Toyota menguji ketahanan Hilux Electric baharu dengan menjatuhkan sebuah karavan seberat 760kg.
Ujian itu mengulangi aksi Top Gear pada 2003, apabila sebuah karavan dijatuhkan ke atas Hilux dalam cubaan untuk memusnahkannya.
Selepas lebih 20 tahun, Toyota melakukan ujian sama terhadap Hilux elektrik generasi kesembilan.
Untuk makluman, Hilux Electric sudah memasuki pasaran tempatan dan ditawarkan pada harga RM226,300.
Pengguna Reddit Pilih Ujian Karavan
Toyota terlebih dahulu meminta komuniti Reddit di UK memilih cabaran yang patut dilakukan terhadap Hilux baharu.
Dua pilihan diberikan, iaitu menghentam Hilux berulang kali menggunakan bola pemusnah seberat satu tan atau menjatuhkan karavan seperti aksi Top Gear.
Ratusan pengguna mengundi dan majoriti memilih ujian karavan.
Aksi itu berlangsung di lapangan terbang Bentwaters, Suffolk. Sebuah karavan seberat 760kg dinaikkan setinggi 30 kaki sebelum dilepaskan tepat ke atas kabin Hilux.
Selepas keadaan selamat, jurutera memeriksa keadaan pikap tersebut. Hilux hanya mengalami kerosakan kecil pada bahagian badan.
Pikap itu terus dihidupkan dan Hilux kemudian dipandu keluar dari kawasan ujian tanpa sebarang masalah.
Ketahanan Hilux Elektric
Menurut Toyota, ujian itu menunjukkan model elektrik baharu masih mengekalkan reputasi Hilux dari segi kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan.
Hilux telah mencatat lebih 27 juta unit jualan global sepanjang tujuh dekad. Dalam proses pembangunan, Hilux elektric menjalani pelbagai ujian ekstrem.
Di antaranya pemanduan air dalam, permukaan kasar dan pelbagai jenis rupa bumi, selain bateri diuji dalam keadaan tenggelam sepenuhnya.
Toyota turut menghasilkan penyelesaian reka bentuk khusus bagi melindungi bateri daripada kerosakan ketika dipandu dalam keadaan ekstrem.
Boleh Bawa Muatan Hingga 1,065kg
Hilux generasi baharu ditawarkan dengan sistem kuasa bateri elektrik dan Diesel 48V.
Selain ketahanan, Hilux baharu menampilkan reka bentuk yang lebih garang, kabin berkembar yang luas dan selesa, meter digital serta sistem multimedia.
Kapasiti muatan pula mencecah 1,065kg, bergantung kepada sistem kuasa, manakala keupayaan menunda treler mencapai 3.5 tan.
Chris Hayes, Pengarah Bahagian Produk dan Perkhidmatan Toyota (GB), berkata aksi menjatuhkan karavan itu bukan sekadar mengulangi aksi televisyen terkenal.
Ia turut menunjukkan ketahanan Hilux kekal sama walaupun menggunakan kuasa elektrik.
Selepas ujian tersebut, Toyota menyerahkan Hilux elektrik kepada saluran YouTube Top Gear untuk cabaran seterusnya.
