Engear Tips 101 – Cara Elakkan Kereta Terbang Di atas Air

Tidak kira apa jua keadaan jalan, tambah pula dengan keadaan permukaan jalan yang basah dan licin. Ia mampu mengundang bahaya ketika memandu. Jangan anda rasakan kenderaan anda dilengkapi dengan aspek keselamatan aktif dan pasif membuatkan keselamatan di dalam pemanduan diabaikan. Di sini kami kongsikan tips pemanduan dan cara untuk mengelakkan kereta anda hilang kawalan di atas air.

Pernahkah anda mendengar terma ‘Aquaplaning’? Ia terjadi apabila tayar kenderaan anda merentasi permukaan jalan yang banyak air. Air bertakung di bawah tayar, dan apabila tayar tidak betul-betul berada di atas permukaan jalan, keadaan ini membuatkan tayar kereta anda seperti ‘terapung’ dan hilang cengkaman.

Anda boleh merasai ‘aquaplaning’ ini apabila kawalan stereng terasa ringan dan tiada respon. Sekiranya ini berlaku, elak dari membrek kerana ia boleh menyebabkan kenderaan anda tergelincir atau pun terus hilang kawalan.

Ianya kerap berlaku pada kereta yang bertayar lebar. Jika tayar nipis ianya kurang berlaku kerana air tidak mempunyai luas permukaan yang banyak untuk mengangkat tayar tetapi jika tayar yang lebar senang terangkat. Kesimpulannya, lagi lebar tayar anda, lagi cepat ia terangkat.

Paling penting, elakkan memandu dalam kelajuan yang tinggi. Jika anda memandu melebihi kelajuan 80km/j dalam keadaan hujan lebat kemungkinan untuk terjadinya ‘aquaplaning’ sangat tinggi. Jika kenderaan anda dilengkapi teknologi ‘cruise control’, elakkan dari menggunakannya dalam keadaan jalan raya yang basah kerana ia boleh menyebabkan kenderaan anda hilang kawalan.

Segala aspek keselamatan pasif mahupun aktif, termasuklah dengan adanya teknologi seperti ABS dengan EBD, kawalan kestabilan kenderaan, kawalan cengkaman dan sebagainya pada kenderaan anda, jika anda sering mengamalkan pemanduan yang agresif dan laju, ia tetap boleh mengundang padah. Terutamanya dalam keadaan permukaan jalan yang basah dan licin.

Jangan sekadar membaca, tetapi praktikkan untuk keselamatan anda dan juga pengguna jalan raya yang lain. Sentiasa amalkan pemanduan berhemah dan berhati-hati tidak kira waktu mahupun keadaan jalan. “Pandu cermat, jiwa selamat”, ingatlah insan yang tersayang.