Horse W40 V8, enjin hibrid 4.0L V8 kuasakan Lotus Type 135!

Horse Powertrain memperkenalkan enjin V8 pertamanya yang dinamakan HORSE W40.

Rangkaian kuasa hibrid berprestasi tinggi ini bakal digunakan pada Lotus Type 135 (T135), kereta super pertama daripada jenama Lotus.

Enjin V8 berkapasiti 4.0 liter itu dibangunkan khusus untuk platform kenderaan hibrid berprestasi tinggi.

Kuasa maksimum yang dihasilkan melebihi 680hp serta tork sehingga 800Nm.

HORSE W40 direka sebagai enjin yang mengutamakan aplikasi hibrid (hybrid-first) dan akan dipadankan dengan transmisi hibrid lapan kelajuan HORSE 8LDCT.

Kedua-dua komponen tersebut akan tampil buat kali pertama sebagai satu pakej rangkaian kuasa pada Lotus Type 135.

Enjin V8 HORSE W40 Dengan Kuasa Lebih 680hp

HORSE W40 merupakan enjin lapan silinder dengan berat hanya 200kg.

Ia menggunakan susun atur membujur (longitudinal) dengan dua pengecas turbo yang dipasang di bahagian atas dalam konfigurasi hot-V.

Enjin ini menggunakan sistem suntikan bahan api terus, penggunaan bahan ringan secara meluas dan laluan kemasukan udara yang lebih pendek untuk pengecas turbo.

Gabungan teknologi tersebut membolehkan HORSE W40 menawarkan ketumpatan kuasa dan tork yang tinggi.

Selain kereta sport, enjin W40 turut direka sebagai penyelesaian trenkuasa untuk trak pikap dan kenderaan off-road.

Transmisi Hibrid HORSE 8LDCT Lapan Kelajuan

Untuk melengkapkan enjin V8 tersebut, Horse Powertrain turut membangunkan transmisi HORSE 8LDCT.

Transmisi dua-klac basah lapan kelajuan ini mempunyai beberapa ciri prestasi seperti:

  • Masa pre-fill kurang daripada 50 milisaat.
  • Respons pertukaran gear kurang daripada 20 milisaat.
  • Keupayaan menerima input tork maksimum sehingga 1,050Nm.
  • Sistem kawalan dan modul kuasa silikon karbida terbina dalam.
  • Pam mekanikal sesaran berubah (variable-displacement mechanical pump).

Transmisi ini dibangunkan untuk dipadankan dengan HORSE W40 sebagai satu sistem rangkaian kuasa hibrid bagi kenderaan berprestasi tinggi.

Lotus Type 135 Gabungkan Teknologi V8 dan Kepakaran Lotus

Lotus Type 135 akan menjadi model pertama yang menggunakan gabungan enjin HORSE W40 dan transmisi HORSE 8LDCT.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Lotus, Feng Qingfeng, kerjasama dengan Horse membolehkan syarikat itu menggunakan teknologi enjin V8 dan transmisi hibrid terbaharu untuk Type 135.

Beliau berkata, gabungan teknologi tersebut menawarkan ketumpatan kuasa dan tork yang tinggi menerusi reka bentuk bersepadu.

Lotus juga akan menggabungkan teknologi rangkaian kuasa itu dengan kepakaran syarikat dalam kejuruteraan ringan dan dinamik casis.