap hari manakala pusat servis pula dibuka dari Isnin hingga Sabtu.

 

Isuzu Malaysia rasmi buka pusat 3S baharu di Puncak Alam

Isuzu Malaysia baru-baru ini merasmikan pembukaan Pusat 3S serba baharu yang terletak di Taman Perindustrian Alam Jaya, Puncak Alam.

Dikendalikan oleh PTM Accel Sdn Bhd, Pusat 3S ini dapat memenuhi keperluan para pelanggan yang menggunakan rangkaian kenderaan komersial Isuzu terkini termasuklah trak tugas ringan, tugas sederhana, tugas berat serta prime mover.

Dengan ruang sebesar 4,046.86 meter persegi, Pusat 3S Isuzu ini turut menyediakan kawasan bengkel besar yang terdiri daripada 30 ruang servis, serta inventori penuh alat ganti.

Terdapat beberapa ruang servis dikhaskan sebagai lorong servis pantas untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan yang kurang rumit.

Selain daripada itu, fasiliti ini mempunyai reka bentuk yang mempamerkan identiti jenama Isuzu bermula dari bahagian depan hinggalah ke dalam kaunter penerimaan pelanggan dan ruang istirahat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, “Pembukaan Pusat 3S baharu ini merupakan satu langkah penting yang menunjukkan komitmen bersama PTC Accel dan Isuzu dalam menyampaikan inovasi dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan kami.

“Terletak di lokasi strategik, moden dan dilengkapi, semuanya supaya pelanggan kami mempunyai akses mudah kepada rangkaian kenderaan komersial kami yang luas.

 

Isuzu Malaysia jual 3,081 unit D-Max sepanjang H1 2025

Isuzu Malaysia mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran trak pikap tempatan dengan mencapai kedudukan di tempat kedua sepanjang suku kedua tahun ini menerusi model D-Max.

Peningkatan jumlah jualan terbaik sepanjang tempoh tersebut mendorong Isuzu Malaysia mencatatkan perkongsian pasaran sebanyak 16 peratus, dengan 3,081 unit trak pikap terjual setakat ini.

Populariti Isuzu D-Max dipacu oleh permintaan tinggi terhadap model berenjin 1.9 liter yang menawarkan prestasi kuasa serta penggunaan bahan api yang lebih cekap.

Tidak menghairankan apabila varian 1.9 liter menyumbang kepada lebih 85.8 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan D-Max.

Daripada jumlah tersebut, varian 1.9 liter 4×4 Auto Premium merupakan varian yang paling laris terjual, menawarkan nilai terbaik menerusi kelengkapan impresif, keselesaan yang ditawarkan serta ciri keselamatan yang dimuatkan.

Sebagai sebuah varian yang tersenarai dalam Malaysia Book of Record untuk perjalanan paling jauh bagi satu tangki minyak, D-Max 1.9 liter 4×4 Auto Premium menyumbang kepada 18.6 peratus daripada jualan keseluruhan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Tomoyuki Yamaguchi berkata, “keputusan yang dicapai tahun ini mengukuhkan corak yang telah kami perhatikan sejak tahun lalu.

“Penggemar trak pikap atau pengguna kereta penumpang yang telah beralih kepada D-Max mendapati trak pikap berkenaan ada banyak kelebihan baik dari segi pemilikan mahupun pemanduan.

“Kami berharap akan dapat meneruskan prestasi yang sama bagi separuh kedua tahun ini, dan dalam masa yang sama memastikan pengalaman yang positif terhadap semua pelanggan kami,” ujarnya lagi.

Isuzu Malaysia menawarkan sehingga sembilan varian Isuzu D-Max untuk dipilih, bermula dengan varian 1.9 liter Low Ride 4×2 untuk kerja lasak hinggalah kepada varian X-Terrain, membolehkan pelanggan memilih trak yang paling sesuai dengan keperluan individu serta menikmati prestasi yang cekap dan boleh diharap.

Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Kenichi Kudo berkata, “usaha utama untuk separuh kedua tahun ini akan tertumpu kepada memperbaiki capaian terhadap produk kami dengan cara mendekati pelanggan berpotensi di luar perimeter premis cawangan.

“Kami juga akan membawakan kepada mereka pengalaman menyeluruh yang menampilkan kelebihan utama barisan produk kami.”

 

Isuzu D-Max EV mula dijual di UK, harga agak mahal

Beberapa bulan lepas, Isuzu mengumumkan model trak pikap elektrik D-Max EV sudah mula diproduksikan di kilang Thailand.

Trak pikap tersebut dijangka akan mendarat di pasaran Eropah seawal tahun 2026, membawakan tanda harga yang cukup mengejutkan.

Isuzu D-Max EV dijual pada harga £59,995 (RM341,913), dua kali ganda berbanding harga D-Max versi diesel yang bermula dari £27,755 (RM158,176).

Malah, dengan harga £62,495 (RM356k) untuk varian yang lebih premium, ia dilihat masih lagi mahal berbanding trak pikap D-Max AT35 yang sarat dengan bermacam-macam aksesori off-road (harga £57,005 atau RM325k).

Isuzu D-Max EV dikuasakan oleh dua motor elektrik, menghasilkan output 188 hp dan 325 Nm, dan masih mengekalkan ciri Rough Terrain Mode daripada model diesel.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 10.1 saat, dengan kelajuan maksimum cuma 129 km/j sahaja.

Untuk sebuah kuda kerja, D-Max EV menawarkan keupayaan menampung beban 1,000 kg, dan kapasiti menunda beban sehingga 3.5 tan yang menyamai keupayaan trak pikap diesel.

Pek bateri 66.9 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 263 km sahaja, namun ia menyokong pengecasan pantas DC 50 kW untuk pengecasan sepantas 1 jam dari 20-80 peratus.

Isuzu D-Max EV masih mengekalkan casis ladder-frame seperti model biasa, namun suspensi belakang diubah kepada tetapan De-Dion untuk kualiti pemanduan yang lebih baik.

Isuzu D-Max EV tawar jarak pandu 361 km, kuasa 190 hp/325 Nm dan sistem 4WD

Isuzu Motors Limited baru-baru ini mengumumkan produksi bagi model trak pikap elektrik D-Max EV sudah pun bermula di kilang Thailand.

Trak pikap sifar emisi tersebut telah diperlihatkan buat kali pertama di acara pameran Bangkok Motor Show 2024.

Mengikut spesifikasi, D-Max EV dilengkapi dengan dua motor elektrik dan sistem pacuan empat roda, di mana motor hadapan berkuasa 58 hp dan 108 Nm, sementara motor belakang pula berkuasa 132 hp dan 217 Nm.

Jumlah kuasa yang mampu dihasilkan mencecah 190 hp dan 325 Nm, membolehkan pecutan 0-97 km/j dalam masa 10.1 saat, dan kelajuan maksimum 130 km/j.

Keupayaan D-Max EV menyamai D-Max versi diesel, dengan had muatan seberat 1,010 kg dan keupayaan menunda beban seberat 3,500 kg.

Pek bateri lithium-ion 66.9 kWh membolehkan trak ini dipandu sejauh 361 km untuk pemanduan dalam bandar (data WLTP).

D-Max EV turut menyokong pengecasan AC 11 kW (0-100 peratus dalam masa 10 jam), dan pengecasan pantas DC 50 kW di mana bateri boleh dicas 20 hingga 80 peratus dalam tempoh satu jam.

Dari segi ukuran, D-Max EV memiliki dimensi sepanjang 5,280 mm, lebar 1,870 mm, tinggi 1,810 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,125 mm. Berat pula sekitar 2,350 kg.

Selain itu, D-Max EV juga mempunyai jarak kelegaan tanah setinggi 210 mm, berkeupayaan meredah air sedalam 600 mm, serta sudut pendekatan dan sudut pelepasan masing-masing 30.5 dan 24.2 darjah.

