Denza Malaysia bakal menambah sebuah lagi model dalam portfolio produknya, iaitu Denza Z9 GT.
Model ini telah pun dipertontonkan di pasaran Malaysia sejak tahun lalu dalam versi pemanduan sebelah kiri (LHD).
Menjelang pelancaran rasmi yang bakal berlangsung tidak lama lagi, sekumpulan media Malaysia telah diterbangkan ke Zhengzhou, China untuk menghadiri sesi pratonton Z9 GT versi pemanduan sebelah kanan (RHD).
Berikut merupakan beberapa fakta yang perlu anda tahu tentang Z9 GT.
Unit pacuan
Shooting brake elektrik ini dikuasakan oleh tiga motor elektrik, terdiri daripada motor elektrik depan 308 hp/410 Nm dan motor elektrik berkembar di belakang 831 hp/800 Nm.
Kuasa keseluruhan mencecah 1,140 hp dan daya kilas 1,210 Nm.
Z9 GT dilengkapi dengan bateri Blade generasi kedua berkapasiti 122.49 kWh, dengan kadar ketumpatan tenaga 5 peratus lebih berbanding Blade generasi pertama.
Ia turut menyokong pengecasan ultra-pantas Flash Charging dengan tempoh pengecasan sepantas 5 minit (10-70%) dan 9 minit (10-97%).
Terdapat juga fungsi V2L (vehicle-to-load) dengan kuasa maksimum 4 kW.
Casis & Dimensi
Z9 GT merupakan sebuah shooting brake dengan ukuran panjang melebihi lima meter.
Dimensi sebetulnya sepanjang 5,180 mm, lebar 1,990 mm, tinggi 1,490 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,125 mm.
Ruang kargo adalah sebesar 495 liter ditambah dengan kehadiran frunk sebesar 53 liter.
Z9 GT dilengkapi dengan suspensi udara Disus-A terdiri daripada tetapan double-wishbone aluminium di depan, diikuti sistem multi-link di belakang dan kawalan redaman berterusan (CDC).
Dengan bantuan sistem stereng gandar belakang, Z9 GT boleh mencapai radius putaran sekecil 4.62 meter, selain menawarkan “Crab Mode” dan “Pencil Compass Turn”.
Ia turut hadir dengan sistem kawalan kenderaan (VMC) terdiri daripada:
- Low Friction Pavement Stability Control System
- High-Speed Tyre Burst Control System
Kelengkapan luaran
Penampilan elegan Z9 GT disumbangkan oleh ciri berikut:
- nisbah roda-ke-gandar melebihi 3:1
- nisbah roda-ke-tinggi 2:1
- garis pinggang (waistline) berbentuk Z
Antara ciri luaran termasuklah:
- bukaan pintu elektrik lengkap dengan fungsi tutup lembut
- lampu hadapan LED
- lampu nyalaan siang DRL LED
- lampu belakang LED dengan grafik jam pasir
- logo 3D Denza
- lampu selamat datang gaya meteor
- bumbung kaca panorama 1.98 meter persegi
- spoiler belakang aktif
Untuk permulaan, Denza Z9 GT hadir dalam pilihan warna Rime Gold dan Obsidian Black.
Kelengkapan kabin
Untuk ruang kabin pula, Z9 GT hadir dengan tetapan enam skrin paparan terdiri daripada:
- skrin kluster digital 13.2 inci
- skrin tengah sebesar 17.3 inci
- skrin tambahan 13.2 inci
- paparan head-up AR 50 inci
- cermin pandang belakang digital 9.1 inci
- skrin LCD baris kedua 6 inci
Tempat duduk depan diberikan larasan 8-tahap , diikuti sokongan tulang belakang 4-tahap, fungsi memori, urut, pemanas dan ventilasi, sementara tempat duduk pemandu pula hadir dengan sistem bolster dinamik.
Tempat duduk belakang hadir dengan fungsi urut, pemanas dan ventilasi, diikuti larasan sudut sandaran dan perehat kaki kawalan elektrik.
Ciri lain termasuklah:
- kawalan iklim empat-zon
- sistem audio Devialet dengan 20-pembesar suara
- sistem pencahayaan ambien
- ruang storan 4 liter dengan fungsi panas (sehingga 50 darjah Celcius) dan sejuk (serendah -6 darjah Celcius)
- pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W berkembar
- bantuan suara berbilang bahasa (termasuk Bahasa Malaysia)
Denza Z9 GT turut hadir dengan 9 beg udara.
Terdapat tiga pilihan warna kabin iaitu:
- Dark Chocolate/Red Velvet
- Dark Chocolate/Perg Beige
- Full Black
Spesifikasi penuh bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi Denza Z9 GT yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
