Sony Honda Mobility bakal lancar 3 EV menjelang 2030

Syarikat kerjasama antara Sony dan Honda dijangka bakal melancarkan sehingga tiga model kenderaan elektrik (EV) menjelang penghujung dekad ini.

Menurut laporan Nikkei Asia, Sony Honda Mobility akan melancarkan sebuah sedan pada tahun 2025, diikuti SUV pada tahun 2027, serta sebuah model kompak ‘mampu milik’ selepas tahun 2028.

Ketiga-tiga model tersebut dijangka akan menggunakan jenama Afeela, dan bakal memberikan saingan secara terus kepada barisan model EV Tesla.

Selain berkongsi satu platform kenderaan yang sama, model kompak Sony Honda Mobility itu akan berkongsi komponen yang sama untuk menjimatkan kos pembangunan.

Sony Honda Mobility sebelum ini memperlihatkan dua buah model konsep, iaitu Vision S-01 dan SUV elektrik Vision S-02.

Namun pada awal tahun 2024, kerjasama dua syarikat itu memperlihatkan sedan elektrik Afeela dengan spesifikasi dan rupa yang lebih mirip kepada versi produksi sebenar.

 

 

Afeela EV yang bakal dilancarkan pada tahun 2025 itu menampilkan tetapan motor elektrik berkembar dengan kuasa keseluruhan 483 hp.

Pek bateri lithium-ion berkapasiti 91.0 kWh itu turut menyokong pengecasan pantas 150 kW, selain pengecasan Tahap 2 11 kW.

 

Sony Vision S-01 Concept

Sony Vision S-02 Concept

Sony Afeela EV Concept @ CES 2024

Sedan Afeela EV muncul dengan spesifikasi lebih mirip versi produksi

Pada acara Consumer Electronics Show (CES) 2023 tahun lepas, Sony dan Honda mengejutkan dunia dengan kemunculan jenama EV baharu Afeela.

Kerjasama yang kemudian diberikan nama Sony Honda Mobility itu kini mendedahkan prototaip sedan elektrik Afeela yang telah dikemaskini pada acara CES 2024 di Las Vegas.

 

Apa yang anda lihat ini merupakan Afeela EV dengan spesifikasi yang lebih hampir kepada model produksi sebenar.

Berbanding dengan model terdahulu, sedan ini membawakan beberapa perubahan, seperti penggunaan cermin sisi tradisional, serta unit lampu utama yang lebih nipis dan rekaan bampar baharu.

Pintu penutup port pengecasan juga kini bertambah besar, sementara bahagian panel rocker dan bampar belakang turut dikemaskini.

 

Rekaan kabin boleh dikatakan hampir sama sahaja dengan model prototaip asal, kecuali struktur konsol tengah yang lebih besar, diikuti dengan roda stereng yang telah direka semula.

Selain itu, terdapat dua slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta modul kamera yang duduk di atas panel skrin melintang penuh.

Afeela EV bakal membawakan tetapan dua motor elektrik tunggal, setiap satu berkuasa 241 hp, diikuti dengan pek bateri lithium-ion 91.0 kWh.

Sedan ini menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, dan pengecasan AC 11 kW.

 

 

Sistem suspensi udara adalah standard dengan tetapan multi-link di bahagian belakang, diikuti dengan rim bersaiz 21 inci (tayar 245/40 depan, 275/35 belakang).

Dimaklumkan, tempahan untuk sedan ini akan dibuka pada tahun 2025 sebelum ia mula dijual pada tahun 2026.

Namun sebelum itu, Afeela akan membenarkan sedan ini dipandu buat kali pertama menerusi permainan simulasi perlumbaan Gran Turismo 7 pada tahun ini.