Tidak seperti D-Max standard yang menggunakan suspensi jenis dedaun di belakang, pengendalian D-Max EV ditambah baik dengan penggunaan suspensi jenis De-Dion.

Menurut Isuzu, D-Max EV versi pemanduan sebelah kiri (LHD) akan diedarkan ke pasaran utama Eropah pada suku ketiga (Q3) tahun ini.

Versi pemanduan kanan (RHD) pula akan mula diproduksikan pada akhir tahun ini, dan mula dijual di pasaran UK pada tahun 2026 sebelum diperluaskan kepada pasaran lain.

Isuzu Malaysia lantik Tomoyuki Yamaguchi sebagai CEO baharu

Isuzu Malaysia mengumumkan pelantikan Tomoyuki Yamaguchi sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya yang baharu bermula 24 April 2025 bagi menggantikan Shunsuke Okazoe yang akan bertugas di Jepun.

Graduan Universiti Toyo itu menyertai Isuzu Motors pada tahun 1997 di dalam Jabatan Operasi Antarabangsa untuk menguruskan pasaran seperti Russia dan Ukraine.

Selain itu, beliau juga terlibat di dalam pengurusan pasaran negara-negara CIS dan Asia Barat Daya sebelum bertugas di Isuzu Motors Afrika Selatan.

Memulakan tugas di Malaysia, Yamaguchi akan memberikan keutamaan terhadap memperkukuhkan rangkaian pengedar Isuzu dan tahap perkhidmatannya, selain memastikan bekalan alat ganti sentiasa tersedia untuk manfaat pemilik kenderaan Isuzu.

“Isuzu Malaysia terus menjadi model cemerlang di gelanggang global. Operasi di sini telah mewujudkan kelompok pelanggan setia yang menghargai ketahanan dan keupayaan kenderaan Isuzu.

“Ini selari bagi mewujudkan pelanggan sepanjang hayat bagi jenama ini. Bagaimanapun, kami perlu terus mengekalkan kesungguhan tersebut dan sentiasa memastikan pengalaman positif dapat disalurkan kepada setiap pelanggan.

“Saya berharap dapat bekerjasama erat dengan pasukan dan pengedar kami untuk membawa kepuasan pelanggan ke tahap yang baharu,” jelas Yamaguchi.

Di Isuzu Motors Ltd Jepun, Shunsuke Okazoe kini menyandang jawatan Timbalan Presiden dalam Bahagian Jualan Jepun.

Isuzu D-Max 4×2 1.9L MT Low Ride kini rasmi dijual, dari RM92k

Isuzu Malaysia hari ini secara rasmi mengumumkan kehadiran varian baharu trak pikap Isuzu D-Max yang lebih mampu milik, iaitu D-Max Double Cab 1.9L 4×2 Manual Low Ride.

Dijual pada harga RM92,199.20 (OTR tidak termasuk insurans), D-Max Low Ride ini disasarkan untuk menjadi penyelesaian pengangkutan yang lebih murah dan cekap untuk pengendali perniagaan, penyedia perkhidmatan atau syarikat yang memiliki armada kenderaan yang besar.

D-Max Low Ride ini dikuasakan oleh enjin diesel 1.9 liter (kod RZ4E-TC) menghasilkan 150 PS dan 350 Nm yang tahan lasak dan jimat bahan api, digandingkan dengan transmisi manual enam-kelajuan.

Berbanding D-Max sedia ada, D-Max Low Ride ini menawarkan jarak kelegaan tanah yang lebih rendah, sekaligus menyediakan ruang muatan barangan serendah 780 mm dari tanah untuk memudahkan urusan muat naik dan pemunggahan barangan.

Dalam masa yang sama, ruang kargo di belakang mampu menampung beban seberat 930 kg.

Secara standard, D-Max Low Ride dilayangkan dengan warna Splash White, lampu utama halogen, lampu kabus yang turut bertindak sebagai lampu nyalaan siang (DRL), rim aloi 16 inci dengan tayar 215/70R16, tingkap berkuasa, serta cermin sisi kawalan elektrik.

