Engear Tips 101 – Tukar Tayar Kereta Pancit

Pernahkah anda mengalami situasi tayar kereta pancit? Dan anda tidak tahu bagaimana untuk menghadapi situasi ini. Apatah lagi bila situasi ni jarang-jarang terjadi.  Jika keadaan ini terjadi kepada pemandu lelaki, mugkin tiada masalah. Tapi bagaimana jika situasi ini terjadi kepada pemandu wanita?  Mesti anda mengharapkan bantuan orang lain kan? Atau mungkin juga anda pernah tunggu di tepi jalan berjam-jam sampai ada orang yang datang tolong. Jangan risau, kali ini kami akan berkongsi tips bagaimana untuk menukar tayar pancit.

Apa yang penting, anda perlu pastikan semua peralatan mencukupi dan sentiasa ada dalam bonet kereta anda. Selalunya pembekal kereta telah menyediakan peralatan ini di dalam bonet kereta anda.

Ini adalah antara alatan yang telah tersedia di bawah ‘boot tray’ kereta kita seperti, Safety Triangle, Jack,Tow Hook, L Handle (Wrench Nut), Anchor dan Tool box yang dilengkapi semua alatan seperti screw driver dan lain-lain.

Sebelum kita meneruskan lagi, kami ingin berkongsi cara bagaimana untuk memilih lokasi yang selamat untuk berhenti. Walaupun dalam keadaan kecemasan, kita juga haruslah mementingkan keselamatan diri kita dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Jika tayar anda pancit, jangan gelabah atau panik, perlahankan kereta anda dan seelok-eloknya cari jalan yang lurus untuk berhenti supaya pemandu lain nampak kita dari jauh.  Jika anda menggunakan kereta Auto, masukkan gear ‘P’ dan tarik ‘handbrake’. Untuk kereta Manual, masukkan gear satu atau gear reverse dan tarik ‘handbrake. Matikan enjin kenderaan anda. Menukar tayar di jalan raya/highway adalah merbahaya. Jadi pastikan anda meletakkan kon atau ‘Safety Triangle’ sekurang-kurangnya 50-100 meter dari kenderaan anda dan pastikan ‘hazard light’ dihidupkan. Safety Triangle sangat penting untuk keselamatan kita dan juga pengguna jalan raya yang lain terutamanya di waktu malam.

Pastikan akan berhenti di kawasan jalan mendatar dan rata. Jika anada terpaksa berhenti di kawasaan cerun dan berbukit, cuba dapatkan objek berat seperti batu untuk menahan kereta anda supaya tidak bergerak atau menggelongsor.

Untuk mengeluarkan spare tyre dari boot kereta anda, longgarkan nut di bahagian tengah dengan memusing mengikut arah jam. Masukkan tayar yang telah dikeluarkan ke bawah kereta. Ini untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berlaku jika jack collapse’ atau patah, kereta akan bergerak ke  belakang dan jatuh. Dengan adanya tayar tersebut, ia dapat menahan kereta dari terus jatuh ke bawah dan mengurangkan risiko kerosakan pada bahagian bawah kereta dan juga dapat mengelak kecederaan kepada anda.

Longgarkan nut pada rim dengan menggunakan ‘wrench nut’ mengikut arah jam. Tidak perlu buka habis, cukup sekadar longgarkan.

Pasang jack untuk mengangkat kereta anda. Di bahagian bawah kereta anda, terdapat satu ‘railing’ atau besi yang berlekuk. Pastikan jack berada pada kedudukan lekuk tersebut. Kedudukan jarak jack sekurang-kurangnya dua jengkal dari tayar dan mestilah berada di bawah struktur yang boleh menyokong berat kereta. Pusing jack menggunakan ‘anchor’ mengikut arah jam sehingga tayar kereta terangkat dan tidak mencecah permukaan jalan.

Buka semua nut pada rim, keluarkan tayar yang pancit dan gantikan dengan spare tyre. Pasangkan keempat-empat nut bagi memudahkan anda supaya tayar yang dimasukkan tidak bergerak atau terkeluar. Cukup sekadar ketatkan sedikit nut, tidak perlu menggunakan daya tekanan yang banyak kerana kereta masih di atas jack dan untuk mengelakkan kereta jatuh atau menggelongsor jika kita menggunakan daya tekanan yang kuat.

Kemudian turunkan jack dengan memusing arah lawan jam sehingga tayar mencecah permukaan jalan dan jack tidak lagi menyokong berat kereta. Ketatkan nut sepenuhnya dengan menggunakan ‘wrench nut’ dan pastikan ianya betul-betul ketat.

Tapi ingat, saiz spare tyre lebih kecil dari tayar normal. Kebiasaannya jika menggunakan spare tyre, kelajuan maksimum tidak boleh melebihi 80km/j kerana tayar akan cepat panas dan boleh mengakibatkan tayar pecah. Seelok-eloknya cari kedai tayar terdekat untuk tukar kembali pada tayar yg asal.

Semoga dapat membantu dan menambah pengetahuan anda.