Segmen sulung Engear Unik bersama hos kami Banep membawa penonton menyelami segmen kenderaan kustom, modified dan klasik. Tetamu jemputan CK Naga yang juga pemilik kenderaan Austin Morris Marina (tahun 1971) berkongsi sedikit sebanyak mengenai hobi dan kenderaan milik beliau.

Terlebih dahulu, serba sedikit mengenai kereta Austin Morris Marina yang dihasilkan oleh syarikat British Leyland sekitar tahun 1971-1980. Kereta ini boleh didapati dalam 2 model iaitu model 1.3 dan 1.8 dan ianya sangat jarang dijumpai di Malaysia. Namun pada ketika dulu kereta ini mendapat sambutan yang tinggi dan oleh sebab itu wujudnya kilang pemasangan kereta ini di Shah Alam.

Kereta Austin Morris Marina ini dikeluarkan dalam 5 versi untuk pilihan umum iaitu:

1) Saloon

2) Wagon

3) Coupe

4) Utility (pick up) – 2 pintu

5) Van – 2 pintu

Berbalik kepada sejarah CK Naga dan kereta beliau yang merupakan keluaran terawal pada 1971, beliau menyatakan bahawa beliau ialah pemilik kedua kenderaan ini. Namun kondisi kereta masih lagi dalam keadaan baik, dan beliau bersyukur atas jagaan yang diberi oleh pemilik asal kenderaan ini. Kereta Austin Morris Marina milik beliau dibeli dari seorang pak cik di utara tanah air dan ianya bukan sahaja dibeli atas dasar minat terhadap kereta klasik, tetapi ianya juga digunakan sebagai kegunaan harian beliau.

Menurut pendapat orang ramai yang skeptikal terhadap penggunaan kereta klasik ini sebagai kenderaan harian bakal mengundang banyak masalah seperti ‘overheat’ dan sebagainya, beliau beranggapan isu itu hanyalah bergantung kepada bagaiman kita selaku pemilik menjaga prestasi dan kondisi kereta kita sahaja.

Bahkan dari segi penjagaan pula menurut beliau lebih murah, cuma agak sukar mendapat bekalan ‘spare part’. Namun dengan teknologi yang serba canggih, pendedahan pembelian melalui ebay,perbincangan melalui blog dan forum membolehkan beliau berkomuniti dengan orang dari luar negara untuk mendapatkan barang-barang yang diingini.

Dari segi modifikasi untuk kereta beliau tidaklah terlampau ekstrim, Cuma sedikit pengubahsuaian dilakukan untuk keselesaan memandu. Dari segi rupa dan kemasan masih lagi dikekalkan seperti asal untuk menjaga keaslian kereta.