Xpeng G6 kini ditawarkan sebagai unit CKD, harga jualan kekal dari RM158,888

Bermaz Xpeng Sdn Bhd selaku pengedar tunggal Xpeng di Malaysia mengumumkan tempahan untuk SUV elektrik Xpeng G6 kini dibuka.

Terdapat tiga varian ditawarkan, dengan harga jualan kekal tidak berubah seperti berikut:

  • Xpeng G6 Standard Range – RM158,888
  • Xpeng G6 Long Range – RM178,888
  • Xpeng G6 AWD Performance – RM189,888

Untuk tempoh terhad, setiap pembelian didatangkan dengan pakej pengecas dinding percuma bernilai RM5,000 dan perlindungan insurans sehingga RM5,000.

Untuk info, Xpeng G6 dipasang di fasiliti EP Manufacturing Berhad yang terletak di Melaka.

Spesifikasi tidak berubah

Xpeng G6 CKD masih lagi mengekalkan spesifikasi seperti model CBU yang ditawarkan sebelum ini.

Varian Standard Range dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang menghasilkan 248 hp dan 440 Nm.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 6.94 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 202 km/j.

Varian Long Range pula mampu menjana kuasa 292 hp dan 440 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat.

Sementara varian AWD Performance pula mendapat tetapan dua motor elektrik 480 hp dan 660 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.13 saat.

Enam mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Comfort, Sport, Individual, Launch dan Escape.

Bateri & pengecasan

G6 Standard Range dibekalkan dengan pek bateri LFP 68.5 kWh menawarkan jarak pandu WLTP 480 km.

Sementara dua varian tertinggi mendapat bateri berkapasiti 80.8 kWh dengan jarak pandu mencecah 525 km (510 km untuk versi AWD).

Secara standard, G6 menyokong pengecasan AC 11 kW.

Pengecasan pantas DC pula sehingga 451 kW (382 kW untuk varian Standard Range), membolehkan bateri dicas 10-80% SoC dalam 12 minit.

Keselamatan

Kesemua varian G6 CKD mendapat kelengkapan keselamatan standard XPILOT Assist yang merangkumi fungsi seperti:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Pemusatan Lorong (LCC)
  • Bantuan Parkir Autonomi (APA)
  • Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)