Engear Tips 101 – Pentingnya Child Seat Dalam Kereta

Tiada ibu bapa yang ingin perkara buruk terjadi pada anak mereka. Contohnya seperti kemalangan jalan raya yang mungkin meragut nyawa anak mereka.

Anatomi atau susuk tubuh kanak-kanak dan bayi tidak sesuai dengan tempat duduk kereta yang sedia ada. Mereka memerlukan pelindung keselamatan yang sesuai. Sama seperti tali pinggang keselamatan yang sedia ada direka menepati anatomi orang dewasa yang jauh berbeza dengan kanak-kanak. Oleh sebab itu, penggunaan ‘Child Car Seat’ di dalam kenderaan amat penting. Anak-anak pada mulanya mungkin tidak suka apabila kita meletakkan mereka di dalam ‘Child Seat’, tetapi jika di ajar lama kelamaan mereka akan faham.

Di sini kami kongsikan cara terbaik untuk meletakkan ‘Child Seat’ dalam kenderaan anda dan apakah ciri-ciri ISOFIX yang terdapat pada ‘Child Seat’.

ISOFix adalah singkatan dari perkataan International Standard Organization fix. ISOFix diperkenalkan untuk mengatasi masalah ‘Child Seat’ yang tidak dipasang dengan cara yang betul. ‘Child Seat’ yang tidak dipasang dengan betul akan menyebabkan risiko impak kemalangan yang lebih teruk ke atas anak anda.

ISOFix Mount adalah dua bahagian di mana satu terletak pada ‘Child Seat’ dan satu lagi berada di bahagian kereta anda. Lazimnya ISOFix Mount ini berada di bahagian kerusi belakang kereta anda. Sebangai contoh, jika kita lihat pada kereta Proton Saga BLM, terdapat satu tempat di bahagian belakang yang dipanggil ‘Top Tether Mount’. ‘Top Tether Mount’ adalah satu tempat di mana kita boleh ikatkan ‘Child Seat’ untuk menambahkan lagi kestabilan.

Terdapat 2 cara untuk memberi kestabilan tambahan pada kerusi ISOFix. Ada yang mempunyai kaki dihadapan dan ada yang hanya perlu diikat pada ‘Top Tether Mount’ sahaja, tetapi fungsinya tetap sama. Menstabilkan ‘Child Seat’ supaya tidak bergerak atau menggelongsor ke hadapan apabila kita menekan brek atau kereta berhenti secara mengejut.

Cara memasang ‘Child Seat’ ISOFix pada kerusi dibahagian belakang:-

1 – Cari tanda ISOFix di bahagian kerusi belakang kereta anda.

2 – Letakkan ‘Child Seat’ di tempat duduk belakang,  tolak dan tekan tapak ‘Child Seat’ ke arah tanda ISOFix untuk menguncinya.

Periksa penanda untuk memastikan kerusi dipasang dengan betul. Penanda akan bertukar warna hijau jika kerusi dipasang dengan betuk dan dalam keadaan selamat.

3 -(Untuk ‘Child Seat’ kaki sokongan) Laraskan ketinggian kaki kerusi pada ketinggian yang bersesuaian dengan kerusi kereta anda untuk menambahkan lagi kestabilan.

(Untuk ‘Child Seat’ Top Tether) Untuk memasang ‘Child Seat’ pada ‘Top Tether Mount’, pastikan kereta anda dilengkapi dengan ISOFix ketiga. Biasanya terletak di bahagian atas belakang kerusi belakang. ‘Top Tether Mount’ akan membantu menstabilkan kerusi dari bergerak ke hadapan. Hanya klik cangkuk peyambung pada ‘Top Tether Mount’ dan pastikan ia kemas.

4 – Letakkan ‘Child Seat’ di atas tapak yang telah dipasang pada kerusi belakang kereta anda. Pastikan anda memeriksa penanda di kerusi untuk memastikan ia dipasang dengan betul dan dalam keadaan selamat.

 

Mengikut kajian terkini, bayi yang berusia 15 bulan ke bawah elok diletakkan menghadap ke belakang kerana struktur tulang belakangnya belum cukup kuat untuk menahan impak sekiranya berlaku kemalangan. Jika badan mereka hanya ditahan oleh ‘Child Seat’ seat belt sahaja, mungkin akan menyebabkan kecederaan pada tulang belakang mereka.

Cara memsang ‘Child Seat’ ISOFix pada kerusi hadapan:-

1 – Rapatkan tapak kerusi dengan menolak ke belakang sehingga kerusi rapat dengan kerusi hadapan.

‘Child Seat’ tidak boleh dipasang menghadap ke belakang jika diletakkan di kerusi hadapan kecuali jika ‘airbag’ boleh dipadamkan kerana ada sesetengah kereta ‘airbag’ tidak boleh dipadamkan.

2 – Laraskan kaki hadapan kerusi selaras dengan ketinggian kerusi hadapan untuk memastikan kerusi lebih stabil.

3 – Pasangkan tali pinggang keselamatan pada tapak kerusi dan pastikan ianya ketat.

Pemilihan ‘Child Seat’ yang betul juga penting. Bukanlah hanya sekadar ada. Dari segi fizikal ‘Child Seat’ itu sendiri, kita boleh lihat sama ada ia mampu menahan impak kemalangan atau tidak. Selain dari segi fizikal, pemilihan ‘Child Seat’ juga perlu mengikut kumpulan dan had umur.

‘Child Seat’ ISOFix didatangkan dalam 3 saiz;-

0 – Untuk bayi yang baru lahir hingga 15 bulan

1 – Boleh menampung berat sehingga 18kg atau kanak-kanak berumur 4 tahun

2 – Juga dikenali sebagai ‘booster child seat’ iaitu seat kecil yang diletakkan pada kerusi kereta untuk memberi ketinggian kepada kanak-kanak supaya tali pinggang keselamatan terletak tepat pada bahu dan tidak terkena pada leher anak anda.

‘Child Seat’ dilengkapi dengan ‘5 point seatbelt’. Cara pemakaina tali pinggang keselamatan juga penting. Pastikan tali pinggang keselamatan diketatkan untuk keselamatan anak anda.

Kenapa pentingnya tali pinggang keselamatan ini diketatkan?

Ini kerana apabila berlaku kemalangan, kereta kita bertembung dengan objek lain,  ia akan berhenti dengan tiba-tiba disebabkan oleh impak yang kuat, tetapi kelajuan badan kita akan tetap sama. Jadi jika tali pinggang keselamatan longgar, ia memberi ruang pada badan anak anda tercampak ke hadapan sebelum berlanggar dengan ‘seat belt’ dan keadaan ini akan menyebabkan kecederaan kepada anak anda. Tetapi jika tali pinggang keselamatan diketatkan, badan anak anda tidak akan tercampak ke hadapan dan ini boleh mengelakkan kecederaan yang serius atau kematian.