Gearvents  – Super SUV Lamborghini Urus

Lamborghini Urus merupakan kenderaan utiliti super sport (SSUV) yang pertama di dunia dan telah dilancarkan di Malaysia dengan jangkaan harga jualan sekitar RM1 juta, tidak termasuk cukai dan kos perjalanan.
Lamborghini Urus dikuasakan oleh enjin biturbo V8 4.0 liter dengan 650 ps (641 hp) pada 6,000 rpm dan tork maksimum 850 Nm pada 2,250 – 4,500 rpm. Prestasi terpantas yang dicapai ialah 0-100 km/j (62 mph) dalam 3.6 saat dan 0-200 km/j (124 mph) dalam 12.8 saat dan kelajuan tertinggi 305 km/j. Penurunan 100-0 km/j dicapai dalam jarak 33.7 m. Ini menjadikan Lamborghini Urus merupakan super sport SUV yang terpantas pada masa ini.

Lamborghini Urus lebih ringan daripada kebanyakan pesaingnya, kurang daripada 2,200 kg (4,850lbs) kerana penggunaan ‘carbon fibre reinforced polymer’ walaupun ia berdasarkan platform yang sama seperti Audi Q7, Bentley Bentayga, Porsche Cayenne dan Volkswagen Touareg. Melalui ciri-ciri istimewa yang terdapat di dalam Lamborghini Urus ini, minat pasaran terhadap kenderaan ini juga sangatlah baik. Ini kerana kenderaan ini telah  tendapat tempahan sebanyak 30 unit walaupun baru dilancarkan pada December 2017.
Lamborghini juga telah membangunkan set ‘carbon ceramic brakes’ khas untuk Lamborghini Urus, dengan 440 mm (17.32 inci) rotor di bahagian depan dan 370 mm (14.57 inci) rotor di bahagian belakang menjadikannya carbon brakes yang terbesar pernah dihasilkan.

Lamborghini Urus juga menyediakan pelbagai pilihan mod pemanduan yang sesuai untuk
meningkatkan prestasi kereta dalam pelbagai keadaan memandu. Selain prestasi kenderaan, Lamborghini Urus juga tidak ketinggalan memberikan keselesaan di bahagian dalam kenderaan dengan sentuhan dalaman kenderaan ini semuanya berbalut dengan kulit. Sama seperti kereta yang akan dijual di seluruh dunia, unit yang akan berada di Malaysia telah ditentukan dengan pelbagai pilihan yang tersedia. Unit pertama Lamborghini Urus akan tiba di Malaysia antara Jun dan Julai tahun ini.