Ariel Atom 4RR (2027) – senjata litar kayangan, 780 hp/tan, 0-100 km/j dalam 2.4s

Sejak diperkenalkan 25 tahun lalu, Ariel Atom tidak pernah gagal memukau peminat dengan evolusi berterusan. Kini, versi terbaharu dikenali sebagai Atom 4RR muncul sebagai model paling pantas dan paling berkuasa pernah dihasilkan.

Kuasa VTEC Turbo

Nadi utama 4RR ialah enjin 2.0-liter empat silinder daripada  Honda Civic Type R. Ia dibina semula sepenuhnya dengan komponen berprestasi tinggi seperti piston tempaan dan sistem bahan api khas. Setiap enjin dipasang tangan dan mengambil lebih 100 jam untuk disiapkan.

Hasilnya, 4RR mempunyai 525 hp dan 550 Nm. Dengan berat bawah 700 kg, ia mempunyai nisbah kuasa 780 hp setiap tan iaitu setanding dengan supercar. Ini membolehkannya memecut 0-100 km/j dalam 2.4 saat dan 0-160 km/j dalam 5.1 saat.

Kuasa disalurkan melalui transmisi sequential enam kelajuan dengan paddle shift, membolehkan penukaran gear pantas tanpa klac.

Casis, suspensi dan brek

Casis baharu menggunakan struktur bronze-welded yang lebih kukuh, dipadankan dengan penyerap hentak Ohlins boleh laras sepenuhnya untuk talaan mengikut litar.

Sistem brek pula merangkumi cakera 310 mm dari AP Racing dengan angkup empat piston serta ABS boleh laras 11 tahap untuk kawalan optimum.

Aerodinamik dan ringan

Falsafah ringan kekal menjadi fokus, dengan penggunaan gentian karbon secara meluas bagi meningkatkan downforce tanpa menambah berat. Penggunaan tayar Yokohama A052 pula memastikan tahap cengkaman yang tinggi.

Senjata litar golongan kayangan

Setiap unit Atom 4RR dibina mengikut tempahan, dengan harga bermula sekitar 208,000 pound (anggaran RM1.2 juta).