Proton e.MAS rai serahan kenderaan ke-40 ribu, terus tawar pelbagai manfaat pemilikan

Dalam tempoh 20 bulan, Proton e.MAS kini meraikan pencapaian terbaharu dengan penyerahan kenderaan yang ke-40,000.

Sebagai meraikan komuniti yang semakin berkembang, Proton e.MAS menawarkan pelbagai manfaat pemilikan yang dipertingkatkan.

Ia merangkumi aspek pengecasan, perkhidmatan selepas jualan, ganjaran, serta perkhidmatan digital.

Diskaun pengecasan

Gambar sekadar hiasan

Bermula 1 Oktober 2026 (11 pagi) hingga 5 Oktober 2026 (11 pagi), pemilik boleh menikmati diskaun pengecasan 40% menerusi aplikasi mudah alih Proton e.MAS.

Menerusi aplikasi yang sama, pemilik juga boleh mengakses rangkaian 12 pengendali titik pengecasan (CPO) serta menikmati manfaat berikut:

  • kadar RM1.20/kWh di pengecas DC Handal
  • diskaun 20% di stesen pengecas RExharge (dari 5 Oktober-31 Disember 2026)

Keyakinan sepanjang tempoh pemilikan

Dari segi perkhidmatan selepas jualan, Proton e.MAS menawarkan manfaat berikut:

  • diskaun 10% bagi servis dan penyelenggaraan
  • kad Touch ‘n Go eksklusif bagi 1,000 pelanggan pertama yang membuat servis

Pelanggan yang ingin menukar kenderaan pula layak menikmati rebat tukar beli tambahan sehingga RM1,000 menerusi Carsome dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2026.

Pembelian atau pembaharuan polisi insurans (e.MAS Care Elite atau Care Flex) menawarkan manfaat berikut:

  • kredit pengecasan percuma bernilai RM100 (sah untuk 5,000 pelanggan pertama dari 1 Oktober-31 Disember 2026)
  • peluang sertai cabutan bertuah (hadiah termasuk jam Huawei Watch GT 7 dan Band 11)

Pengalaman digital lebih lancar

Aplikasi Proton e.MAS sedia ada bakal dikemas kini dan dijangka diperkenalkan menjelang akhir 2026.

Antara ciri baharu yang ditambah ialah PassGo, iaitu platform ganjaran berasaskan konsep “pandu dan nikmati ganjaran”.

Bermula 29 September, pemilik boleh mengumpulkan satu mata bagi setiap kilometer yang dipandu, tertakluk kepada terma dan syarat.

Mata terkumpul boleh ditebus untuk pelbagai ganjaran seperti baucar Grab, TnG, Foodpanda, Lazada serta barangan eksklusif.

Lebih banyak ganjaran

Tawaran yang disediakan oleh Proton e.MAS tidak terhad kepada aspek pengecasan dan perkhidmatan selepas jualan.

Pemilik yang layak boleh menikmati diskaun 10% untuk minuman di cawangan ZUS Coffee yang terpilih.

Pelanggan yang memilih penyelesaian tenaga solar kediaman menerusi Huawei FusionSolar boleh menerima rebat segera RM5,000 dan berpeluang memenangi pakej percutian selama lima hari empat malam ke Shenzhen, China.

Proton e.MAS turut mengumumkan pertandingan “Where Does Your e.MAS Take You?” yang terbuka kepada pemilik e.MAS.

Dengan berkongsi gambar atau video pengalaman dalam Facebook Rasmi Komuniti Proton e.MAS, mereka berpeluang memenangi hadiah utama berupa model diecast Proton e.MAS 7 selain 40 baucar TnG bernilai RM50 setiap satu.

Pencapaian bermakna

Menurut Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif Pro-Net, “Penyerahan 40,000 kenderaan e.MAS merupakan satu pencapaian bermakna buat kami.

“Seiring dengan perkembangan komuniti, tanggungjawab kami semakin besar untuk menjadikan pengalaman memiliki EV lebih mudah, selesa dan memberikan lebih banyak manfaat.

Jelasnya, Proton e.MAS kini mempunyai rangkaian 60 pengedar di seluruh negara dan bakal berkembang kepada lebih 70 cawangan termasuk 57 pusat servis dan 14 pusat Badan & Cat menjelang akhir 2026.

“Perkembangan berterusan ini memastikan pelanggan kami sentiasa mendapat sokongan yang diperlukan sepanjang tempoh pemilikan mereka.