Leapmotor B10, sebuah EV ringkas tapi banyak kejutan – pandu uji

Daripada segi penampilan, Leapmotor B10 mungkin kelihatan seperti sebuah SUV elektrik ringkas, tetapi jangan tertipu.

Model kedua Leapmotor Malaysia ini hadir pada masa tepat ketika pengguna mula mencari EV yang praktikal, mampu milik, dan tidak terlalu eksperimental.

Pertama: ia menawarkan alternatif yang lebih masuk akal berbanding abangnya, C10.

Kedua: di sebalik reka bentuk minimalisnya, tersimpan beberapa kelebihan yang membuatkan pesaingnya perlu memandang serius.

Berikut merupakan pandangan kami setelah beberapa hari meneroka SUV Leapmotor ini.

Luaran

Seperti C10, B10 mengekalkan bahasa reka bentuk minimalis yang menyumbang kepada pekali seretan serendah 0.265 Cd, satu angka yang jarang ditemui dalam segmen ini.

Identiti Wing Star pada lampu depan dan belakang yang nipis memberikan karakter yang bersih dan moden.

Cuma anda masih perlu membiasakan diri dengan pemegang pintu yang perlu ditolak keluar secara manual.

Nasib baik, pintu tailgate dilengkapi suis yang memudahkan kerja memunggah barang.

B10 dipadankan dengan rim aloi 18 inci bersama tayar Linglong Sport Master.

Ya, satu nama yang mungkin membuatkan anda angkat kening, tetapi prestasinya di selekoh cukup meyakinkan.

Pilihan warna juga tidak membosankan: termasuk Starry Night Blue yang diinspirasikan karya Van Gogh, Dawn Purple, dan Tundra Grey.

Kabin

Satu perkara yang penulis amat hargai pada B10 ialah kehadiran skrin kluster LCD 8.8 inci.

Bermakna, anda tidak perlu kerap mengalihkan pandangan untuk membaca info penting semasa memandu.

Skrin ini juga dipasang terus pada kolum stereng, dan akan bergerak mengikut larasan tilt dan teleskopik.

Sementara di bahagian tengah terdapat skrin sentuh sebesar 14.6 inci yang menjadi pusat bagi segala fungsi dan kawalan (termasuklah cermin sisi. Hmmm…).

Berita baik, Leapmotor B10 kini menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar!

Ini merupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan pengguna yang celik teknologi pada kereta Leapmotor.

Praktikaliti

Jika C10 terasa lebih premium, B10 pula lebih bersifat utilitarian dan itu bukanlah satu kekurangan yang patut anda bimbangkan.

Antara ciri yang penulis suka termasuklah corong pendingin hawa yang boleh dilaras manual, serta konsol tengah terapung yang menempatkan ruang besar di bawah.

Pemegang botol/cawan di bawah juga boleh dilipat untuk memaksimumkan lagi ruang sedia ada.

Anda tidak perlu risau kerana terdapat banyak ruang storan yang disediakan dalam kabin B10 termasuklah pada konsol tengah, bawah corong udara baris kedua serta glove box yang boleh memuatkan laptop 14 inci!

Ruang kargo 430 liter boleh dibuka sehingga 1,700 liter apabila tempat duduk belakang dilipat menjadikan hampir 88% ruang kabin boleh dimanfaatkan untuk aktiviti keluarga.

Balutan upholsteri Oeko-Tex Standard 100 daripada bahan arang buluh menjadikan kabin lebih mesra keluarga, terutama bagi mereka yang ada anak kecil.

Pengalaman pemanduan

Kalau dulu, tetapan suspensi multi-link di belakang hanya dikhususkan untuk kereta-kereta bertaraf mewah, namun kini ia sudah menjadi satu kelaziman.

Untuk model B10, ia hadir dengan tetapan topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang.

Berdasarkan pengalaman, talaan suspensi B10 terasa lebih natural dengan olengan badan yang lebih terkawal.

Talaan roda stereng juga dirasakan lebih hidup dengan respons yang mudah dijangka.

Apa yang membuatkan B10 ini lebih sedap dipandu ialah respons pedal brek yang tidak lagi kosong, satu peningkatan yang cukup signifikan berbanding C10.

Secara standard, B10 digerakkan oleh motor tunggal pacuan roda belakang berkuasa 218 hp dan 240 Nm.

Jika C10 direka untuk keselesaan keluarga, B10 pula mungkin sesuai untuk mereka yang menggemari pemanduan beremosi.

Terdapat tiga mod pemanduan disediakan di mana pada hemat penulis mod Comfort dirasakan lebih seimbang dan sesuai untuk pemanduan harian.

Bateri & pengecasan

Varian Design yang kami pandu uji ini dilengkapi bateri 67.1 kWh.

Untuk sekali cas penuh ia boleh mencapai jarak pandu WLTP sekitar 434 km, memadai dan mencukupi untuk pemanduan di dalam bandar.

Sekiranya perlu merentas negeri, anda boleh memanfaatkan keupayaan pengecasan DC sehingga 168 kW, membolehkan bateri dicas 30-80% dalam masa kurang 30 minit.

Keselamatan

Secara standard, B10 dilengkapi dengan 7 beg udara, ABS, EBD, serta tidak ketinggalan kamera 360 darjah yang sangat jelas dan membantu ketika melalui lorong yang sempit.

Dengan ciri keselamatan yang hampir menyeluruh (termasuk 17 ciri ADAS), B10 sesuai digunakan untuk golonga pemandu baharu.

Segala ciri-ciri yang ada pada SUV ini direka untuk memastikan SUV ini kekal selamat dipandu sepanjang masa, termasuklah:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Kawalan Pemusatan Lorong (LCC)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

Namun untuk pemandu yang sudah berpengalaman, ada masanya ia dirasakan terlalu mengawal.

Ada beberapa ciri yang boleh dimatikan sejak dari mula memandu, namun dalam keadaan tertentu ia akan kembali aktif tanpa diminta.

Setelah beberapa kali, penulis lebih gemar untuk membiarkan sahaja fungsi tersebut kekal aktif walaupun ada kalanya ia boleh menyebabkan pemandu ‘naik angin’.

Kelemahan

Sama seperti C10, pemilik B10 masih perlu bergantung kepada kunci NFC setiap kali sebelum memulakan pemanduan.

Mujur juga terdapat alternatif di mana pemilik boleh menggunakan peranti pintar sebagai kunci pendua selain mengakses beberapa info penting di hujung jari.

Rindu zaman kereta ada fob kunci fizikal?

Tak usah risau kerana Leapmotor Malaysia mula menawarkan opsyen tersebut untuk pemilik baharu dan pemilik sedia ada.

Kesimpulan

Leapmotor B10 boleh membuktikan sesebuah SUV elektrik yang mampu milik (harga dari RM118,800) tidak semestinya perlu berkompromi aspek pemanduan, keselesaan atau praktikaliti.

Ia mungkin bukan yang paling berkuasa atau paling premium di dalam segmennya.

Dengan pakej yang seimbang dan relevan dengan keperluan pengguna di Malaysia, B10 mampu menjadi EV yang boleh dipertimbangkan.