Peugeot 208 – Kekal Sifat Unik Kereta Perancis

Karektor kereta di pasaran, sedikit sebanyak, dipengaruhi oleh negara yang menghasilkannya, lebih khusus lagi ia dipengaruhi oleh jenis jalan dan jenis pemanduan yang dilakukan oleh rakyat negara tersebut.

Sebagai contoh, bila kita tonton wayang gambar dari Hollywood, kita dapati anak muda di Amerika merempit dengan berlumba antara lampu isyarat ataupun berlumba pecut di jalan yang lurus.

Selain dari itu mereka juga gemar meronda (cruising) di laluan bandar yang lapang dan lazimnya lurus.

Tak heranlah kenderaan dari Amerika mempunyai enjin yang besar tapi sistem gantungannya lebih kepada lembut daripada padu kerana fokus mereka ialah pecutan dan keselesaan meronda.

Negara Jerman pula adalah pelopor sistem lebuhraya moden, mereka mencipta rupabentuk lebuhraya dengan laluan lebar dan jejari belok (turn radius) yang besar walaupun ketika melalui laluan berbukit.

Rekabentuk lebuhraya ini digunakan bagi membolehkan kenderaan bergerak dari bandar ke bandar dengan laju dan selamat. Jerman juga sebuah negara berbukit bukau dan rakyatnya suka memandu di laluan bukit.

Sudah tentu mereka menghasilkan kereta yang stabil pada kelajuan tinggi dan mampu melalui jalan berliku dengan tenang dan mudah.

Itali juga antara pelopor sistem lebuhraya tetapi mukabumi semenanjung negara Latin tersebut lebih berbukit bukau berbanding Jerman maka kereta yang dihasilkan di Itali lebih fokus kepada kebolehan membelok dengan tangkas.

Perancis pula adalah jelapang gandum Eropah dan ini bermakna negara tersebut tidak terlalu berbukit bukau tetapi mempunyai kawasan pertanian yang amat luas. Sepertimana kawasan pertanian di negara negara lain, jalan raya di situ tidak begitu terjaga.

Pak Tani juga kurang gemar berbelanja untuk membaiki kenderaan jadi kereta yang dihasilkan oleh Perancis selalunya tahan lasak dan dilengkapkan dengan sistem gantungan pergerakan besar (long travel suspension) yang membolehkan ia melalui laluan separa lasak tanpa mencalarkan bawah kereta ataupun menggugurkan gigi penumpang.

Walaupun keadaan jalanraya semakin baik, tetapi sifat sifat utama jalanraya di semua negara masih lagi kekal, dan ini terus mempengaruhi sifat kereta yang dihasilkan oleh setiap negara.

Kereta Peugeot terkenal dengan sistem gantungan yang selesa tetapi mampu mencengkam laluan yang kurang rata dan ini merupakan antara sifat kereta Perancis yang digemari oleh peminatnya. Keselesaan disatukan dengan pemanduan bersahaja.

Peugeot 208 kali ini masih mempunyai sedikit-sebanyak sifat sistem gantungan yang lembut tetapi ia tidaklah selembut kereta Perancis sedekad yang lalu, namun ia masih mengekalkan sifat pemanduan bersahaja tetapi tangkas.

Yang lebih penting, rekabentuk kereta ini unik dan tersendiri, menjadikannya sebuah jentera Perancis yang tulen.

Memanglah ianya tidak begitu unik jika dibandingkan dengan kereta Perancis terdahulu tetapi jika dibandingkan dengan kereta Eropah yang lain, ianya masih tersendiri.

Sebagai contoh, Peugeot dan Citroen kini menggunakan stereng yang amat kecil dan ini mengubah rekabentuk papan pemuka dimana kluster meter dilihat oleh pemandu di atas stereng, bukan melalui stereng.

Rekabentuk stereng kecil ini menghasilkan pengalaman pemanduan yang berbeza, kita berasa seperti memandu kereta sukan (sportscar), bukan sahaja kerana saiz stereng tetapi juga nisbah gear stereng lebih tinggi yang menghasilkan tindakbalas tangkas.

Selain dari itu, kereta ini juga datang dengan teknologi jimat bahanapi yang membolehkan kereta ini dipandu dengan lebih mesra alam tetapi mempunyai lebihan kuasa bagi menghasilkan pemanduan yang mengujakan apabila pemandu mahukan prestasi tinggi.

Saksikan review kami untuk mengetahui apa kelebihan Peugeot 208 ini.