Ruang kabin pula menyediakan tempat duduk balutan fabrik, roda stereng boleh laras tilt/teleskopik, tolok meter analog yang digandingkan dengan skrin MID 3.5 inci, soket 12V serta pemain audio DIN tunggal dengan sokongan beberapa codec muzik.

Dari segi keselamatan, D-Max Low Ride menampilkan ciri seperti sistem brek anti-kunci (ABS), agihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek, kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan mula mendaki (HSA) dan kawalan menurun cerun (HDC).

Isuzu D-Max Low Ride kini boleh didapati di semua bilik pameran rasmi Isuzu di seluruh negara, dan didatangkan dengan jaminan lima-tahun atau had perbatuan 150,000 km.

Isuzu Malaysia buka tempahan untuk trak pikap D-Max Low-Ride 4×2 MT, harga dari RM92k

Isuzu Malaysia kini membuka tempahan bagi model trak pikap rendah kos penggunaan, Isuzu D-Max Low-Ride 4×2 MT untuk pasaran Malaysia.

Isuzu D-Max Low-Ride ini disasarkan kepada pengguna yang memerlukan sebuah kenderaan perniagaan yang cekap kos dan boleh dipercayai, dan dalam masa yang sama menawarkan ruang yang luas.

D-Max Low-Ride ini berkongsi enjin 1.9 liter RZ4E-TC yang sama digunakan pada D-Max 1.9 liter Single Cab, menghasilkan kuasa 150 PS @ 3,600 rpm dan daya kilas 350 Nm @ 1,800-2,600 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear manual enam-kelajuan yang mampu memastikan kos pemilikan dan penggunaan yang lebih rendah.

Antara ciri unik yang wujud pada model ini ialah ketinggian ruang kargo hanya 78 cm sahaja daripada permukaan tanah yang mampu memudahkan urusan pengguna memuat naik atau menurunkan barangan.

Selain daripada mampu memuatkan lima orang penumpang pada satu-satu masa, ruang kabin D-Max Low-Ride ini dilengkapi dengan tempat duduk balutan fabrik, sistem hiburan DIN tunggal, stereng dengan larasan tilt & teleskopik, sistem kunci sentral dan cermin sisi larasan elektronik.

Aspek keselamatan juga menjadi keutamaan di mana model ini dilengkapi dengan sistem seperti brek anti-kunci (ABS), pengagihan daya brek elektronik (EBD), bantuan brek (BA), kawalan kestabilan elektronik (ESC), kawalan cengkaman (TCS), bantuan mula mendaki (HSA) dan kawalan menurun cerun (HDC), selain dua beg udara, Brake Override System (BOS), lampu berhenti kecemasan dan penderia undur.

Tempahan untuk trak pikap Isuzu D-Max Low-Ride ini telah pun dibuka menerusi semua pengedar sah Isuzu di seluruh negara.

Hanya ada satu warna sahaja ditawarkan, iaitu Splash White dengan harga jualan bermula dari RM92,199.20 atas jalan tanpa insurans.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan selama lima tahun atau had perbatuan 150,000 km.

 

Isuzu Thailand lancar enjin diesel hibrid ringan untuk D-Max, MU-X

Isuzu Thailand baru-baru ini mengumumkan kehadiran enjin diesel serba baharu MaxForce yang bakal digunakan pada trak pikap D-Max dan SUV MU-X.

Enjin hibrid ringan 2.2 liter itu dibangun berdasarkan enjin 1.9 liter BluePower, namun berupaya menjana kuasa setinggi 161 hp dan 400 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Isuzu tidak menyebut spesifikasi sistem hibrid ringan 48 Voltan yang dimuatkan pada enjin baharu itu, namun menjelaskan ia mampu menawarkan operasi yang lebih senyap dan lebih cekap.

Selain itu, sistem hibrid ringan ini juga menyumbang 55 peratus daya kilas pada permulaan pemanduan, dan 10 peratus lebih penjimatan bahan api.

