Harley Davidson sebuah nama industri permotoran yang gah dan menjadi tanda aras kepada gaya dan status seseorang. Engear Unik episod 2 kali ini mengupas lebih lanjut salah satu model Harley Davidson yang dikatakan hanya terdapat kurang dari 10 buah di Malaysia dan menjadikannya sebuah model yang sangat ‘rare’ untuk dilihat dijalanraya kita. Bersama Banep dan tetamu jemputan yang juga pemilik Harley Davidson keluaran tahun 1948, saudara Palee membincangkan lebih mendalam mengenai jentera Harley Davidson milik beliau dan sedikit sebanyak mengenai modifikasi dan spek yang ada pada motor miliknya.

Seperti yang kita sedia maklum, rekabentuk motor Harley Davidson sangat menarik dan berseni. Rangka yang panjang dan rendah menjadikannya sangat unik dan mempunyai gaya tersendiri. Namun kecantikan rekaan model Harley Davidson janganlah disalah erti. Seperti model Harley Davidson yang lain, mereka amat mengutamakan kuasa dengan kewujudan ‘V-twin engine’ dan model Harley Davidson 48 juga tidak terkecuali dari tanda aras ini.

Disebabkan permintaan tinggi bagi model ini, kebanyakan penggemar motor lebih suka untuk menghasilkan model kustom sebagai tanda kepuasan atau cuba melonjakkan lagi harga pasaran model ini. Saudara Palee juga tidak terkecuali dari cuba menghasilkan model kustom sendiri.

Harley Davidson Pan Shovelhead tahun 1948 atau diberi nama “wish me luck” oleh saudara Palee bukanlah calang-calang motor untuk dimiliki. Beliau meminati motor ini kerana memberi banyak pengalaman, terutamanya dari aspek membaiki motor kepunyaanya sendiri. Selain itu beberapa keunikan lain juga menarik minat saudara Palee untuk memiliki motor ini contohnya keunikan ketika menghidupkan enjin, penukaran gear di tangan dan pelbagai lagi.

Motor milik saudara Palee hampir keseluruhannya telah dikustom kecuali bahagian enjin dan ‘gearbox’ yang masih kekal dari Harley Davidson. Semua modifikasi dilakukan di USA dan saudara Palee sudah memiliki motor ini selama hampir 3-4 tahun.

Bila mengatakan mengenai minat dan hobi, wang ringgit semestinya banyak dihabiskan. Saudara Palee juga tidak terkecuali dalam melaburkan wang puluhan ribu ke atas minat beliau. Segala proses pembelian dari seorang rakan di Ohio, modifikasi yang dilakukan ke atas motor beliau dan penghantaran motor ini ke Malaysia, sehingga ke hari ini telah menelan belanja hampir RM80 ribu.

Saudara Palee juga sudi berkongsi sedikit sebanyak tips mengenai asas pemilikan motor ini sebagai penutup episod kali ini, antaranya:

1) Asas membaiki motor model ini perlu dipelajari terlebih dahulu

2) Pandai mencari ‘spare part’ ataupun boleh ke bengkel Gimme Shelter untuk mencari spare part yang diperlukan

3) Saudara Palee juga ada membuat demo untuk menghidupkan enjin seperti di dalam video kami untuk tontonan bersama.

Akhir sekali motor ini memang berbaloi untuk dimiliki kerana keunikan dan gaya yang ada pada motor ini menambahkan lagi kualiti anda sebagai pemilik.