Mercedes-Benz CLA 250+ 2026 rasmi di Malaysia, harga dari RM275 ribu

Setelah dipertontonkan awal tahun yang lalu, Mercedes-Benz Malaysia akhirnya rasmi melancarkan sedan CLA 250+ 2026.

Sedan elektrik serba baharu ini dijual pada harga dari RM274,888 atas jalan tanpa insurans.

100 orang pelanggan pertama yang menempah CLA atau GLC elektrik baharu akan menerima jemputan eksklusif ke Mercedes-AMG F1 Party.

Unit pacuan

CLA 250+ hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal pacuan belakang, menghasilkan kuasa 272 hp dan daya kilas 335 Nm.

Dengan padanan transmisi automatik 2-kelajuan, CLA 250+ boleh memecut sepantas 6.7 saat dari 0-100 km/j dan mencapai kelajuan tertinggi 210 km/j.

Bateri & pengecasan

Dengan bateri NMC 85 kWh, CLA 250+ mampu bergerak sejauh 792 km untuk sekali cas penuh (data WLTP).

Dengan senibina elektrik 800-voltan dan keupayaan pengecasan DC 320 kW, pemilik CLA boleh menambah jarak sehingga 325 km dalam masa 10 minit sahaja.

Dimensi

Sebagai sebuah sedan kompak, CLA membawakan ukuran sepanjang 4,723 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,468 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,790 mm.

Berbanding generasi terdahulu, CLA baharu ini lebih panjang 35 mm, lebih lebar 25 mm, dan menawarkan ruang kabin yang lebih luas.

Buat pertama kalinya sebuah Mercedes menawarkan ruang kargo hadapan (frunk) sebesar 101 liter sebagai pelengkap kepada ruang kargo belakang 405 liter.

Luaran

Daripada segi rekaan luaran, penampilan CLA tampak sporti disumbangkan oleh ciri seperti jarak overhang yang pendek, rekaan belakang GT serta jarak antara roda yang panjang.

Bahagian depan mempunyai panel jeriji yang dihiasi dengan 142 LED bintang tiga bucu yang bercahaya.

Elemen bintang Mercedes itu juga boleh didapati pada unit lampu utama depan dan belakang.

Tidak ketinggalan, kemasan luaran AMG Line yang membawakan bampar depan dan belakang yang agresif, diikuti rim AMG 19 inci.

Kabin

Ruang kabin CLA pula dihiasi dengan skrin paparan lebar MBUX Superscreen yang terdiri daripada skrin kluster digital 10.25 inci dan dua skrin sebesar 14 inci.

Terdapat sokongan terhadap Apple CarPlay dan Android Auto disertakan.

Sistem operasi MB.OS turut menawarkan ciri kepintaran buatan (AI) yang menggunakan sokongan ChatGTP dan Microsoft Bing, serta Google Gemini untuk persoalan berkaitan sistem navigasi.

Ciri lain termasuklah:

  • roda stereng sport balutan kulit Nappa
  • tempat duduk sports AMG Line balutan kulit Artico/mikrofiber Microcut
  • sistem pencahayaan ambien
  • trim Anthracite
  • kamera swafoto dan video

Keselamatan

Ciri keselamatan terdiri daripada lapan beg udara (termasuklah beg udara tengah), sistem pemantauan tekanan tayar, serta kelengkapan MB.Drive Standard yang merangkumi fungsi seperti:

  • brek kecemasan autonomi
  • kawalan jelajah adaptif Distronic
  • bantuan pengekalan lorong
  • sistem pemantauan titik buta

MB.Charge Public

MBM turut mengumumkan kemudahan pengecasan MB.Charge Public merentasi sempadan Malaysia dan Singapura.

Ia menawarkan pemilik akses kepada 10,000 titik pengecasan yang disediakan oleh penyedia titik pengecasan (CPO) termasuklah:

  • CarputZap
  • Charge+
  • ChargeSini
  • chargEV
  • DC Handal
  • Gentari
  • JomCharge
  • ComfortDelGro Energy (Singapura)
  • SP Group (Singapura)
  • Volt (Singapura)