Lotus Elise 250 Cup – Kereta Serius Untuk Gumbira 

Kalau saya terjumpa jalan yang kosong, bengkang bengkok dan saya memandu kereta yang mempunyai pemanduan yang tangkas dan dikuasai oleh enjin yang berprestasi tinggi, saya mesti tersengih sorang sorang.

Sejak dulu lagi saya memang gila stereng dan kegilaan itu tak pernah luntur walaupun umur dah hampir mencecah setengah abad.

Jadi anda boleh kategorikan saya sebagai pemandu yang mempunya masalah ketagihan keseronokkan melalui kereta.

Lotus pula ialah satu jenama yang amat menumpukan perhatian kepada kepuasan pemanduan, mereka tak begitu mementingkan keselesaan, kualiti bahan ataupun bilangan pemegang cawan dan jauh sekali keupayaan sistem pendingin hawa.

Bagi Lotus, mereka diturunkan ke bumi semata mata untuk menghasilkan kereta yang boleh membuatkan jantung pemandu berdegup laju setiap kali dia mendapatkan dos pemanduan.

Elise pula merupakan satu nama yang sudah melonjak ke alam legenda permotoran kerana ia menawarkan pengalaman pemanduan yang hampir serupa dengan kereta lumba ataupun go-kart dalam satu pakej kereta kompak yang amat ringan.

Casis aluminium Elise cukup ringan untuk diangkat oleh dua wanita jelita yang bukan juara angkat berat.

Enjin yang digunakan selalunya kecil, 2.0 liter atau lebih kecil tetapi ia boleh memecut dengan begitu bertenaga dalam setiap gear sehinggalah mencapai kelajuan maksimum. Kelajuan maksimum kereta ini tidaklah begitu tinggi tetapi ia cukup untuk membuat sebarang pemandu teruja.

Tak kiralah samada anda baru dapat Lesen P atau Lewis Hamilton, semua orang akan tersenyum selepas memandu Elise kerana ia ditala untuk menjana satu tahap ketangkasan yang sukar ditandingi, walaupun dalam dunia kereta sukan, apa lagi di jalanraya biasa.

Jisim yang rendah membolehkan enjin kecil menjana prestasi yang tinggi disamping itu ia juga membolehkan kereta ini mengubah langkah dengan begitu mudah.

Stereng kereta ini berkomunikasi secara telus dan jelas, membolehkan si pemandu sentiasa memahami keadaan cengkaman di setiap roda. Apabila kita tahu apa yang berlaku di setiap penjuru, ini meningkatkan keyakinan kepada kebolehan kereta.

Menurut Lotus inilah Prinsip 99 dimana 99 peratus pemandu boleh menikmati 99 peratus prestasi kereta 99 peratus masa pemanduan.

Tapi tak semuanya sempurna, nak tahu apa yang pelik tentang kereta ini? Tonton video pandu uji kami