Volkswagen Polo telah menjadi model global popular sehingga kini. Polo pernah menjadi juara World Rally Championship beberapa tahun lalu. Volkswagen Group Malaysia (VGM) telah melancarkan Polo varian hatchback versi pemasangan tempatan (CKD) dengan kuasa enjin 1.6L Multi Point Injection (MPI) sebagai salah satu pilihan varian selain model Polo Gti dan Polo Sedan.

Mungkin ada segelintir di antara kita agak skeptikal dengan menganggap model jenama luar yang dipasang di dalam negara (unit pemasangan tempatan atau CKD) memiliki kualiti yang jauh lebih rendah berbanding dengan unit CBU yang diimport masuk ke sini. Ironinya, ia tidak memiliki banyak perbezaan yang ketara. Cuma untuk unit CKD mensyaratkan minimum 40% komponen tempatan digunakan di dalam pemasangan model tersebut.

Secara keseluruhannya, Volkswagen masih lagi mengekalkan reka bentuk luarannya sama seperti model yang sebelum ini. Bagi imej luaran, lampu hadapan didatangi dengan jenis halogen berwarna perak berbanding dengan model CBU daripada rona hitam. Bar krom berkembar pada jeriji hadapan juga membuatkan jentera ini lebih maskulin. Dengan adanya ‘fog lamp’ yang terletak di jeriji bawah pada bumper hadapan serta padanan rim aloi “Riverside” bersaiz 15 inci yang membaluti tayar 185/60 R15 turut menyerlahkan lagi gaya jentera ini. Rekaan bumper belakangnya juga agak berbeza dan lampu isyaratnya terletak padafender.

Reka bentuk Polo 1.6 yang masih sporty dan dinamik ini mampu menambat hati pengguna dari golongan muda yang inginkan sebuah kereta yang ringkas dan sporty. Polo 1.6 ini menawarkan gabungan terbaik dalam kualiti dan prestasinya. Namun ianya tidak mengetepikan elemen yang penting termasuklah aspek keselamatan, keselesaan dan kualiti.

Bagi ruangan dalaman pula, ia agak sama dengan rekaan dalaman model Polo Sedan 2014 yang juga merupakan unit CKD. Polo 1.6 turut menampilkan unit kepala RCD 320, empat pembesar suara dan zon penghawa dingin automatik Climatronic. Antara ciri-ciri lain, Polo 1.6 turut didatangkan dengan cruise control, balutan kulit untuk roda stereng, tombol gear dan pemegang brek tangan, tempat duduk balutan fabrik ‘Livon’ bewarna gelap dan skrin paparan pelbagai fungsi. Kekemasan chrome juga menghiasi papan pemuka seperti pada bahagian panel penghawa dingin, roda stereng, suis lampu dan sedikit pada radio.

Dari segi prestasi, kuasa yang dihasilkan oleh enjin 1.6L dengan transmisi enam kelajuan automatik ini tidak mengecewakkan. Enjin ini mampu mencapai kuasa maksimum 105PS pada 5,250rpm dan mencapai maksima tork 153Nm pada 3,800rpm. Manakala, kadar pecutan dari 0-100km/j ialah 11.1 saat, dengan catatan kelajuan tertinggi 184km/j. Dengan kerangka hatchback dan reka bentuknya yang dinamik, Polo 1.6 sangat mudah dikendalikan. Ianya lebih stabil biarpun dalam kelajuan yang agak tinggi dan kestabilannya masih mampu dirasai walaupun melalui jalan berselekoh.

Polo 1.6 ini menggunakan kapasiti tangki petrol bersaiz 45L. Catatan secara purata penggunaan petrol, ianya berada pada tahap yang menjimatkan iaitu 6.5L untuk setiap 100km. Secara keseluruhan, prestasi dan pengendalian yang dimilik oleh Polo 1.6 hatchback ini amat memuaskan.

Dalam aspek keselamatan pula, Polo 1.6 dilengkapi dengan dua airbang yang menggunakan Intelligent Crash Response System (ICRS) yang akan membuka kunci pintu kenderaan secara automatik dan lampu kecemasan akan menyala serta merta jika kemalangan berlaku. Ianya turut dilengkapi dengan Break Asist (BA), ISOFix dan empat Parking Point.

Harga pengenalannya yang boleh dikategorikan mampu milik meletakkannya dalam pasaran yang telah lama dikuasai oleh beberapa pilihan seperti Toyota, Honda, Nissan dan Ford. Imej quasi-premium Volkswagen mengangkat Polo 1.6 melebihi pesaingnya. Volkswagen Polo 1.6 ini direka untuk menawarkan sebuah hatchback yang ringkas dan pasti mampu memberikan kelainan pada gaya hidup anda. Ia merupakan pembelian yang berbaloi dan wajar diletakkan dalam senarai utama jika anda mahu memiliki sebuah hatchback lima pintu.