Engear Tips 101 – Cara Kurangkan Titik Buta Ketika Memandu

Apabila bercakap mengenai ‘Blind Spot’ atau ‘titik buta’, masing-masing akan mengangguk tanda faham. Tetapi adakah anda tahu bagaimana cara untuk mengatasi atau mengurangkan ‘Blind Spot’ ketika memandu?

Titik buta atau ‘Blind Spot’ ialah dua kawasan di kiri dan kanan kenderaan yang terlindung dari pandangan mata pemandu. Ia juga terlindung dari penglihatan walaupun dengan menggunakan cermin sisi dan cermin pandang belakang.

Situasi ini sering terjadi apabila anda ingin memotong dan secara tiba-tiba ada kenderaan lain yang betul-betul rapat di sebelah kenderaan anda. Situasi ini juga antara salah satu punca utama kemalangan di jalan raya.

Sebelum anda mula memandu , laraskan cermin sisi dan cermin pandang belakang kereta anda. Cermin sisi merupakan satu ciri keselamatan atau komponen keselamatan yang amat penting. Cara untuk mengatasi ‘Blind Spot’ ini adalah dengan melaraskan cermin pandang belakang dan juga cermin sisi kenderaan anda. Ramai yang tidak tahu bagaimana untuk melaraskannya dengan  betul.

Laraskan cermin pandang belakang dengan kedudukan pandangannya dapat melihat sepenuhnya cermin belakang kenderaan anda.

Kemudian, laraskan cermin sisi kanan dan kiri ¬kereta anda. Tolak cermin sisi keluar bagi mengurangkan titik buta. Kedudukan cermin sisi perlu jauh ke luar dan tidak menampakkan badan kereta kita sendiri. Ia adalah kedudukan cermin sisi yang terbaik.

Selepas melaraskan cermin kereta anda, ujilah ‘Blind Spot’ anda di jalan raya. Semasa memandu, tumpukan perhatian anda pada kenderaan di belakang. Beri laluan untuk ia memotong, badan kenderaan itu sepatutnya akan sentiasa di dalam medan penglihatan anda.

Dengan cara ini, anda boleh memandu dengan selesa. Semua kereta yang berada di kedua-dua belah kenderaan anda boleh dilihat. Ini sangat membantu anda untuk menukar lorong sekiranya ia berada dalam posisi yang betul. Termasuklah ketika mengundurkan kenderaan.