Dengan pengenalan enjin baharu ini, Isuzu tidak merancang untuk mengenepikan terus enjin 1.9 liter hibrid ringan yang wujud pada D-Max.

Dengan kuasa dan daya kilas yang hampir sama dengan enjin 1.9 liter biasa (148 hp/350 Nm), Isuzu D-Max MHEV hanya didatangkan dengan kombinasi pacuan roda belakang dan transmisi automatik enam-kelajuan.

 

Isuzu D-Max pecah rekod, capai perjalanan 2,000 km dengan satu tangki

Isuzu D-Max membuktikan kemampuan penjimatan bahan apinya sekali lagi apabila berjaya mencatat perjalanan sejauh 2,000 km dengan satu tangki bahan api berkapasiti 76 liter.

Pada 2015, D-Max menamatkan perjalanan dari Bangkok ke Singapura dengan menempuh jarak sejauh 1,809 km hanya dengan satu tangki diesel.

Pada Mac 2020 pula, Isuzu Malaysia juga telah berjaya menguji kekuatan D-Max 1.9L Single Cab dengan memandunya sejauh lebih 1,000 km sambil membawa beban seberat satu tan.

Untuk pencapaian terbaru ini, Isuzu Malaysia menggunakan tiga unit D-Max yang terdiri daripada varian 1.9L 4X2 Auto Plus, 1.9L 4X4 Auto Premium dan 3.0L 4X4 X-Terrain.

Ketiga-tiga trak itu dipandu dari bandar Phitsanulok di Thailand yang berada kira-kira 300 km di utara Bangkok, menuju ke Klang, Selangor.

Ini merupakan kali pertama Isuzu Malaysia melakukan ujian sedemikian terhadap D-Max generasi ketiga. Selain menampilkan rekaan luaran aerodinamik, ia juga dikuasakan oleh enjin Euro 4 yang dipertingkat.

Ujian ini turut disaksikan oleh pegawai teknikal daripada Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM) yang melekatkan pelekat keselamatan tangki minyak dan sekali gus menjadi pemerhati bagi memastikan tiada isian semula dilakukan sepanjang perjalanan.

Pencapaian ini meletakkan Isuzu D-Max ke dalam Malaysian Book of Records bagi “Trak Pikap Yang Paling Jauh Dipandu Dengan Satu Tangki Bahan Api”.

Bercakap ketika menyambut ketibaan semua kenderaan terbabit di Pusat 3S Ultra Gallant Isuzu di Klang, Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata kejayaan itu membuktikan kecemerlangan kejuruteraan Isuzu dalam membangunkan enjin diesel Blue Power yang memberikan prestasi di luar jangkaan kebiasaan penggunaannya.

“Walaupun kami tidak menjangkakan setiap pelanggan akan memandu kenderaan Isuzu mereka sejauh 2,000 km bagi setiap isian bahan api, ia jelas menunjukkan tahap kejuruteraan yang telah diberikan terhadap setiap kenderaan Isuzu untuk membolehkannya mencapai keupayaan dalam skala tersebut,” ujar Okazoe.

“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, termasuklah harga diesel, mereka yang menggunakan Isuzu D-Max untuk urusan harian akan mendapat manfaat daripada ciri penjimatan bahan api ini,” tambah Ketua Pegawai Operasi, Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan, Kenkichi Sogo.

Isuzu D-Max sertai perarakan Merdeka seluruh negara

ISUZU D-Max baru-baru ini menyertai kontinjen perarakan Hari Merdeka bukan di satu lokasi, tetapi di beberapa lokasi seluruh negara.

Kontinjen-kontinjen itu terdiri dari pemilik Isuzu D-Max yang bersama-sama mempamerkan semangat patriotik mereka apabila menyertai Konvoi Merdeka Isuzu 2024. Ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk meraikan sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-67 tahun ini.

