Ulasan ringkas pandu uji Denza Z9 GT versi RHD di BYD All-Terrain Circuit Zhengzhou

Sudah terang lagi bersuluh, Denza Z9 GT merupakan antara model kenderaan elektrik yang paling unik bakal tiba di pasaran Malaysia.

Unik kerana ia membawakan reka bentuk wagon (Denza mahu ia dikenali sebagai sebuah shooting brake), satu segmen yang semakin dilupakan.

Selain itu, ia juga hadir dengan tetapan tiga motor elektrik, kuasa melebihi 1,000 hp dan keupayaan yang sukar dipercayai.

Kami berkesempatan untuk menguji sendiri Z9 GT versi pemanduan kanan (RHD) bertempat di BYD All-Terrain Circuit yang terletak di Zhengzhou, China baru-baru ini.

Di fasiliti tersebut, ia menempatkan beberapa cabaran seperti laluan pemanduan dinamik, litar sepanjang 1,758 meter, serta bulatan geseran rendah (drift pad).

Pengendalian di litar & gymkhana

Usah tertipu dengan rupa paras yang elegan itu, kerana Z9 GT mampu memberikan pengalaman pemanduan lebih daripada anda jangkakan.

Kami diberikan peluang untuk memandu Z9 GT sebanyak dua pusingan di dalam litar ‘separuh Sepang’ itu.

Agak sukar untuk mempercayai bahawa Z9 GT yang elegan ini mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,140 hp dan daya kilas 1,200 Nm daripada tetapan tiga motor elektrik.

Dengan pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 2.7 saat sahaja, supercar lain boleh beransur-ansur mengundurkan diri.

Pada laluan lurus sepanjang 550 meter, Z9 GT berkeupayaan untuk mencecah kelajuan tiga angka dalam masa yang singkat tanpa sebarang drama.

Walaupun menggunakan tayar Continental Eco, kereta ini dirasakan melekat bagaikan digam pada jalan tar ketika membelok.

Aspek pemanduan dibantu dengan sistem suspensi udara Disus-A memastikan olengan badan berada pada tahap yang mampu dikawal.

Lebih mengujakan apabila pemandu duduk dengan tegap sepanjang melayan selekoh disebabkan oleh bantuan sistem bolster aktif yang memegang erat tubuh badan setiap kali stereng dipulas.

Sistem brek juga meyakinkan pemandu walaupun berkali-kali sistem tersebut dikerah ketika bertemu dengan selekoh dan selepas pecutan di laluan lurus.

Sejujurnya, selekoh yang disediakan pada litar ini agak kecil tidak seperti Litar Antarabangsa Sepang, namun ia bukan satu masalah bagi Z9 GT.

Dengan bantuan sistem stereng gandar belakang, pengendalian di selekoh dirasakan lebih stabil dengan satu syarat – pada kelajuan yang terkawal.

Ini kerana Z9 GT sukar untuk menyembunyikan kelemahannya, iaitu berat mencecah 2.9 tan dan saiznya yang pendek sedikit berbanding Denza D9.

Disebabkan itu, kami lebih gemar melayan seksyen gymkhana pada kelajuan yang lebih perlahan berbanding kebiasaan untuk menilai pengendaliannya di laluan yang sempit.

Sistem stereng gandar belakang membolehkan tayar belakang mencapai sudut sehingga 15 darjah, menjadikan radius putaran sekecil 4.62 meter sahaja.

Sangat impresif walaupun dengan dimensi panjang melebihi lima meter.

Mahu belajar drift?

Salah satu kelebihan yang ada pada Denza Z9 GT ialah keupayaan pemanduan senget (drift).

Fasiliti BYD ini menyediakan sebuah bulatan geseran rendah (drift pad) yang sentiasa disirami air untuk mensimulasikan keadaan jalan licin.

Aktifkan mod yang terdapat pada skrin, tekan pendikit dan pulas stereng pada arah bertentangan setelah anda merasakan ekor kereta mula keluar.

Untuk mereka yang baru mula belajar, usah risau kerana perisian akan mengawal hantaran kuasa ke roda belakang supaya bahagian belakang tidak melibas secara agresif dan menakutkan.

Dengan teknik dan kawalan yang betul, anda boleh beransur-ansur meningkatkan kelajuan drift, itu pun sekiranya kos menggantikan tayar bukan satu masalah besar.

Paling penting, sila buat di dalam kawasan yang betul dan bukannya di jalanan.

Keupayaan impresif lain

Mahu tunjuk hebat depan kawan-kawan?

Anda boleh aktifkan mod jalan macam ketam pada Z9 GT dengan memanfaatkan sistem stereng gandar belakang.

Atau aktifkan saja fungsi Pencil Compass Turn sekiranya berdepan dengan petak parkir yang agak sempit.

Dalam mod ini, tayar depan akan dikunci dan hanya tayar belakang sahaja yang akan digerakkan berlawanan arah untuk menggerakkan badan kereta masuk ke dalam petak parkir.

Atau buat sahaja aksi donut berkelajuan rendah tanpa menghasilkan kepulan asap (dan yang pasti tiada dentuman ekzos kedengaran).

Satu persoalan, selama mana tayar standard Z9 GT ini akan bertahan sekiranya sistem tersebut kerap diaktifkan oleh pemilik?

Pengecasan sepantas lima minit

Satu lagi kelebihan yang ada pada Z9 GT ialah sokongan pengecasan ultra pantas Flash Charging.

Z9 GT dilengkapi dengan pek bateri Blade generasi kedua berkapasiti 112.49 kWh yang sememangnya serasi dengan sistem Flash Charging.

Dengan kuasa pengecasan 1,500 kW, bateri boleh dicas 10-70% SoC dalam masa sepantas lima minit sahaja.

Tambah lagi 4 minit, bateri boleh dicas sehingga 97% SoC.

Berdasarkan demonstrasi yang ditunjukkan, sistem ini boleh mengecas bateri Denza Z9 GT sehingga 97% SoC dalam masa 10 minit 22 saat, beza dalam seminit berbanding sasaran awal.

Namun begitu, angka tersebut tidak jauh beza dengan tempoh masa yang diperlukan untuk pengisian bahan api (termasuk membeli sedikit jajan) di stesen minyak.

Menurut BYD Malaysia, sistem Flash Charging ini bakal diperkenalkan kelak secara berperingkat.

Paling penting, ia tidak terhad untuk pemilik BYD dan Denza sahaja, sebaliknya kemudahan ini terbuka untuk semua pemilik EV tanpa mengira jenama.

Kesimpulan

Biarpun tempoh masa yang diberikan agak singkat, kami berpendapat Z9 GT mampu menjadi sebuah produk yang dapat menarik tumpuan kelak.

Ia ada pakej rupa yang elegan, kuasa mengalahkan supercar, keupayaan di luar jangkaan dan ciri-ciri praktikaliti dan premium yang sukar didapati pada model-model pesaing.

Satu persoalan, berapa pula harga jualan Z9 GT yang bakal ditawarkan oleh Denza Malaysia nanti?