UMW Toyota Motor (UMWT) baru sahaja melancarkan model trak pikap elektrik Toyota Hilux BEV 2026 untuk pasaran tempatan.
Unit yang dipasang di kilang Thailand (CBU) ini dijual pada harga dari RM226,300.
Ia hadir dengan jaminan 5-tahun dengan had perbatuan sehingga 150,000 km dan jaminan bateri 8-tahun yang boleh dilanjutkan untuk tahun ke-9 dan 10.
Prestasi Hilux BEV
Trak pikap elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik berkembar, masing-masing menghasilkan 206 Nm didepan dan 267 Nm di belakang.
Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa setinggi 196 PS dan 343 Nm.
Pek bateri lithium-ion 59.2 kWh mampu menawarkan jarak pandu sejauh 315 km (data NEDC) untuk sekali cas penuh.
Hilux BEV ini menyokong pengecasan AC 10 kW dengan tempoh masa pengecasan 10-100 peratus dalam masa 6.5 jam.
Dengan pengecasan pantas DC 150 kW, tempoh masa tersebut dipendekkan kepada 30 minit (10-80 peratus).
Luaran
Hilux BEV membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,320 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,865 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,085 mm.
Tema ‘Cyber Sumo’ diterapkan pada rupa Hilux baharu ini, dengan rupa depan menampilkan struktur jeriji tertutup, diikuti dengan rim aloi 17 inci yang unik.
Selain itu, terdapat juga sistem pencahayaan LED yang merangkumi unit projektor, serta lampu nyalaan siang (DRL) yang mempunyai ciri iluminasi sekunder.
Kabin
Kokpit Hilux BEV membawakan ciri berikut:
- sistem stereng kuasa elektrik (EPS)
- kemasan kombinasi upholsteri kulit dan trim sentuh lembut
- tempat duduk pemandu larasan 10-tahap
- tempat duduk penumpang depan larasan manual 6-tahap
- skrin kluster digital 12.3 inci
- skrin infohibur 12.3 inci
- sokongan Apple CarPlay & Android Auto
- port pengecasan USB Type-C (X2)
Keupayaan
Hilux BEV mempunyai had muatan 750 kg, berbeza dengan keupayaan Hilux diesel yang mampu membawa muatan sehingga 1,000 kg.
Menurut Toyota, keupayaan tersebut memberikan keseimbangan yang optimum antara jarak pandu, kuasa dan kegunaan.
Sudut pendekatan dan pelepasan Hilux BEV adalah mirip kepada model Hilux standard, dan mampu meredah air sedalam 700 mm.
Aspek pemanduan turut ditambah baik dengan penambahan struktur crossmember, serta tetapan suspensi belakang jenis de Dion.
Selain itu, Hilux BEV turut mendapat tetapan Multi-Terrain Select (MTS) dengan lima mod tersedia untuk senario pemanduan berbeza.
Pemandu boleh memilih tetapan seperti Rock, Sand, Mud, Dirt dan mod Mogul yang khusus untuk laluan beralun.
Keselamatan
Trak pikap ini didatangkan standard dengan kelengkapan Toyota Safety Sense (TSS), merangkumi fungsi berikut:
- Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
- Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
- Pemantauan Titik Buta (BSM)
- Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
- Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
Hilux elektrik ini juga turut dilengkapi sistem pemantauan keliling (PVM) yang amat berguna ketika di kawasan parkir.