Seramai kira-kira 3,300 peserta melibatkan sebanyak sekitar 900 unit Isuzu D-Max berkumpul di 36 cawangan Isuzu di seluruh negara, dari Alor Setar hingga ke Keningau, sebelum berkonvoi ke destinasi pilihan di kawasan masing-masing.

Pelbagai pengisian aktiviti turut diatur untuk peserta bersantai meraikan Hari Merdeka tahun ini, termasuklah antaranya santapan durian, merakit jeram, glamping, mencari harta karun, berkelah dan banyak lagi.

Konvoi Merdeka Isuzu 2024 meneruskan kejayaan Konvoi Merdeka 66 yang berlangsung tahun lalu yang menyaksikan penyertaan sekitar 600 buah D-Max.

Sebagai satu perhimpunan serentak yang terbesar melibatkan perarakan Isuzu D-Max di negara ini, konvoi berkenaan berhasrat untuk menghimpunkan pemiliknya disamping memperingati tarikh bersejarah berkenaan.

“Susulan daripada kejayaan Konvoi Merdeka 66, pemilik D-Max telah menyuarakan kepuasan serta keinginan mereka untuk terlibat lagi dalam acara serupa yang telah berhasil memupuk pertalian lebih erat dalam kalangan mereka,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

“Disebabkan itu, kami berhasrat untuk meneruskan lagi  aktiviti berkenaan,” tambahnya.

Beliau juga sempat melepaskan peserta konvoi di cawangan Isuzu Indah Utara di Alor Setar, Kedah yang melibatkan sebanyak 80 buah Isuzu D-Max dalam perjalanan menuju Tasoh Lake Resort di Perlis sempena acara ini.

Isuzu Malaysia perkenal pelan Isuzu Insurance Pro

ISUZU Malaysia telah melancarkan Isuzu Insurance Pro, pelan insuran yang menyeluruh yang direka untuk menawarkan perlindungan terbaik untuk pemilik dan juga kenderaan Isuzu.

Menurut syarikat itu, Isuzu Insurance Pro ditawarkan untuk semua kenderaan Isuzu, sama ada untuk pembelian baharu atau pembaharuan polisi.

Pelan ini diselenggara oleh barisan panel dari lima syarikat insurans dan takaful utama serta melindungi semua model D-Max serta semua barisan trak tugasan ringan, sederhana dan berat seperti ELF, FORWARD dan GIGA, termasuk prime mover.

Berikut adalah antara manfaat Isuzu Insurance Pro:

  • kelulusan pantas untuk sebarang tuntutan bawah RM20,000
  • servis tunda percuma tanpa had bagi perjalanan pergi-balik sejauh 300 km untuk D-Max
  • servis tunda percuma sebanyak tiga kali bagi perjalanan pergi-balik 100 km untuk model trak ELF
  • perlindungan percuma untuk semua pemandu
  • elaun banjir
  • elaun akibat kemalangan atau kecurian
  • perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM10,000 untuk kedua-dua pemegang polisi dan pemandu yang sah

Kelebihan lain pula termasuklah bantuan tepi jalan 24/7, pengecualian bagi betterment dan excess selama 10 tahun serta nilai dipersetujui sehingga 10 tahun untuk D-Max serta untuk tahun pertama bagi trak Isuzu yang lain.

Semua tuntutan insurans yang dibuat di bawah program Isuzu Insurance Pro juga akan menggunakan alat ganti tulen Isuzu selagi kenderaan terbabit dihantar ke bengkel sah Isuzu untuk tujuan tuntutan.

“Isuzu Insurance Pro menawarkan penyelesaian sehenti yang meliputi pelbagai kelebihan dengan polisi tersebut, bagi memastikan semua pelanggan kami menerima perlindungan secara eksklusif yang menyeluruh, dan juga pengalaman pemilikan kenderaan yang menenangkan” ujar Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

Pembelian ke atas Isuzu Insurance Pro hanya boleh dibuat melalui pengedar sah Isuzu bermula 5 Ogos 2024. Pelanggan terawal akan menerima hadiah istimewa berupa cenderahati eksklusif Isuzu Insurance Pro.