Engear Tips 101 – 5+1 Tips Mencegah Kerosakan Kereta

Bawa kereta tak semestinya tahu pasal kereta. Mungkin hanya tahu bawa, isi minyak dan isi angin. Tapi kalau nak tahu serba serbi pasal kereta mungkin tak semua orang mampu. Biasanya anda lebih gemar menyerahkan bulat-bulat kepada pusat servis kenderaan atau bengkel untuk penyelenggaraan. Sama ada anda salah seorang daripada jutaan pemandu harian atau hanya memandu pada hujung minggu. Penting untuk anda tahu asas penjagaan kereta. Dan kali ini kami ingin berkongsi dengan anda 5 + 1 cara asas penjagaan kereta untuk mencegah kerosakan pada kenderaan anda.

Di sini ada 5 perkara penting yang perlu kita periksa sekurang-kurangnya sebulan sekali.

1 – Minyak pelincir

Bagi kebanyakkan orang, ini adalah perkara yang mudah dan semua orang boleh lakukan. Tetapi masih ada pengguna di luar sana yang tidak tahu bagaimana untuk melakukannya.

Waktu yang paling sesuai untuk memeriksa paras minyak pelincir enjin adalah ketika enjin kenderaan anda sejuk. Ini kerana minyak pelincir telah pun mengalir sepenuhnya ke dasar tangki. Jika enjin masih panas, bacaan paras minyak mengelirukan kerana kuantiti minyak sebahagiannya masih terdapat pada ‘oilway’ dan ‘passages’ di dalam enjin dan mengambil masa untuk mengalir turun. Anda perlu menunggu lebih kurang 30 minit supaya minyak betul-betul mengalir turun ke bawah.

Keluarkan ‘dipstick’ dan lapkan terlebih dahulu minyak yang melekat pada ‘dipstick’.

Masukkan ‘dipstick’ dan keluarkan semula untuk melihat paras minyak pelincir anda.

Terdapat dua titik pada ‘dipstick’ yang menunjukkan tahap ‘Min’ dan ‘Max’. Pastikan minyak berada di antara paras ‘Min’ dan ‘Max’ pada ‘dipstick’.

Jika anda dapati minyak pelincir anda hitam dan pekat, ini menandakan bahawa minyak pelincir kereta anta perlu ditukar.

2 – Coolant

Sebelum memeriksa cecair dalam tangki radiator, periksa dahulu cecair pada tangki simpanan.

Pastikan cecair berada di antara paras ‘Min’ dan ‘Max’.

Coolant adalah sejenis cecair yang mampu memindahkan haba keatasnya dengan cepat. Coolant berfungsi menghalang enjin daripada mengalami masalah seperti ‘overheating’.

Bagi memastikan coolant berfungsi secara optimum, jangan biarkan coolant berada pada paras minimum. Ini penting supaya sistem penyejukan dapat berfungsi seperti yang sepatutnya.

3 – Air pencuci cermin

Pencuci cermin antara perkara yang sering diambil mudah dan biasanya diingat semasa memandu dalam hujan. Pastikan air pencuci cermin sentiasa ada.

Jangan hanya gunakan air sahaja, sebaiknya campurkan dengan ‘washing fluid’ yang bersesuaian dan tuangkan mengikut nisbah yang betul.

4 – Transmission fluid

Cara pemeriksaan ‘transmission fluid’ sama seperti memeriksa minyak pelincir.

5 – Brake fluid

Sama juga seperti minyak pelincir dan ‘transmission fluid’. Pastikan minyak brek juga berada pada paras antara ‘Min’ dan ‘Max’.

Jika anda perhatikan di atas penutup terdapat satu tanda “use only dot 3”. Dot 3 merupakan spesifikasi ‘brake fluid.

Selain daripada 5 perkara ini, terdapat satu lagi perkara terakhir yang perlu anda periksa sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Tidak kiralah apa jenis kenderaan yang anda pakai dengan apa kuasa dan sistem yang ada sekalipun, semuanya akan bergantung pada tayar kerana ia adalah titik penghubung antara kenderaan anda dan jalan. Tayar adalah aspek penting dalam memastikan keselamatan anda di jalan raya.

Bagaimana untuk memeriksa tekanan tayar?

Waktu  pagi adalah waktu yang terbaik untuk anda memeriksa tekanan tayar kerana tayar berada dalam keadaan sejuk. Tayar yang panas akan menunjukkan bacaan yang kurang tepat.

Gunakan peralatan yang sesuai seperti ‘tyre pressure gauge’ untuk memeriksa tekanan tayar. Pastikan tekanan tayar anda sama seperti yang ditetapkan oleh pengeluar kenderaan anda. Anda boleh menggunakan sukatan yang terdapat pada bahagian tepi pintu atau tiang tengah kereta anda sebagai rujukan.

Kami harap anda dapat mempraktikkannya selepas ini.