Skuter elektrik Bajaj Chetak 2024 dikemaskini di India, jarak gerak 127 km

Bajaj Auto telah mengemaskini penawaran skuter elektrik Bajaj Chetak model tahun 2024 untuk pasaran India.

Terdapat dua varian yang disediakan, iaitu Premium (Rs 1,15,001 atau RM6,434) serta varian yang lebih tinggi Urbane (Rs 1,35,463 atau RM7,579).

 

 

Antara ciri pembaharuan yang wujud pada model Chetak 2024 ialah kehadiran skrin paparan TFT bersaiz lima inci, kelajuan maksimum yang kini mencecah 73 km/j, serta pek bateri 3.2 kWh dengan jarak gerak maksimum sejauh 127 km.

Untuk pengecasan, terdapat pengecas 800W yang mampu menambah jarak gerak sejauh 15.6 km dalam masa 30 minit.

 

 

Ciri lain termasuklah lampu isyarat membelok dengan fungsi padam automatik, kunci elektronik, butang khas untuk membuka pelana, serta ruang storan yang kini lebih besar.

Bajaj turut menawarkan pakej TecPac yang merangkumi fungsi tambahan seperti navigasi turn-by-turn, kawalan muzik, amaran panggilan telefon, kawalan hill hold, mod undur, dan tema paparan yang boleh disesuaikan.

Tampil enjin lebih besar, Bajaj perkenal F250 dan NS250

MOTOSIKAL terbaharu keluaran Bajaj dikenali sebagai F250 dan NS250 telah diperkenalkan kepada umum.

F250 merupakan varian sport sementara, NS250 pula berada dalam keluarga naked bike.

Kedua-dua model ini masih menggunakan enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api.

Kapasiti enjin turut ditingkatkan kepada 249.07 cc yang menghasilkan kuasa sehingga 24.5 PS pada 8,750 rpm dan 21.5 Nm tork pada 6,500 rpm.

Foto ihsan Bajaj

Sementara itu, kotak gear didatangkan dengan lima kelajuan serta dipadankan bersama klac jenis slip & assist.

Bajaj tidak lupa memberi tumpuan pada sistem brek dengan menggunakan cakera lebih besar (300 mm) di hadapan dan belakang (230 mm).

Pada masa sama, ia juga dilengkapi dengan ABS one-channel secara standard.

Berikut antara ciri lain ada pada F250 dan NS250 baharu ini:

  • Rim 17 inci

  • Tayar saiz 100/80 (hadapan) dan 130/70 (belakang)

  • Fork teleskopik 37 mm

  • Monoshock pelarasan pra beban

  • Tangki bahan api 14 liter

  • Meter kombinasi LCD dan analog

  • Soket USB

  • Setakat ini, F250 ditawarkan dalam warna merah dan kelabu sementara, NS250 didatangkan dengan hanya warna kelabu.

    Foto ihsan Bajaj

    Bagaimanapun, kedua-dua model ini ditawarkan di pasaran India sahaja dan masih belum pasti sama ada akan dipasarkan di pasaran global dalam waktu terdekat.

    Harga F250 adalah 1.4 juta rupee (RM7,758) dan NS250 pula 1.38 juta rupee (RM7,647).