Suzuki e Vitara 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia, harga RM188,000

Naza Eastern Motors secara rasmi melancarkan BEV pertama jenama Suzuki di pasaran Malaysia, iaitu Suzuki e Vitara 2026.

SUV elektrik ini bakal ditawarkan dalam unit terhad, setiap satu dijual pada harga RM188,000.

Untuk info, pasaran Malaysia telah menerima kehadiran kembar e Vitara, iaitu Toyota Urban Cruiser BEV yang dijual pada harga RM198,000.

Unit pacuan

e Vitara dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda depan menghasilkan 172 hp dan daya kilas 193 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.7 saat dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 150 km/j.

Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Bateri berkapasiti 61 kWh pula menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 426 km.

e Vitara menyokong pengecasan AC 7 kW (10-100% SoC dalam 9 jam), serta pengecasan pantas DC 67 kW membolehkan bateri dicas 10-80% dalam 45 minit.

Casis & Dimensi

Suzuki e Vitara dibina berdasarkan pelantar e-Heartec yang ditampung oleh tetapan topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang.

SUV ini membawakan ukuran sepanjang 4,275 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,640 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,700 mm.

Keempat-empat sudut roda didatangkan dengan rim aloi 18 inci.

Radius putaran adalah sekecil 5.8 meter dan jarak kelegaan tanah setinggi 180 mm.

Kapasiti ruang kargo pula sebesar 306 liter.

Kelengkapan

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah lampu projektor LED automatik, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu kabus, pengelap cermin dengan penderia hujan, serta pemanas cermin sisi.

Ruang kabin pula mendapat ciri seperti:

  • roda stereng EPS rekaan dua jejari balutan kulit sintetik
  • skrin kluster digital 10.25 inci
  • skrin infohibur 10.1 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • tempat duduk balutan kulit dan fabrik
  • tempat duduk pemandu larasan kuasa 10-tahap
  • fungsi pemanas untuk baris depan
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar
  • sistem audio Infinity Premium
  • bumbung kaca panorama
  • tempat duduk belakang nisbah 4:2:4

Keselamatan

Secara standard, e Vitara hadir dengan ciri seperti 7-beg udara, Kawalan Mendaki Bukit (HHC), Kawalan Menurun Cerun (HDC), serta ciri bantuan pemandu termaju (ADAS) seperti:

  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Pengelakan Keluar Lorong (LDP)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Pengecaman Papan Tanda (TSR)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Adaptif (AHS)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)